Tadabur Surah at-Takaasur Siri 17

Ayat 8

ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
Kemudian sesungguhnya pada hari itu, kamu akan ditanya tentang segala ni’mat yang telah dini’mati kamu (8)

Daripada Nabi s.a.w. sebagaimana diriwayatkan oleh al-Tarmizi, daripada Abi Barzah katanya: “Tidak berganjak kedua tapak kaki seseorang hamba pada hari kiamat kelak sehingga disoal-siasat berkaitan empat perkara: tentang umurnya di manakah dia habiskan, masa remaja di manakah dia curahkan, tentang hartanya di manakah dia cari dan ke mana pula ia membelanjakannya? Dan tentang ilmunya, apa yang telah diperbuat dengannya?”
Dalam satu hadith yang begitu menyentuh hati ialah hadith yang diriwayatkan daripada `Umar r.a. Ia bertanya “Ni’mat apakah yang kami semua akan disoal, wahai Rasulullah; sedangkan kami telah diusir keluar dari kampung halaman kami dan segala harta kami lupus?” Rasulullah s.aw. Menjawab: “ Tempat berteduh yang anda jadikan rumah-rumah, pokok-pokok dan khemah yang meneduhi anda dari panas dan sejuk, serta air (minuman) yang sejuk ketika hari yang panas.”
Dalam satu riwayat lain; Ibn Abi Shaibah dan Ahmad meriwayatkan daripada Mahmud Ibn Habid katanya: Apabila turun firman Allah swt (bermaksud): “Bermegah-megah menunjukkan kelebihan sering melalaikan kamu” (al-Takathur, 102:1); maka Nabi s.a.w. membacanya sehingga maksud ayat (firman Allah): “ Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang segala nikmat (yang kamu megah-megahkan di dunia itu.” (al-Takathur, 102:8).
Para sahabat bertanya: “ Wahai Rasulullah! tentang ni’mat yang manakah kami akan disoal? Sedangkan yang kami ada hanyalah dua al-Aswadan iaitu air dan kurma, kami ada pedang-pedang di tengkok-tengkok kami dan musuh yang bersiap sedia? Maka ni’mat apakah gerangan kami akan disoal nanti?” Jawab Baginda saw: “Adapun perkara itu tetap akan berlaku”.
Bagaimana dengan kita? ….ni’mat apakah yang kita ada berbanding para sahabat? Terasa diri ini kerdil, terkelu dan tunduk malu. Ironinya, dengan segala nikmat yang Allah swt berikan, amalan kita adalah begitu jauh berbanding Para sahabat.
Ingatlah ketika Hari Pembalasan, sedikit yang kita ada sedikit yang akan diselidiki. Lebih banyak yang kita ada, maka lebih banyak kita akan disoal-siasat nanti.
Kita sepatutnya sedar bahawa tidak perlu untuk bermegah-megah atas ni’mat yang Allah beri. Ucaplah Alhamdulillah dan pada masa yang sama timbulkanlah rasa gerun bahawa kita akan lebih dipersoalkan bila ni’mat yang kita perolehi di dunia ini semakin bertambah.