Penyakit Orang Baik
Antara penyakit yang perlu dirawat kepada orang yang beramal ialah riya’ (untuk menunjuk atau dilihat manusia ketika beramal) dan sum’ah (beramal agar didengar oleh orang lain). Amal yang dilakukan tidak ikhlas kerana Allah.
Riya’ dan sum’ah ialah syirik kecil yang merosakkan ibadah. Sesiapa yang melakukan ibadah kerana menginginkan pujian manusia, hakikatnya dia telah menghapuskan pahala ibadah tersebut. Dia tidak akan mendapatkan apa-apa ganjaran daripada Allah SWT kelak.
Penyakit ini hanya menghinggapi ‘orang baik’ sahaja. Orang jahat dan tidak mengenali Allah SWT tidak memiliki sifat-sifat ini kerana mereka tidak melakukan ibadah sama sekali. Mereka akan menjadi bara api neraka tanpa dihisab.
Adapun orang yang baik ini, maka ia mesti terus menjaga kemurnian ibadahnya. Setiapkali melakukan ibadah, dia wajib meluruskan niatnya agar ibadahnya diterima oleh Allah SWT, terutamanya apabila manusia mula menyebut-nyebut kebaikannya dan memuji dirinya.
Syeikh Ali al-Khawas berkata: “Jika engkau sedang berada di jalan istiqamah, lalu seseorang memujimu, maka itu satu peringatan atas kekurangan yang terdapat di dalam diri. Maka periksalah dirimu. Carilah sebabnya, kenapa manusia memujimu? Boleh jadi Allah melihat hatimu menyukai pujian, maka Allah memberikan pujian itu untukmu sebagai satu-satunya balasan atas ibadah tersebut. Seperti seorang ayah yang menggembirakan anaknya dengan gelang dan kalung tiruan.”
Untuk menghindari sifat ini, kita wajib mengetahui tanda-tandanya. Pastikan tanda-tanda tersebut tidak terdapat dalam diri kita.
Saidina Ali bin Abi Talib RA pernah berkata: Tanda riya’ tiga perkara:
1. Malas beramal jika bersendirian
2. Rajin beramal jika dalam ramai
3. Menambah amalan jika dipuji dan menguranginya jika dicela