Wasatiah Siri 10

Al-Quran dan hadis tentang tawassut dan i’tidal dalam berkasih-sayang dan memberikan peringatan

Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang menyentuh mengenai kasih sayang yang juga mengandungi makna tawassut dan i’tidal.

Antara contohnya ialah:

  1. Perintah agar menyeru manusia ke jalan Tuhan dengan cara berhikmah, nasihat yang baik serta perbahasan yang lebih baik. 

Allah taala berfirman:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (Al-Nahl: 125).

  1. Kecintaan kepada seseorang tidak sepatutnya berdasarkan sesuatu manfaat yang ingin diperolehi. Sebaliknya, tujuan mencintai seseorang hendaklah untuk mencari keredhaan Allah. 

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa yang memberi kerana Allah, melarang kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, menikahkan kerana Allah, maka telah sempurna keimanannya.” (Riwayat Al-Hakim). 

Kesimpulanwasati cartoon

Sungguh pun wasatiyah diambil dari kalimah wasat, ini tidak bererti seseorang itu berdiri di antara kebenaran dan kebatilan, tidak menyokong kebenaran dan tidak juga menentang kebatilan.

Ia juga tidak bererti seseorang itu berdiri di antara kebaikan dan kejahatan, tidak mengajak kepada kebaikan dan tidak juga mencegah kejahatan.

Bukan ini yang dilaungkan oleh para ulama yang muktabar dan bukan ini yang diseru oleh Sheikh Al-Zuhayli.

Sebagaimana yang disebutkan pada awal artikel ini dan sekali lagi ingin ditegaskan di sini, salah satu pengertian wasat adalah yang terbaik dan yang paling adil.

Umat Nabi Muhammad s.a.w. disifatkan sebagai ummatan wasatan iaitu umat pilihan, terbaik dan paling adil.

Akhirnya, segala apa yang disyariatkan oleh Allah taala, baik yang berkaitan denga ibadah, muamalat kewangan, hubungan kemasyarakatan atau yang lain-lain adalah terbaik dan paling adil.