Akhlak Dalam Islam Siri 3
Untuk menjadikan sesuatu perbuatan sebagai suatu tabiat dan kebiasaan yang akhirnya menjadi akhlak, tingkah laku berkenaan perlu sentiasa diulang-ulang. Ahmad Amin (1974) menyatakan bahawa akhlak sebagai kemahuan yang dibiasakan. Apabila sesuatu tingkah laku yang berasaskan kemahuan itu diulang-ulang atau membiasakan sesuatu kecenderungan secara berkekalan, maka ia akan menjadi akhlak. Seperti mana yang disebutkan oleh Azhar (2006) bahawa akhlak itu berkait rapat dengan unsur ketekalan sesuatu keadaan sehingga melahirkan perlakuan dengan mudah di dalam mana-mana keadaan yang dialami oleh seseorang. Hal ini diperakui oleh Al-Hufy (2009) bahawa akhlak itu adalah kebiasaan yang dilakukan secara berulang-ulang sehingga menjadi adat atau budaya yang mengarah kepada perlakuan kebaikan atau keburukan. Tabiat kebiasaan ini adalah tingkah laku atau hal ehwal yang melekat pada seseorang kerana telah dilakukan berulang-ulang.