KESIMPULAN
Sebahagian besar karya-karya cendekiawan Muslim tersebut adalah berkaitan sains dan teknologi. Malangnya, berbagai pihak yang berpandangan serong dan cemburu dengan Islam tetap berusaha menafikan sumbangan para cendekiawan Muslim dalam pelbagai lapangan sains. Walhal saintis Muslimlah yang telah menyumbang saham yang besar kepada tercetusnya era Renaisans di Eropah dan kemunculan zaman moden di Barat. Amat menyedihka lagi apabila sebilangan besar penganalisis tamadun moden Barat mengungkapkan kekagumannya kepada tamadun Yunani yang dianggap satu-satunya peradaban yang bertanggungjawab melahirkan tamadun Barat Moden yang gemilang. Sebenarnya, tamadun Yunani selepas tumbangnya Empayar Rom telah gagal menyelamatkan Eropah daripada zaman kegelapan selama 500 tahun. Kemunculan tamadun Islam dalam tempoh itu yang dikenali sebagai zaman pertengahan (mulai abad 7-16 Masihi) telah menyelamatkan Eropah daripada terus-menerus berada dalam kegelapan dan kejahilan. Malah, pihak berautoriti di Eropah pada ketika itu telah menindas dan menzalimi para saintis dan filsuf mereka yang telah menerima cahaya ilmu sains dan teknologi dari universiti-universiti Islam di Sepanyol. Benar sekali rumusan yang dibuat oleh George Sarton, sarjana sains Amerika yang mengatakan:
“ …. dalam menjelaskan sejarah budaya Eropah, kita boleh meninggalkan langsung sumbangan Hindu dan Cina dalam perkembangan matematik, tetapi meninggalkan sumbangan Muslim akan memusnahkan ceritanya, kerana tidak boleh diterima akal. Sarjana Muslim menandingi sarjana Yunani, sepertilah kaitan Amerika dengan Eropah pada masa sekarang.”