Pernyataan Masalah

Selain daripada tajuk, pernyataan masalah juga penting dalam sesuatu penulisan atau kajian. Ia akan membantu untuk mengenal pasti tujuan dan skop penulisan atau kajian yang dilakukan.

Apakah maksud pernyataan masalah?

Pernyataan masalah  merupakan pernyataan  yang jelas dan padat yang menerangkan masalah atau isu khusus yang ingin diselidiki atau diselesaikan melalui penyelidikan yang dilakukan.  Ia membantu untuk merangkum latar belakang kajian secara lebih spesifik, menyorot kelompongan (gap) dalam penyelidikan-penyelidikan sebelum  ini dan menetapkan tujuan penyelidikan.

Garapan penulisan pernyataan masalah perlu memperlihatkan penyelidikan yang ingin dijalankan itu penting dan perlu dijalankan. Jika ianya tidak penting, dan tidak perlu maka ianya boleh dianggap sebagai bukan suatu masalah. Jadi tidak ada kepentingan dan keperluan untuk menghabiskan masa untuk menjalankan kajian.

Soalan-soalan Penting dalam Pernyataan Masalah
Tips: Gunakan 7 WH Questions ( Who, What, When, Where, Why, Which, Whose, How) untuk membantu mengembangkan penulisan pernyataan masalah.

Antara soalan-soalan yang boleh ditanya:
Apakah masalahnya?

Berapa kerap masalah berlaku?

Di mana masalah berlaku?

Bila masalah berlaku?

Siapa yang mendapat impak daripada masalah?

Apa penyebab masalah?

Bagaimanakah gambaran keadaan/situasi jika masalah tidak wujud?

Kenapa ianya menjadi satu masalah, dan kenapa ia perlu diberi perhatian?

Apakah kesan/impak akibat daripada masalah tersebut?

Apakah jangkaan penyelesaian kepada masalah yang anda akan cadangkan?

Apakah jangkaan manfaat ataupun hasil daripada penyelesaian yang dicadangkan?


5 Elemen dalam Pernyataan Masalah.
1. Kenal pasti isu atau masalah
2.Mulakan pernyataan dengan situasi ideal sekiranya tiada masalah tersebut
3. Kenal pasti apakan masalah tersebut, apa punca masalah, dan kenapa ianya menjadi suatu isu yang perlu dikaji dan ditangani.
4.Nyatakan apakah kesan isu tersebut
5.Cadangkan penyelesaian.

Pernyataan Masalah yang Baik
Penulisan pernyataan masalah tidak perlu terlalu panjang. Memadai satu atau satu setengah halaman sahaja.

  1. Ringkas: Anda mampu untuk memberi gambaran secara ringkas dan padat tentang masalah, bagaimana dan kenapa ianya menjadi masalah. Baca berulangkali tulisan anda dan perbaiki supaya nampak jelas apa yang hendak dicapai menerusi kajian.
  2. Spesifik: Tulis tentang satu isu sahaja dalam pernyataan masalah, walaupun impak kepada isu tersebut banyak. Fokuskan kepada penyelesaian terhadap satu masalah tersebut, supaya tidak mengelirukan. 
  3. Boleh Diukur: Jelas tentang bagaimana mengukur masalah dan objektif yang dinyatakan.

Menulis Ulasan Buku

Antara tugasan yang biasa diberikan oleh pensyarah ialah menulis Ulasan Buku atau Book Review. Termasuk saya, untuk tugasan bagi kursus UICW6230/UHIS6130 Falsafah Sains dan Ketamadunan. Ulasan buku ni – nampak macam senang, baca sebuah buku dan buat ulasan. Namun perlu diingat, ulasan buku bukan ringkasan atau sinopsis buku semata-mata. Tapi pastinya ia lebih mudah berbanding untuk menulis sebuah artikel. Malah ianya boleh dihantar untuk diterbitkan di jurnal-jurnal yang menerima penerbitan ulasan buku. Ada pelajar saya yang menghantar mesej sebaik semester berakhir: “Assalamualaikum Dr Akma, saya nak maklumkan bhw [bahawa] ulasan buku tempohari diterima dlm [dalam] jurnal hadhari. Terima kasih atas bimbingan dan tunjuk ajar Dr Akma”. Moga perkongsian ini dapat memberikan suntikan motivasi untuk anda juga.

