Ikhlas

Ikhlas

  • üTidak menunjuk-nunjuk kepada pegawai atasan
  • üTidak memilih tugas tertentu untuk dilaksanakan i.e. tugas yg ada hubungan kenaikan pangkat
  • üLaksanakan tugas tanpa mengira waktu

Elakkan

  • Kerja bersungguh bila pegawai lihat
  • Bertugas memilih tempat, masa atau orang
  • Kenakan syarat jika diberi tugas diluar waktu

Amanah, Bersih dan Jujur

  1. Melaksanakan dengan penuh ikhlas
  2. Tidak menyembunyikan sebarang maklumat penting
  3. Mengenepikan kepentingan sendiri untuk kepentingan umum
  4. Tidak dicemari amalan rasuah
  5. Tidak menggunakan pengaruh dan kedudukan untuk kepentingan diri

Ciri Amanah dalam menjalankan tugas

  • Menggunakan masa sebaik-baiknya
  • Mengurus dan menjaga kewangan serta harta awam (kerajaan dan rakyat) ikut peraturan, elak rasuah dan pembaziran
  • Siapkan kerja ikut tempoh

Elakkan

  • Cuai dalam tugas
  • Salahguna kuasa, harta dan perkhidmatan
  • Lakukan tugas peribadi dengan berlindung disebalik tugas rasmi

Akhlak Siri 9: Ciri Akhlak

Ciri Akhlak

Menurut Mohd Nasir (2005), akhlak seharusnya mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

 

  1. Aspek batin atau keadaan jiwa seseorang yang merupakan tenaga penggerak kepada pembentukan tingkah laku

 

  1. Aspek luaran atau tingkah laku itu sendiri yang dilakukan bukan kerana tekanan emosi atau desakan-desakan dari luar seperti paksaan atau sebagainya.

 

  1. Perbuatan-perbuatan itu pula hendaklah dilakukan secara berterusan hingga menjadi kebiasaan dan darah daging kepada seseorang.

 

Al-Jazari (2006) menyatakan apabila jiwa seseorang dididik dengan mengutamakan kebaikan, kebenaran, cinta kepada makruf, suka kepada kebaikan serta dilatih mencintai yang terpuji dan membenci yang tercela, maka sifat tersebut menjadi tabiat yang akan melahirkan perbuatan baik dengan secara mudah tanpa paksaan, dengan demikian seseorang dikatakan berakhlak mulia.

Akhlak Siri 8: Akhlak Adalah Set Kepercayaan

Akhlak Dalam Islam Siri 8

 

Akhlak menurut Ab. Halim dan Zarin (2002) adalah satu set kepercayaan, undang-undang dan sistem yang berkaitan dengan kelakuan atau tindakan manusia yang menentukan sesuatu perkara itu sama ada baik atau buruk, betul atau salah dalam konteks ketauhidan manusia kepada Allah S.W.T. Mengikut Mohd Nasir (2005), hal ini merujuk kepada suatu situasi yang terjana dalam diri seseorang. Situasi tersebut merupakan dimensi rohaniah yang sangat penting kerana  menjadi punca kepada semua perbuatan yang dilakukan oleh manusia. Jika situasi tersebut memandu seseorang merealisasikan perbuatan yang baik seperti amanah, sabar, adil, berani dan sederhana, maka seseorang boleh dikatakan mempunyai akhlak yang baik. Sebaliknya, seseorang akan dilabel tidak berakhlak jika situasi tersebut merealisasikan perbuatan yang jahat seperti munafik, penakut, zalim, tidak sabar, melampaui batas dan seumpamanya.

Akhlak Siri 7: Akhlak Aplikasi Luaran Insan

Akhlak Dalam Islam Siri 7

 

Akhlak adalah aplikasi luaran oleh seseorang insan.  Pandangan ini jika diintegrasikan dengan pandangan al-Ghazali dan Ibn Maskawayh akan menghasilkan satu takrifan yang kukuh. Walau bagaimanapun, menurut Hasnan (2008), perlakuan luaran yang dipaparkan oleh insan melalui anggota tubuh badan tidak akan dinilai oleh Islam kecuali lahir daripada kesedaran jiwa insan yang melakukan. Justeru, Islam tidak mengiktiraf sumbangan kebaikan yang dilakukan oleh orang kafir sebagai amal soleh yang diberi ganjaran pahala dan syurga.

