Sumbanglah Sesuatu Yang Berkualiti
Dalam melakukan amal soleh, setiap kita perlu melakukan dengan ikhlas, bersungguh-sungguh serta yang paling baik dan sempurna. Sama ada dalam bentuk ibadat khususiah seperti solat, puasa, tilawah al-Quran mahupun ibadat umum seperti berniaga, perkhidmatan dan sebagainya.
Islam menekankan kualiti dalam setiap perkara. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لاَيَقْبَلُ إِلاَّطَيِّبَا
“Sesungguhnya Allah itu baik (suci bersih) dan Allah tidak akan menerima kecuali yang baik (suci bersih – berkualiti) juga” Riwayat Muslim
Sesuatu yang dilakukan akan diterima sebagai ibadah apabila ianya memenuhi syarat baik (suci bersih dan berkualiti), termasuk dilakukan dengan ikhlas (syarat diterima amal), bersungguh-sungguh dan sempurna.
Al-Quran menegur kualiti barang atau kerja yang berkualiti rendah. Diriwayatkan oleh Imam Hakim: Kisah sahabat yang sering membawa buah kurma daripada dusun ke masjid untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Pada suatu hari salah seorang membawa buah kurma yang kualitinya rendah sedangkan dia mampu memberikan yang lebih baik. Lalu turun ayat surah al-Baqarah: 267
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الأرْضِ وَلا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِآخِذِيهِ إِلا أَنْ تُغْمِضُوا فِيهِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ (٢٦٧)
“Wahai orang-orang yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa terpuji”.
Berdasarkan ayat di atas;
1. Allah mengarahkan orang beriman untuk menghasilkan atau menyumbang sesuatu di dunia sebagai bekalan di akhirat.
2. Dalam menghasilkan atau menyumbang sesuatu, seperti harta, perkhidmatan, pengurusan, pengajaran, dan lain-lain, maka perlu dipersembahkan yang terbaik.
3. Kita juga tidak ingin menerima sesuatu yang buruk atau tidak berkualiti.
Menyumbanglah sesuatu yang paling baik daripada kita agar ia menjadi fix deposit untuk kita di akhirat nanti.