Untuk Apa Menulis Ulasan Buku?
•Memberi gambaran dan pandangan terhadap buku yang baru diterbitkan
•Langkah pemula untuk memberi gambaran awal tentang bidang kajian
•Peluang menambah senarai penerbitan anda

Apakah Ulasan Buku?
Ulasan buku bukannya ringkasan/sinopsis buku dan bukan juga sebuah laporan.
Ulasan buku ialah:
– Penilaian secara kritikal terhadap sesebuah buku
– Fokus kepada analisis dan pandangan terhadap buku tersebut
– Menjadi panduan kepada pembaca lain sama ada buku tersebut wajar dibaca atau tidak
– Ringkas dan padat (concise and precise)

Fasa Pra Penulisan

-Cari jurnal dalam bidang berkaitan yang menerima penerbitan Ulasan Buku (Contoh: Jurnal UMRAN https://jurnalumran.utm.my/index.php/umran)

-Pilih satu buku – buku baru/ buku yang kembali mendapat perhatian

-Email editor beritahu tentang buku yang anda ulas, kenapa anda rasa ianya menarik untuk dikongsi kepada pembaca jurnal tersebut. Tanya tentang peluang penerbitan ulasan buku anda.

-Baca buku tersebut dan buat ulasan.

-Buat catatan. Ulasan seharusnya melampaui perkara yang ditemui dalam kandungan

-Penekanan juga perlu dberikan kepada kekuatan dan kelemahan buku yang diulas

-Catat petikan yang ingin dimasukkan dalam ulasan beserta muka surat.
-Untuk jumlah perkataan dan format sila rujuk jurnal yang ingin dihantar

Fasa Penulisan

-Senaraikan informasi asas berkaitan buku. Sebelum membaca, perhatikan tajuk buku dan apa yang cuba disampaikan. Cari sedikit maklumat mengenai biografi penulis, tujuan penulis  menulis buku tersebut. Maklumat ini boleh didapati dalam prakata.

-Baca buku dengan teliti. Sambil menulis, buat catatan tentang pandangan anda terhadap kandungan, gaya, struktur, penyusunan dan lain-lain.

-Setelah selesai membaca, beri sedikit masa untuk fikir tentang  perspektif anda mengenai buku tersebut. -Hasilkan satu pandangan menyeluruh terhadap buku tersebut  sebagai thesis statement anda. Biasanya ia meliputi objektif penulis, sejauh mana ianya dicapai.

-Lihat catatan anda dan lihat apa yang bersesuaian dengan thesis statement ini. Buang yang tidak berkaitan.

-Anda boleh merangka outline dan seterusnya menulis draf pertama ulasan buku.



Apa perlu ada dalam sesebuah ulasan buku?

Tulislah, mudah-mudahan ulasan yang bagus berjaya diterbitkan di jurnal-jurnal yang menerima ulasan buku.

Draf Pertama

-PENDAHULUAN/PENGENALAN : nama pengarang, tajuk, jenis genre, sedikit informasi berkaitan pengarang, tema utama, objektif penulis.

-ISI : Kembangkan thesis statement anda. Terangkan kekuatan dan kelemahan buku tersebut. Analisis kandungan, gaya, struktur dan sebagainya. Satu perenggan untuk satu idea bagi menyokong thesis statement anda. Jangan cerita keseluruhan kandungan. No spoiler please!

-PENUTUP: Ulasan perlu diakhiri dengan kesimpulan yang menyatakan tanggapan keseluruhan anda terhadap buku tersebut,  apakah kebaikan dan kelemahannya. Jangan cadangkan idea baru di bahagian kesimpulan!

