Viral Skim Perkhidmatan Awam-Cuepacs

KUALA LUMPUR: Pekeliling mengenai penambahbaikan lebih 250 skim perkhidmatan awam hanya akan diumumkan awal bulan depan. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata ia akan diumumkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal. Katanya, mesej yang viral menerusi WhatApps mengenai penambahbaikan dan pemansuhan beberapa skim perkhidmatan membabitkan penjawat awam adalah tidak benar. “Saya minta semua penjawat awam tunggu sehingga perkara itu diumumkan.

Segala mesej atau maklumat yang disampaikan sehingga viral di WhatApps oleh individu amat tidak bertanggungjawab. “Tindakan tidak beretika dengan menyebarkan mesej terbabit mampu mencetuskan kekeliruan dalam kalangan penjawat awam. Perkara ini sering berlaku, jadi saya harap mereka (penjawat awam) bersabar sehingga pekeliling keluar,” katanya kepada ketika dihubungi BH, sebentar tadi. Beliau mengulas mengenai mesej berangkai yang viral di WhatApps, antaranya lain menyentuh soal pemansuhan dan penambahbaikan 252 skim perkhidmatan awam. Mengulas lanjut, Azih berkata, CUEPACS kali terakhir bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 14 Mac lalu bagi membincangkan penambahbaikan lebih 250 skim perkhidmatan untuk kebaikan penjawat awam.