Kualiti Dilihat Dari Aspek Proses dan Prosedur
Dalam menghasilkan sesuatu amal, kita ingin setiap amal diterima Allah dan diberikan ganjaran sebaiknya. Untuk memastikan amal berkualiti, diterima dan sempurna, pastikan proses dan prosedurnya baik dan sempurna. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللهَ كتَبَ الإِحْسَا نَ عَلى كُلِّ شَيْءٍ. فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ وَلْيُحِدِّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
“Sesungguhnya Allah telah menentukan pada setiap sesuatu ada kebaikan. Maka apabila kamu membunuh, hendaklah kamu bunuh dengan sempurna dan apabila kamu menyembelih, lakukanlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah tiap seorang dari kamu menajamkan pisau (alat sembelihan) dan biarkanlah haiwan sembelihan kamu mati dengan cara yang baik” (HR Tirmizi No: 1329)
Dalam hadis di atas jelas menerangkan dalam bab sembelihan binatang untuk dimakan, proses dan prosedur jelas diterangkan iaitu pisau yang digunakan perlu ditajamkan dalam ertikata yang lain jika digunakan ketika sembelihan dengan sekali tarik, pisau tersebut telah memutuskan urat yang sepatutnya pada leher binatang. Prosedur yang digunakan selamat dan tidak menyiksa binatang tersebut.
Marilah kita melakukan sesuatu urusan dengan menyempurnakan sebaik mungkin, bukan sekadar seperti melepaskan batuk di tangga. Perkhidmatan yang kita beri, pastikan yang terbaik dan jika barang yang kita hasilkan ia berkualiti dan mendapat kepuasan kepada orang yang menerimanya.