Draf Akhir

-Pastikan isi penting jelas dan menyokong thesis statement anda.

-Elak pengulangan walaupun untuk tujuan penekanan. Nyatakan idea dan jelaskan kenapa ia penting.

-Murnikan ayat yang tidak jelas dan tampak pelik. Jika terlalu panjang, pecahkan kepada ayat lebih pendek.

-Pastikan koheren antara ayat dan perenggan.

-Semak ejaan dan tatabahasa

Sedia untuk Dihantar ke Jurnal
– Daftar dalam talian sebagai author dan reader untuk jurnal yang anda berhasrat menerbitkan ulasan anda. Jika berminat untuk menjadi reviewer artikel-artikel yang dihantar ke jurnal tersebut, anda juga boleh pilih untuk jadi reviewer.
– Hantar ulasan buku anda.
– Tunggu dan doa. Sekiranya menerima maklumbalas daripada editor menyatakan ulasan buku anda diterima untuk diterbitkan, alhamdulillah. Jika ditolak, bersabarlah. Jangan putus harap. Tambah baik dan cuba lagi untuk hantra ke jurnal yang sama atau jurnal lain.

All the best!

Puasa: Jagalah Lisan, Jagalah Jari

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda : “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendak ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”.

(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Puasa bukan sekadar ibadat yang menuntut kita menahan lapar dan dahaga semata-mata. Malah ia adalah suatu proses latihan ta’dib al-nafs yang mendorong kita untuk sentiasa berbuat baik dan mengelakkan kita daripada melakukan hal-hal yang tidak baik.


Biarpun syarat sah puasa ialah meninggalkan segala perkara yang membatalkan puasa, hadis ini menunjukkan puasa adalah melampaui tindakan menahan diri daripada makan dan minum. Puasa juga merupakan ibadah yang melatih diri hanya bercakap yang baik-baik dan bermanfaat. Bukan cakap lepas, mencarut, memaki atau bukan cakap sekadar cakap tanpa ada sebarang tujuan atau cakap kosong. Ini selari dengan hadis Rasulullah S.A.W. yang lain, antara keelokan Islam seseorang ialah apabila dia meninggalkan apa yang tidak berkaitan dengannya. Setiap detik masa yang berlalu bermaksud semakin singkat jangka hayat kita, bukan semakin bertambah. Bahkan semakin berkurang.

Dalam kehidupan hari ini, masa banyak dihabiskan di dunia virtual. Komunikasi dan interaksi banyak berlaku di dunia bukan realiti, yang tiada batas. Dunia tanpa sempadan yang sekiranya tiada sifat taqwa, seseorang itu boleh berbuat apa sahaja. Lebih-lebih lagi jika menggunakan fake account atau meninggalkan komen di ruang-ruang yang orang tidak mengenali kita. Tanpa sifat taqwa, atau kesungguhan untuk benar-benar menjaga diri supaya sentiasa taat kepada Allah, dan menghindari segala larangan-Nya, seseorang tidak ada rasa canggung atau bersalah walau menaip tanpa sebarang tapisan, menggunakan kata kesat atau kotor, body shaming, bergaduh, mengutuk dan segala tutur kata tiada adab. Perkataan meluncur dari mulut atau dari jari jemari tanpa ada rasa segan silu.

Gunakanlah kesempatan Ramadan ini, untuk sama-sama melatih gerak hati, fikiran dan lisan kita untuk terlintas, terfikir dan mengucapkan yang baik-baik sahaja. Ingatlah hidup kita di dunia tidak lama. Islam ni bukan sekadar menjaga hubungan dengan Allah, tetapi juga menjaga hubungan dengan manusia. Alangkan batu pun tidak boleh dimaki, sementelah manusia yang mempunyai hati dan perasaan. Hidup biar disayangi, bukan dibenci.

Moga Allah terima amal kita semua dan menjadikan kita hamba-Nya yang bertaqwa.

