Ayat 8
ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
Kemudian sesungguhnya pada hari itu, kamu akan ditanya tentang segala ni’mat yang telah dini’mati kamu (8)
Imam Bukhari di dalam bab Adab, Tarmizi dan Ibn Majah telah meriwayatkan sebuah hadith daripada Ubaidah bin Muhsin bahawa Rasulullah saw telah bersabda (maksudnya):
“Barangsiapa di antara kamu memulakan kehidupan pada waktu paginya dalam keadaan aman sejahtera di dalam kelompoknya, sihat tubuh badannya, cukup keperluan hariannya, maka seolah-olah ia telah dikurniakan dunia dan segala penjurunya.”
Dalam hadith yang lain, Imam Bukhari, Sunan al-Tarmizi, Nasai’ dan Ibn Majah ada meriwayatkan daripada Ibn `Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dua ni’mat ramai manusia sering terpedaya dengannya iaitu kesihatan dan waktu lapang”.
Mereka bersikap cuai dalam mensyukuri dua ni’mat tersebut. Jadilah dia orang yang terpedaya dengan keni’matan dunia jika dia tidak melaksanakan kewajibannya.