Pengecas untuk semua EV

PENGGUNAAN kenderaan elektrik (EV) sering diuar-uarkan, tetapi untuk melihat kenderaan itu dipandu oleh orang awam masih belum menjadi kenyataan.

Satu faktor yang masih merencatkan industri EV pada masa ini ialah kerana tidak wujudnya pengecas kenderaan tersebut yang boleh digunakan untuk mengecas pelbagai jenis dan model kenderaan jenis itu.

Pengecas yang ada sekarang biasanya ditetapkan untuk mengecas jenis kenderaan yang telah ditentukan sahaja.

Contohnya, pengecas dari Jepun hanya ditetapkan untuk mengecas kenderaan elektrik buatan Jepun sahaja.

Begitu juga dengan pengecas dari Amerika Syarikat atau Eropah, yang lazimnya telah hanya untuk kenderaan berelektrik dari benua-benua tersebut.

Akibatnya, pemilik kenderaan elektrik masih berhadapan dengan situasi yang mengecewakan apabila tiba waktu untuk mengecas semula.

Apabila sampai di sesebuah stesen pengecas,  didapati alat tersebut tidak sesuai untuk mengecas kenderaan elektrik mereka.

Untuk itu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Sekolah Informatik Termaju (AIS)  telah menjalankan penyelidikan bagi mengatasi masalah tersebut.

Selain kenderaan elektrik yang perlu dibangunkan, ada pelbagai komponen atau infrastruktur yang perlu diberi perhatian bagi menyokong pembangunan industri EV tersebut.

Satu daripadanya adalah MyEV iaitu  satu set lengkap komponen infrastruktur untuk mengecas pelbagai jenis EV.

Tidak hanya di Malaysia, sistem mengecas EV ini juga disasarkan untuk digunakan di mana-mana sahaja di dunia.

Komponen paling penting yang merupakan keunikan (cutting edge) kepada MyEV adalah kemampuannya untuk mengecas apa juga jenis kenderaan EV kerana ia bersifat alat mengecas sejagat (universal charging).

Ini bermaksud dengan menggunakan perisian masa nyata (real time software) yang dibangunkan, MyEV mampu mengecas dengan cara optimum sebarang kenderaan elektrik sama ada ia sebuah kenderaan kecil seperti motorsikal elektrik, maupun kenderaan yang besar seperti bas elektrik.

Perisian yang telah berjaya dibangunkan akan mengawal beban dan tempoh waktu pengecasan.

Sistem MyEV adalah sejagat dan fleksibel. Pelbagai jenis dan model kenderaan elektrik boleh dicas dengan menggunakan kawalan perisian masa nyata yang dibangunkan.

Pemilik tidak lagi akan tercari-cari di manakah pengecas terdekat yang sesuai untuk kenderaan elektrik yang mereka miliki.

Keadaan ini dikenali sebagai driver’s recharging anxiety kerana pemandu kenderaan elektrik itu akan menjadi gusar apabila kuasa elektrik yang tinggal semakin berkurangan.

Produk UTM ini cukup inovatif kerana mampu menyelesaikan salah satu masalah ‘ayam dan telur’ yang masih merencatkan perkembangan industri hijau ini.

Masalah ‘ayam dan telur’ yang dimaksudkan ialah sikap saling tunggu antara bakal pemilik kenderaan elektrik dan penyedia infrastruktur pengecas kenderaan tersebut.

Bakal pemilik hanya akan lebih terdorong untuk membeli EV sekiranya infrastruktur pengecas yang baik tersedia. Manakala pihak penyedia hanya akan melabur untuk menyediakan infrastruktur sekiranya ada jumlah pemilik yang mampu memberikan pulangan baik kepada pelaburan tersebut.

Antara masalah yang menyulitkan pelabur infrastrutur lagi ialah ketidaksejagatan sistem pengecas yang ada.

Dalam konteks ini, MyEV hadir sebagai satu produk yang mampu memberikan penyelesaian yang amat praktikal dalam industri EV.

Penyelesaian ini juga membantu mempercepatkan pertumbuhan industri ini yang mana ini selari dengan dasar negara yang telah menandatangani perjanjian dalam Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark pada tahun 2009.

Perjanjian itu merupakan komitmen Malaysia untuk mengurangkan jejak karbon (carbon footprints) sebanyak 40 peratus daripada tahap yang diukur pada tahun 2005 dan sasaran ini perlu dicapai menjelang tahun 2020.

Dalam usaha untuk memenuhi komitmen tersebut, pelbagai tindakan segera perlu dilaksanakan.

Industri EV adalah agenda yang telah dikenal pasti dalam Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan Malaysia.

Teknologi digunakan

Dalam pembangunan infrastruktur terdapat teknologi yang digunakan iaitu penambahbaikan protokol komunikasi yang digunakan meluas dalam industri ini iaitu Open Charge Point Protocol (OCPP) iaitu meningkatkan kemampuan protokol tersebut.

OCPP sedia ada membolehkan stesen pengecas dan sistem pengurusan pusat untuk berkomunikasi antara satu sama lain. OCPP yang telah dipertingkatkan juga membolehkan UTM untuk menyediakan apa yang kita panggil Badan Pengawas Perkhidmatan yang membolehkan status pengecas dipantau.

Sistem Sokongan Berpusat yang dibangunkan menggunakan perpustakaan rangka kerja Microsoft .NET dan pangkalan data Oracle. Komunikasi antara stesen mengecas dan sistem sokongan telah diuji menggunakan Maxis 3G walaupun perkhidmatan Wi-Fi tempatan juga mencukupi.

Pembangunan EV akan memberi kelebihan terutama mampu menggalakkan bakal pemilik EV dengan menyediakan infrastruktur pengecasan yang lebih mesra dan lebih dipercayai.

Sehingga kini UTM, masih belum banyak alat mengecas di bandar-bandar dan di lebuh raya utama negara. Inilah yang di sebutkan sebagai masalah `ayam dan telur’ industri EV masa kini. Bakal pemilik atau pun individu yang sedang menimbang untuk membeli EV masih enggan berbuat demikian jika infrastruktur pengecasan awam tidak bersedia.

Begitu juga, pelabur infrastruktur pengecas akan terus berhati-hati untuk melabur melainkan jika terdapat lebih ramai pelanggan yang akan menggunakan infrastruktur tersebut.

Produk ini mampu menyediakan satu set lengkap komponen yang membentuk infrastruktur pengecas kepada pemilik EV. Seterusnya, kesejagatan pengecasannya mampu menyelesaikan masalah yang tidak piawai atau standard yang terdapat pada alat pengecas lain yang ada dalam pasaran sekarang.

Sekiranya masalah ini tidak ditangani, ia akan terus melemahkan industri EV yang dirancang kerajaan.

Dalam pada itu, masalah akan berlaku jika tidak wujudkan pengecas yang standard. Ini berlaku apabila tidak wujud piawai yang sejagat, terdapat ramai pembekal infrastruktur pengecas yang tidak mengendahkan keperluan piawaian.

Ini menghasilkan pelbagai protokol yang tidak piawai yang akan merencatkan pertumbuhan sesuatu industri.

Pada masa ini, pasaran kenderaan elektrik masih baru dan belum ada perang harga, sekurang-kurangnya di Malaysia. Walau bagaimanapun, keadaan ini mungkin berubah pada masa akan datang sekiranya saiz kritikal pemilik EV menjadi semakin bertambah.

Untuk sumber, sila klik di sini