Jejak Turki Uthmani di Nusantara dan Hubungan dengan Kesultanan Melayu

Ini antara impian dan angan-angan saya. Ingin membuat penyelidikan berkaitan hubungan Khilafah Utmaniyyah dengan dunia Melayu. Dari waktu belajar, bermacam-macam persoalan bermain di fikiran. Antaranya sewaktu Portugis menyerang Melaka, tidak adakah sebarang bantuan dihantar oleh Khilafah Uthmaniyyah? Konsep khilafah dalam Islam bukan seperti jajahan takluk. Tanggung jawab seorang khalifah untuk melindungi rakyat dalam wilayah yang dinaunginya. Rupanya betul memang ada, tetapi armada Portugis sampai dulu. Kesultanan Melaka berjaya diruntuhkan. Berbeza dengan Aceh, bantuan sempat dihantar. Kajian saya tentang Raja Ali Haji, turut menemukan sosok ulama bernama Raja Ali Kelana Bin Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi (1860-1927 ) yang juga Shaykh al-Islam bagi negeri Johor yang pernah ke Turki untuk urusan diplomatik. Belum lagi dikisahkan tentang Shaykh Daud dan Shaykh Ahmad al-Fatani.

Justeru apabila Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, ATMA UKM menganjurkan Siri 5/2021 Diskusi Manuskrip Melayu pada 15 September 2021 bertajuk Jejak Turki Uthmani di Nusantara dan Hubungan dengan Kesultanan Melayu. Ia dibentangkan oleh Encik Sadiq Ozata, Ketua Hayrat Malaysia.

Berikut adalah antara nota yang sempat saya catat:

1. Seperti yang saya katakan di awal tadi, Islam tersebar bukan dengan mata pedang seperti dakwaan sesetengah orientalis. Ini bertepatan dengan penjelasan En Ozata yang menyatakan al-Fath atau pembukaan wilayah oleh Daulah Islamiyyah berbeza dengan penjajahan yang dilakukan oleh kolonial Eropah. Wilayah yang bernaung di bawah Khilafah Uthmaniyyah mendapat hak untuk diperintah secara adil dan mendapat pembelaan. Pemerintah sebagai khadimu’l-ummah, bukan penakluk.

2. Pada 1240 Hijriyyah, dalam surat yang dihantar oleh Sultan Jawa kepada Sultan Mahmud II ada menyebut tentang Kerajaan Uthmaniyyah pernah menghantar bantuan askar dan kepakaran ketenteraan bagi membantu perintah Jawa membuka wilayah-wilayah baru dan menyebarkan dakwah Islamiyyah.

3. Antara sekatan yang dikenakan oleh penjajah Belanda di Indonesia ialah mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat Muslim bagi menghalang mereka dari menunaikan haji. Halangan bertujuan untuk menyekat umat Islam Nusantara daripada bertemu dengan umat Islam lain dan mengadakan hubungan dengan Daulah Uthmaniyyah.

4. Pada era Sultan Abdul Majid, ada umat Islam Nusantara yang berhijrah untuk melarikan diri dari kekejaman Belanda dan mendapatkan bantuan daripada Uthmaniyyah. Sultan memerintahkan supaya diberi naungan dan perlindungan kepada umat Islam Nusantara


Bersambung…

SPAM COMMENTS: Bagaimana Dihentikan?

Sebagai pengguna blog, memang tidak dapat lari daripada menerima komen-komen spam. Kecualilah jika diset untuk tidak menerima sebarang komen. Satu dua masih boleh bersabar. Apabila banyak, menyakitkan hati. Bukan berkait dengan posting yang ditulis pun. Adakalanya sehingga menenggelamkan komen-komen sebenar. Syukur awal-awal lagi saya telah setkan untuk moderate all comments, maksudnya komen-komen untuk setiap posting akan ditapis dulu oleh saya sebagai admin. Apabila komen-komen spam semakin banyak, saya perlu lakukan sesuatu. Tidak boleh dibiarkan. Sebenarnya komen ni bukan yang empunya komen yang hantar. Ia kebiasaannya dihantar oleh spam bots. Antara tujuannya adalah untuk meningkatkan kedudukan dalam enjin pencarian. Walaupun tidak semua klik link yang diberikan, pasti ada juga yang klik sama ada sengaja atau tidak.

