Ayat 3 and 4:
كَلا سَوْفَ تَعْلَمُونَ ثُمَّ كَلا سَوْفَ تَعْلَمُونَ
Tidak sekali-kali begitu, kelak kamu akan mengetahui (3)
Kemudian tidak sekali-kali begitu, kelak kamu akan mengetahui (4)
Apabila manusia bangun ketika Hari Pembalasan, mereka akan berkata “Apakah yang telah aku lakukan?”. Ini adalah kerana ketika di dunia, mereka bersikap tidak endah apabila diingatkan tentang kematian.
Apabila manusia meninggal dan dikuburkan, barulah mereka menyedari realiti kehidupan yang sebenarnya.
Saiyidina Ali bin Abi Talib ra. berkata
“Manusia sedang tidur dan apabila mereka mati, maka barulah mereka hidup”. Ketika itu, mereka hanya menyedari betapa sia-sianya usia mereka di dunia selama ini.
Ayat ke-4 pula memberi penerangan ketika kita keluar dari kubur semasa Hari Pembalasan.
Az-Zamakhshari menegaskan “kal-laa” adalah satu amaran ataupun ancaman dan gertakan supaya manusia bangkit serta sedar dari lamunannya, iaitu daripada sikap dan tabiatnya yang lalai..
Kalimah “kal-laa” diulang lagi pada ayat ke-4 yang menjelaskan amaran itu menjadi lebih keras, dan menekankan perlunya kita bertindak dengan segera. Yakni berhenti daripada lalai. Menjauhi sifat bermegah-megah, menunjuk-nunjuk dengan kelebihan harta atau pangkat yang menyebabkan alpa untuk beramal kepada kehidupan akhirat. Tidak sepatutnya seseorang itu memberi perhatian lebih kepada dunia berbanding akhirat dan mengabaikan kepentingan agamanya.