Wasatiah Siri 8

Al-Quran dan hadis tentang tawassut dan i’tidal muamalah dan hubungan masyarakatdebating moderate islam

Selain dari lapangan ibadah, makna kemudahan, samahah, tawassut serta i’tidal juga wujud dalam bermuamalah kewangan dan berhubungan kemasyarakatan.

Di antara contohnya:

  1. Urusan jual-beli harus dijalankan berdasarkan keredhaan kedua belah pihak.

Allah taala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang kamu redhai…” (Al-Nisa’: 29).

  1. Pujian bagi mereka yang memberi kemudahan ketika berjual-beli dan menuntut hak.

Jabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Semoga Allah merahmati seseorang yang mudah apabila menjual, membeli dan menuntut haknya.” (Riwayat Al-Bukhari).

  1. Larangan melengahkan pembayaran hutang bagi mereka yang mampu melunaskannya. 

Rasulullah bersabda, “Melambatkan pembayaran hutang bagi golongan kaya adalah satu kezaliman.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

  1. Perintah agar memberikan tempoh bagi golongan yang menghadapi kesukaran melangsaikan hutang.

Allah taala berfirman:

“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga lapang hidupnya dan jika kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu seandainya kamu mengetahui.”  (Al-Baqarah: 280).