Berikut antara yang saya buat:
1. Saya gunakan anti spam Clean Talk yang tersedia ada dalam wordpress. Aktifkan. Boleh juga kalau nak gunakan anti spam plug in yang lain Akismet, Antispam Bee, Hide My WP, WP Bruiser, Spam Destroyer dan lain-lain. Banyak pilihan.

2. Ini saya dah buat seawal saya menggunakan wordpress lagi. Moderasikan semua komen. Ada pada bahagian setting. Jangan dibiarkan auto published. Tapis. Masa saya setkan dulu, tujuannya ialah supaya tidak ada komen-komen yang negatif dan sensitif. Konon-konon untuk menjaga reputasi blog seorang ustazah. Rupanya ada hikmah yang lebih besar lagi, setidak-tidaknya ruang komen saya tidak dipenuhi dengan komen spam berlambak-lambak. Saya seorang sahaja yang sakit mata melihatnya. Kalau rajin dan dah tak boleh pejam mata, saya akan labelkan sebagai spam dan kosongkan dari akaun saya.

Ada lagi langkah-langkah lain yang boleh dibuat. Saya monitor dulu perkembangan aktiviti spam bots di blog saya setelah mengaktifkan anti spam. Jika selepas ini saya masih menerima komen spam, saya akan ikhtiarkan dengan kaedah-kaedah lain pula yang akan dikongsikan juga di sini.


Biar Mati Anak

Biar mati anak jangan mati adat,
Adat bersendikan syarak,
Syarak bersendikan Kitabullah,
Syarak mengata, adat memakai,
Cermin yang tidak kabur,
Pelita yang tidak padam.

Seringkali pepatah biar mati anak jangan mati adat dikritik hebat. Kenapa orang Melayu sampai menganggap adat lebih penting dipertahankan jika terpaksa memilih antara anak dan adat? Saya dulu pun antara yang tidak puas hati dengan pepatah ini dan bersikap menyalahkan orang tua Melayu yang semacam terlalu menyanjung dan menjunjung adat. Adat ciptaan manusia yang berkemungkinan ada salah silapnya, dan kadang kala tidak sesuai dengan zaman sekarang. That was my thought on this, pada masa dulu-dulu.

Rupa-rupanya, selama ini kita hanya diberi baris pertama daripada banyak baris lagi yang menjelaskan tentang maksud biar mati anak jangan mati adat. Adat bukan sebarang adat, tetapi adat yang berasaskan syarak yang bersumberkan al-Quran. Patutlah disebut biar mati anak, jangan mati adat.

Ibrahnya, jangan mudah melatah. Pandangan semesta Melayu selepas proses Islamisasi adalah berasaskan pandangan semesta Islam. Proses Islamisasi yang berlaku sejak sekian lama telah merubah jiwa dan rupa bangsa Melayu. Pemikiran, perlakuan memanifestasikan ajaran Islam. Sebab itu Melayu sinonim dengan Islam, malah itulah konsep Melayu yang didefiniskan dalam Perlembagaan Malaysia. Mengaku Melayu, mestilah Muslim. Jangan dirosakkan konsepsi ini.

