Akhlak Dalam Islam Siri 5
Akhlak adalah sifat dalaman. Menurut Yasin Rusydi (1992), akhlak adalah sifat dalaman yang sebati dalam diri seorang insan sehingga sifat itu menjadi seolah-olah seperti anggota yang melekat sesama tubuh badannya. Sifat yang sebati ini seolah-olah telah menjadi darah daging atau seperti darah yang mengalir dalam tubuh seorang insan. Menurut beliau lagi, sifat tersebut diperoleh melalui usaha seseorang dengan menggesa dirinya mengamalkan tuntutan sifat yang ada dalam diri seseorang. Sebagai contoh orang yang hendak memiliki pemurah sebagai sifat akhlaknya maka dia hendaklah memaksa dirinya untuk menafkahkan hartanya ke jalan kebaikan, mengajak manusia makan makanan yang disediakannya dan membelanjakan harta kepada orang yang memerlukan. Dia perlu memaksa dirinya sehingga sifat itu menjadi sebati dengan dirinya. Maka pada ketika itu dia akan mudah menafkahkan hartanya ke jalan kebaikan. Pada masa itu dia telah menjadi seorang yang mempunyai akhlak pemurah.
Menurut Mohd Nasir (2005), sifat pemurah dan dermawan adalah berpunca daripada sifat dalaman bagi manusia. Manakala perbuatan membantu orang susah, memberi kepada orang yang memerlukan dan menjemput orang makan hidangan yang disediakan adalah sifat luaran yang ada pada insan yang pemurah. Justeru, tingkah laku yang ditunjukkan adalah sesuatu yang berbentuk indikator akhlak yang baik pada diri seseorang.