7) BIDANG BIOLOGI (BOTANI DAN ZOOLOGI)
Bidang ini turut berkembang pada zaman kegemilangan tamadun sains dan teknologi Islam. Bidang ini mengkaji fenomena benda-benda hidup dari yang sekecil-kecilnya hingga kepada yang sebesar-besarnya. Oleh itu, bidang ini turut menyentuh secara langsung bidang botani dan zoologi.
Bidang botani berkembang pesat pada zaman kegemilangan sains dan teknologi tamadun Islam. Ia amat berkait rapat dengan perkembangan bidang perubatan dan farmasi, di samping untuk memajukan bidang pertanian. Menurut S. H. Nasr (1970), umat Islam telah mula memberikan sumbangan dalam bidang botani dengan munculnya karya-karya awal dalam bidang ini, iaitu buku-buku seperti Kitab al-Hudud, Kitab ‘Ilm al-Nabat dan Kitab al-Filahah, yang dianggap penting dalam bidang ini. Antara tokoh penting botani Islam ialah:
- Al-Riyasa ibn Jarit (m.d. 1193M) yang telah membuat kajian mengenai pokok limau rubab dan penggunaannya.
- Al-Ghafiqi (m.d. 1165M) yang telah mengarang Kitab al-Adwiyah al-Mufradah mengenai tumbuh-tumbuhan dan herba perubatan.
- Al-Baytar (m.d. 1248M) telah mengarang Kitab al-Adwiyah al-Mufradah dan al-Jami’ fi al-Adwiyah al-Mufradah juga mengenai botani dan kaitannya dengan ubat-ubatan.
- Ibn Wahsyiyyah telah mengarang Kitab al-Filahah al-Nabatiyyah.
- Ali ibn Rabban al-Tabari (838–870M) telah mengarang Kitab Firdaws al-Hikmah yang membincangkan tentang tumbuh-tumbuhan.