8) BIDANG KEJURUTERAAN
Sains kejuruteraan yang dianggap oleh para cendekiawan Islam klasikal sebagai sebahagian daripada sains matematik terdiri daripada 12 sub-bidang, iaitu bangunan, ukur, pelayaran dan pengapungan, optik, cermin membakar, mesin perang, pusat graviti, pengangkatan bebas berat, neraca, mekanik, industri, dan pertanian. Dalam buku Islamic Technology: An Illustrated History (1986) oleh Ahmad Y. Al-Hassan dan Donald R. Hill, teknologi kejuruteraan dipecahkan kepada lapan bahagian, iaitu kejuruteraan mesin, kejuruteraan awam, kejuruteraan militeri, kejuruteraan perkapalan, kejuruteraan kimia, kejuruteraan tekstil, kertas dan kulit (pembuatan), kejuruteraan pertanian, dan kejuruteraan logam dan galian.