Allah, Aku Zalim

HolyQuran.info - Online Quran Resources and Duas | Facebook

Doa ini adalah pengakuan seorang hamba yang banyak menzalimi diri sendiri. Doa memohon keampunan dengan penuh kerendahan hati, mohon rahmat kasihan belas Allah taala dengan penuh kesedaran bahawa tiada yang dapat mengampunkan dosa kecuali-Nya. Berbuat dosa, dan mengaku berdosa. Bahkan mengaku banyak melakukan dosa.
Melakukan dosa disamakan dengan menzalimi diri. Dalam penggunaan biasa bahasa Melayu selalunya dikaitkan dengan makna berlaku kejam atau tidak berperikemanusiaan. Dalam konteks doa ini, zalim merupakan lawan kepada adil. Zalim bermaksud meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya. Zalim dan tidak berlaku adil kepada diri. Fitrah diri manusia adalah suci, cenderung kepada kebaikan. Fitrah yang mengenal Tuhan. Berlaku zalim bererti melakukan sesuatu perkara yang tidak bertepatan dengan fitrah sebagai manusia yang berstatus hamba Tuhan. Saat manusia berdosa dan melakukan kezaliman kepada diri sendiri, itulah saat dia membenarkan al-nafs al-hayyawaniyyah (animal soul) menguasai al-nafs al-ruhaniyyah (rational soul). Saat manusia lupa hakikat diri-Nya sebagai hamba, hanyut tenggelam dalam kegelapan lautan noda dosa. Saat dia tersedar kealpaan diri, dia segera kembali kepada Allah, bertaubat, merayu memohon keampunan dengan penuh kerendahan diri. Tahu diri dan insaf dia tidak boleh berpatah balik. Dosa dan salah telah dilakukan. Yang tinggal hanyalah harapan untuk mendapat limpahan rahmat Allah yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. Akur bahawa tiada yang dapat mengampuninya melainkan Allah al-Ghafur al-Rahim.

Pengurusan Akademik Universiti

Doa Taubat

No photo description available.

Aku memohon keampunan kepada Allah Yang Maha Agung. Aku memohon keampunan kepada Allah Yang Maha Agung. Aku memohon keampunan kepada Allah Yang Maha Agung, tiada Tuhan selain Dia Yang Maha Hidup, dan yang Maha Memelihara, Mengurus (kehidupan makhluk), dan aku bertaubat kepada-Nya untuk setiap dosa yang aku telah lakukannya dengan sengaja, atau tidak sengaja, secara sembunyi atau terang-terangan, besar atau kecil. Sesungguhnya Engkau Ghaffaru’l-dhunub -Maha Pengampun segala dosa; Fattahu’-l qulub – yang Maha Membuka hati-hati; Sattaru’l-Uyyub – Maha pelindung segala aib, Kashifu’l-Kurub – yang Maha pelenyap segala penderitaan.

Aku bertaubat kepada-Nya untuk dosa-dosa yang aku tahu, dan dosa-dosa yang aku tidak tahu. Sesungguhnya Engkaulah ‘Allam al-ghuyub – Yang Maha Mengetahui segala perkara ghaib. La hawla wa la quwwata illa bi’lLah al-‘Aliyy al-‘Azim. Tiada daya dan tiada upaya kecuali dengan kekuatan Allah Yang Maha Tinggi, Maha Agung.

Ya Allah, sesungguhnya aku menyesal atas setiap maksiat yang aku telah lakukan. Rezekikan aku menjadi seorang yang jujur mengenainya. Sesungguhnya aku tidak mempunyai sebarang kaitan dengan agama yang menyalahi Islam.

Ya Allah, sekiranya ada sekelumit syirik atau rasa syak (ragu-ragu) menyelinap masuk dalam imanku dan tauhidku, aku bertaubat kepada-Mu. Ampunilah aku. Aku melafazkan, ashadu an la ilaha illa Allah wa ashhadu anna Muhammad RasululLah. Aku bersaksi sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa sesunguhnya Muhammad Pesuruh Allah.

Doa Ditetapkan Hati dalam Hidayah

Sungguh hidayah adalah milik Allah. Dilahir sebagai Muslim bukan jaminan untuk mati sebagai Muslim. Justeru setiap detik, setiap saat, selaku insan yang lemah perlu waspada agar tidak tersilap langkah. Pengharapan tulus diletakkan kepada Allah, berharap dengan limpahan rahmat dan kasih sayangNya agar tidak memesongkan hati kita setelah Dia berikan hidayah. Hargailah hidayah kurniaan Allah, kekallah atas al-Sirat al-Mustaqim hingga ke hujung nyawa.