PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 52

FAKTOR KEGEMILANGAN INOVASI DALAM SAINS DAN TEKNOLOGI ISLAM

Terdapat beberapa faktor yang boleh dikaitkan dengan kecemerlangan inovasi dalam bidang sains dan teknologi Islam,  antaranya ialah (Fadzlullah Shuib, 1995, 2007: 30-31):

  1. Dorongan ajaran al-Quran dan hadis yang mencetuskan budaya ilmu dalam masyarakat Islam.
  2. Naungan politik para pemerintah Islam. Polisi pemerintah terhadap kegiatan inovasi sains dan teknologi telah meningkatkan dan memantapkan lagi kecemerlangan sains dan teknologi Islam.
  3. Kegiatan penyerapan budaya ilmu asing khasnya Yunani ke dalam budaya ilmu Islam telah memarakkan lagi kegiatan inovasi sains dan teknologi Islam.
  4. Kemunculan cendekiawan neo-Muslim zaman Abbasiah, Andalus dan Fatimiah telah menyumbang kepada pendemokrasian ilmu yang menginovasikan sains dan teknologi Islam yang gemilang.
  5. Polemik agama-sains dan teologi-falsafah telah memarakkan lagi kegiatan intelektual Islam yang bersifat penyaringan ke atas pengaruh budaya asing yang tidak bersesuaian dengan budaya ilmu Islam. Contohnya, polemik antara al-Ghazali dan Ibn Rushd (Tahafut al-Falasifah vs Tahafut al-Tahafut).
  6. Kegiatan perdagangan antarabangsa pada era kegemilangan sains dan teknologi Islam telah mencetuskan rekaan dan produk dalam pelbagai bidang termasuk ketenteraan, pembinaan kapal, cerapan astronomi, perubatan, pembuatan, dan perkhidmatan.