FAKTOR KEMALAPAN SAINS DAN TEKNOLOGI ISLAM
Ibarat siang dan malam yang silih berganti, maka demikianlah nasib yang dialami oleh setiap tamadun dunia termasuklah tamadun Islam yang pernah mencapai zaman kegemilangan dalam bidang sains dan teknologi. Antara faktor yang boleh dikaitkan dengan kemalapan bidang sains dan teknologi Islam ialah (Fadzlullah Shuib, 2007: 31-32):
- Ketidakstabilan politik dan kegawatan ekonomi menjelang abad ke-13 Masihi di seluruh wilayah Islam telah memberikan kesan yang besar kepada kemerosotan kegiatan inovasi sains dan teknologi Islam.
- Serangan kuasa ketenteraan asing yang kurang bertamadun seperti tentera Tartar dan tentera Sepanyol-Kristian yang telah meranapkan sama sekali kerajaan-kerajaan Islam. Dengan ini kegiatan intelektual serta inovasi dalam sains dan teknologi turut terencat.
- Krisis dalaman umat Islam sehingga muncul pertelagahan antara pendokong sains dan teknologi Islam dengan golongan tradisionalis telah merencatkan perkembangan inovasi sains dan teknologi di dunia Islam.
- Kebangkitan Barat dengan zaman Renaisans dan revolusi sains Eropah menjelang tahun 1600M diikuti dengan tempoh penjajahan Barat ke atas dunia Islam telah melumpuhkan sama sekali kegiatan sains dan teknologi Islam.