Tadabur Surah at-Takaasur Siri 11

Ayat 2:

حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ
Sehingga kamu mengunjungi kubur-kubur (2)
Kubur adalah tempat kita akan dimakamkan. Kubur adalah tempat persinggaan sementara sebelum tibanya Hari Pembalasan. Allah menggunakan istilah `kubur’ dalam ayat ini dan bukannya `Syurga’ atau `Neraka’ yang bersifat kekal.
Allah memberikan peringatan bahawa kita telah disibukkan oleh sikap besar diri, bermegah-megah dengan kelebihan harta-benda, anak-pinak, sahabat handai, pangkat, kuasa serta berusaha mendapat lebih banyak lagi; sehingga menyebabkan kita sibuk, tidak mentaati Allah dan beramal untuk akhirat sehingga saat ketika ajal datang pun, kita masih lagi bersikap sedemikian rupa.
Kubur bukanlah tempat untuk dibuat perbandingan, bermegah-megah atau berbangga-bangga dengan perkara keduniaan. Ia sepatutnya menyedarkan kita tentang hakikat kematian. Kematian itu sendiri adalah nasihat yang terbesar.
Ingatlah wahai para pengumpul harta benda dan orang-orang yang disibukkan dengan hal keduniaan, bahawa Demi Allah, engkau tidak akan mendapatkan dari harta-bendamu kecuali selembar kain kafan; itupun akan rosak dan musnah. Jasadmu hanya untuk dimakan tanah. Mana perginya harta benda yang engkau kumpulkan? Adakah ia dapat menyelamatkanmu dari kengerian dan azab kubur? Pada saat mati, tapak tanganmu menjadi kosong dan tidak berisi. Yang kaya dan mulia akan berubah menjadi miskin dan hina.
Kita digalakkan menziarahi kubur bagi menjernihkan hati dari cintakan dunia dan mengingati kematian.

 

Rasululluh s.`a.w telah bersabda:
“Sesungguhnya aku (sebelum ini) telah melarang kamu semua dari menziarahi kubur. Kini ziarahlah kubur, sesungguhnya ia boleh melembutkan hati, mengalir air mata dan mengingatkan akhirat dan janganlah kamu berkata: “Jauhilah (kubur)”.

 

Ziarahilah kubur dan ia tidak terhad kepada kubur ibu-bapa atau saudara-mara

 

Ad-Daqqaq mengatakan:
“Barangsiapa mengingat kematian, akan dimuliakan dengan tiga hal; pertama, segera bertaubat, kedua, qana’ah hati, dan ketiga, semangat beribadah. Dan barangsiapa lupa akan kematian, maka ia akan diazab dengan tiga hal; pertama, menunda-nunda taubat, kedua, tidak redha dengan yang sedikit, dan ketiga, bermalas-malas dalam beribadah.”
Saiyidina Ali bin Abi Talib r.’a. berkata: “ Dunia pergi sambil berpaling, dan akhirat datang sambil mengadap. Setiap satu dari keduanya mempunyai anak. Jadilah engkau salah satu anak akhirat, dan jangan menjadi salah satu anak dunia. Sebab, hari ini adalah hari untuk beramal, tidak ada hisab. Sedangkan hari esok adalah hisab, tidak ada hari untuk beramal.”