Daily Archives: January 1, 2018

Perutusan Tahun Baharu 2018 Naib Canselor UTM


Tahun 2017 bakal meninggalkan kita tengah malam ini dan selamat datang tahun 2018, ini bermakna segala pengalaman pahit manis akan menjadi lipatan kenangan kita untuk dijadikan sempadan dan panduan untuk menghadapi keadaan pada masa akan datang.

Bersempena Amanat Tahun 2018 dibawah ini adalah petikan ucapan Y.Bhg Datuk Naib Canselor UTM untuk kita hayati bersama:

Kepada

Seluruh warga Universiti Tekonologi Malaysia

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera kepada semua.

Alhamdulillah, pertamanya marilah sama-sama kita menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan rahmatNya, kita dikurniakan peluang untuk melalui tahun 2017 yang penuh bermakna ini dan seterusnya melangkah ke tahun 2018.

Pada hari terakhir tahun 2017 ini, saya merenung kembali apa yang telah berlaku sepanjang 365 hari yang lalu. Ia merupakan tahun yang luar biasa untuk UTM, di mana kita bersama-sama bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan. Tidak boleh dinafikan, kita telah mencapai pelbagai pencapaian yang amat membanggakan.

Antaranya ialah UTM melonjak dari tangga 288 ke tangga 253 dalam QS World University Rankings 2016/2017, yang meletakkan UTM tergolong dalam kalangan 1% universiti terbaik di dunia, dan juga meraih kedudukan 50 tertinggi di Asia. Manakala, dalam kedudukan QS World University Rankings 2016/2017 (mengikut subjek), 6 bidang pengajian di UTM telah disenaraikan dalam kedudukan 100 terbaik di dunia.

Malah, untuk pertama kalinya, UTM telah termasuk dalam kalangan Top 10 Young Universities di Asia dan memperoleh 5 Bintang untuk the QS Star Rating. Begitu juga di peringkat Times Higher Education Supplement (THES) Inaugural Asia-Pacific University Ranking 2017, UTM menduduki tempat kedua dalam kalangan Universiti Awam di Malaysia.

Namun demikian, ranking bukanlah satu-satunya penanda aras yang menjadikan sesebuah universiti itu hebat. Pada tahun 2017 ini juga, beberapa orang staf UTM telah mendapat pengiktirafan dan meraih pelbagai anugerah dan kejayaan cemerlang dalam bidang masing-masing. Para mahasiswa UTM pula telah mengharumkan nama Universiti menerusi pelbagai pencapaian yang membanggakan.

Antaranya dipilih untuk mengikuti Latihan Kepimpinan Luar Negara yang ditaja oleh Yayasan Sukarelawan Siswa, dianugerahkan Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong bagi tahun 2017/2018, dan juga seorang pelajar kelainan upaya juga telah memenangi geran perniagaan bernilai setengah juta ringgit . Di samping itu, empat mahasiswa kita juga telah terpilih untuk mewakili negara dalam Kejohanan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan berjaya menghadiahkan Malaysia dengan tiga pingat emas dan satu pingat gangsa.

Walau bagaimanapun, tahun 2017 ini juga banyak cabarannya. Antaranya dengan keadaan kewangan yang sangat mencabar dan memberi kesan dalam pelbagai urusan pentadbiran dan kehidupan seharian kita. Perbelanjaan dan peruntukan kewangan serta kemudahan yang dinikmati selama ini terpaksa dihadkan. Namun, situasi ini seharusnya tidak akan mematahkan semangat kita.

Semakin kita menghadapi kekangan, semakin perlu untuk kita berfikir dan bertindak dengan cara yang lebih efisien untuk meneruskan kehidupan dan terus mencapai kejayaan. Saya percaya banyak perkara telah dan akan kita pelajari daripada pelbagai cabaran yang dihadapi ini. Setiap kesukaran akan mengukuhkan aspirasi dan kekuatan kita, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran supaya kita dapat melangkah tahun yang baharu sebagai sebuah institusi yang lebih baik, kuat, lebih berdaya tahan, dan lebih penting lagi sebagai insan yang lebih baik.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama bersatu, memperteguhkan ikatan antara kita dan terus maju, atas nama “Kerana Tuhan, untuk Manusia”.

Selamat Tahun Baharu 2018!