Bagaimanapun, penonton bukan sahaja dibiarkan berada di kawasan larangan di lokasi kejadian, malah tidak dihalang walaupun dikatakan terdapat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengawal di situ.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati, kon diletakkan di tepi jalan namun menerusi tayangan video kejadian, objek berkenaan melayang begitu sahaja selepas dilanggar sebuah kenderaan yang terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh penonton di situ.

Pengarah program tersebut, Prof. Madya Dr. Aminudin Abu berkata, lokasi kejadian merupakan tempat larangan dan penonton tidak dibenarkan berada di situ.

“Kawasan ini (lokasi kejadian) kita telah letak anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan kon sebab ia adalah tempat perlumbaan.

“Penonton perlu berada di Stadium Sukpa dan kita juga telah maklumkan tentang perkara itu tetapi kita tidak boleh jangka dan tidak sangka mereka masuk juga ke situ,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Aminudin berkata, pihaknya menempatkan seramai 25 anggota Rela untuk mengawal di sepanjang 2.2 kilometer kawasan perlumbaan.

Sementara itu, beliau berkata, kejadian meragut nyawa sedemikian pertama kali berlaku sejak program itu dianjurkan mulai 2009.

“Kita simpati dengan keluarga mangsa, penganjur berasa sedih dengan apa yang berlaku. Ekoran kejadian ini, penganjur atas nasihat juri dan syarat-syarat perlumbaan membatalkan pertandingan ini,” katanya.

Beliau berkata, selepas ini, pihaknya tidak akan menggunakan kawasan litar terbuka untuk penganjuran Eimarace.