Jadilah Bermanfaat Bukan Pembeban

Sebagai Muslim, setiap kita perlu sentiasa berusaha untuk menjadi orang yang bermanfaat. Keberadaan kita dalam keluarga, dalam organisasi juga dalam masyarakat sentiasa dirasai dan bermanfaat kepada orang lain. Jangan sekali-kali kita menjadi pembeban.

Firman Allah:

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلا رَجُلَيْنِ أَحَدُهُمَا أَبْكَمُ لا يَقْدِرُ عَلَى شَيْءٍ وَهُوَ كَلٌّ عَلَى مَوْلاهُ أَيْنَمَا يُوَجِّهْهُ لا يَأْتِ بِخَيْرٍ هَلْ يَسْتَوِي هُوَ وَمَنْ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَهُوَ عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (٧٦

“Dan Allah (pula) membuat perumpamaan: dua lelaki yang seorang bisu, atas tidak dapat berbuat sesuatu pun dan dia menjadi beban penanggungnya, ke mana saja dia disuruh oleh penanggungnya itu, dia tidak dapat mendatangkan satu kebajikan pun, samakah orang itu dengan orang yang menyuruh berbuat keadilan, dia berada pula di atas jalan yang lurus?” (An-Nahl : 76)

Ayat ini membuat perumpamaan perbandingan antara orang yang tidak dapat melakukan apa-apa malah menjadi beban kepada orang lain dengan orang yang melakukan amal kebaikan dan mendatangkan manfaat.

Islam mahukan agar seorang Muslim tidak menjadi beban sebaliknya menjadi seorang yang bermanfaat.

Falsafah hidup seorang Muslim harus sentiasa menjadi seorang yang bermanfaat, penyumbang dan relevan kepada organisasi, keluarga, masyarakat dan negara. Tidak hanya kewujudannya menambah pada angka semata-mata atau menjadi beban kepada keluarga, masyarakat, negara dan organisasinya.

Tidak wajar bagi seorang Muslim menjadi seperti melukut di tepi gantang atau sesuatu yang wujudnya tidak dirasai dan ketiadaannya tidak merugikan. Lebih buruk lagi, jika ketiadaannya itu melegakan hati.

Allah menggambarkan manusia pembeban dalam ayat di atas dengan ‘ke mana sahaja dia pergi, dia tidak mendatangkan suatu kebajikan pun’.

Justru kebaikan kita hendaklah meluas dalam konteks apa jua bukan hanya dalam sudut-sudut tertentu sahaja. Dalam erti kata yang lain, kita tidak hanya bermanfaat bagi keluarga tetapi menjadi beban bagi organisasi, masyarakat dan negara.

Seorang itu dikatakan bermanfaat apabila dia mendatangkan kebaikan, menyuruh kepada keadilan dan berada di jalan yang lurus. Namun Allah tetap menggunakan kata kebaikan dan keadilan secara berasingan, kata yang bersifat umum dan universal بِخَيْرٍ بِالْعَدْلِ

Bermanfaatnya seorang Muslim mestilah juga dirasai dalam konteks nilai-nilai sejagat. Kita bukan bersuara atas dasar agama sahaja tetapi juga nilai-nilai luhur dan sejagat yang dikongsi bersama oleh manusia.

Salah satu sifat bermanfaat ialah kekal relevan dan memberi kesan (impact) dengan situasi di mana sahaja kita berada. Kalau kebaikan yang dibawa dan diseru oleh kita tidak relevan atau tidak dirasakan relevan atau tidak mencetus kesan (impact) oleh orang lain, maka hampir samalah dengan tidak bermanfaat.