Al-Quran dan hadis tentang tawassut dan i’tidal dalam ibadah
Hukum-hukum syarak kesemuanya dibina di atas kemudahan, samahah, tawassutserta i’tidal agar mudah diamalkan bagi sekalian manusia, baik dalam keadaan kuat mahupun lemah, musafir mahupun mukim, sihat mahupun sakit, muda mahu pun tua.
Allah taala berfirman:
“Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…” (Al-Baqarah: 286)
“Bertaqwalah kepada Allah menurut kemampuan kamu…” (Al-Taghabun: 64)
Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apa yang aku larang kamu daripada melakukannya, hindarilah ia. Dan apa yang aku perintahkan kamu melakukannya, lakukanlah menurut kemampuan kamu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Dalam ibadah solat yang disebutkan di dalam Al-Quran terkandung makna tawassutdan i’tidal.
Allah taala berfirman:
“Berjayalah orang-orang mukmin. (Iaitu mereka) yang khusyuk di dalam solat mereka.” (Al-Mu’minun: 1-2).
Makna kemudahan, samahah, tawassut serta i’tidal juga terdapat di dalam ibadah puasa.
Berikut adalah beberapa contoh:
- Keringanan agar tidak berpuasa bagi golongan yang berada dalam keadaan musafir atau sakit.
Allah taala berfirman:
“…sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan (Ramadan), maka hendaklah dia berpuasa dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…” (Al-Baqarah: 185).