Akhlak Siri 6: Jiwa Menggerakkan Akhlak

Akhlak Dalam Islam Siri 6

 

Perbuatan yang dilakukan oleh seseorang itu memerlukan daya penggerak. Ahmad Diniah (1995) dan Zaharah (2008) menyatakan bahawa daya penggerak perbuatan seseorang itu ialah jiwa. Jika keadaan jiwa itu melahirkan perbuatan yang baik, seperti perbuatan yang diterima baik oleh akal dan syarak, dinamakan akhlak yang baik. Sebaliknya, jika melahirkan perbuatan yang jahat, maka ia dinamakan akhlak yang buruk.  Menurut Ibn Miskawayh (1968), hal tersebut terbahagi kepada dua jenis. Satu bersifat tabii dan semula jadi seperti cepat marah, mudah menangis atau ketawa meskipun dengan sebab perkara yang kecil. Kedua situasi kejiwaan yang diperoleh oleh seseorang melalui kebiasaan dan disiplin diri secara konsisten akan  beransur berubah menjadi tabiat dan membentuk akhlak seseorang.

Akhlak Siri 5: Akhlak Sifat Dalaman

Akhlak Dalam Islam Siri 5

 

Akhlak adalah sifat dalaman. Menurut Yasin Rusydi (1992), akhlak adalah sifat dalaman yang sebati dalam diri seorang insan sehingga sifat itu menjadi seolah-olah seperti anggota yang melekat sesama tubuh badannya. Sifat yang sebati ini seolah-olah telah menjadi darah daging atau seperti darah yang mengalir dalam tubuh seorang insan. Menurut beliau lagi, sifat tersebut diperoleh melalui usaha seseorang dengan menggesa dirinya mengamalkan tuntutan sifat yang ada dalam diri seseorang. Sebagai contoh orang yang hendak memiliki  pemurah sebagai sifat akhlaknya maka dia hendaklah memaksa dirinya untuk menafkahkan hartanya ke jalan kebaikan, mengajak manusia makan makanan yang disediakannya dan membelanjakan harta kepada orang yang memerlukan. Dia perlu memaksa dirinya sehingga sifat itu menjadi sebati dengan dirinya. Maka pada ketika itu dia akan mudah menafkahkan hartanya ke jalan kebaikan. Pada masa itu dia telah menjadi seorang yang mempunyai akhlak pemurah.

 

Menurut Mohd Nasir (2005), sifat pemurah dan dermawan adalah berpunca daripada sifat dalaman bagi manusia. Manakala perbuatan membantu orang susah, memberi kepada orang yang memerlukan dan menjemput orang makan hidangan yang disediakan adalah sifat luaran yang ada pada insan yang pemurah.  Justeru, tingkah laku yang ditunjukkan adalah sesuatu yang berbentuk indikator akhlak yang baik pada diri seseorang.

Akhlak Siri 4 : Akhlak Suatu Yang Tertanam Dijiwa

Akhlak Dalam Islam Siri 4

Kebiasaan yang diulang-ulang ini akhirnya menjadi sifat yang tertanam di dalam jiwa. Hal ini bertepatan dengan pengertian yang diberikan oleh Al-Ghazali (t.t); Ibn Miskawayh (1966) dan Ibrahim Anis (1972) bahawa akhlak adalah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang, darinya melahirkan tindakan, perlakuan atau perilaku amalan dengan mudah tanpa memerlukan pemikiran dan pertimbangan terlebih dahulu. Dalam Ensiklopedia Islam Safir (2000) menyebutkan bahawa kebiasaan itu terbit daripada perbuatan sama ada baik atau buruk, tanpa memerlukan kepada deria fikir atau deria penelitian.

Akhlak Siri 3: Akhlak Suatu Kebiasaan

Akhlak Dalam Islam Siri 3  

Untuk menjadikan sesuatu perbuatan sebagai suatu tabiat dan kebiasaan yang akhirnya menjadi akhlak, tingkah laku berkenaan perlu sentiasa diulang-ulang. Ahmad Amin (1974) menyatakan bahawa akhlak sebagai kemahuan yang dibiasakan. Apabila sesuatu tingkah laku yang berasaskan kemahuan itu diulang-ulang atau membiasakan sesuatu kecenderungan secara berkekalan, maka ia akan menjadi akhlak. Seperti mana yang disebutkan oleh Azhar (2006) bahawa akhlak itu berkait rapat dengan unsur ketekalan sesuatu keadaan sehingga melahirkan perlakuan dengan mudah di dalam mana-mana keadaan yang dialami oleh seseorang. Hal ini diperakui oleh Al-Hufy (2009) bahawa akhlak itu adalah kebiasaan yang dilakukan secara berulang-ulang sehingga menjadi adat atau budaya yang mengarah kepada perlakuan kebaikan atau keburukan. Tabiat kebiasaan ini adalah tingkah laku atau hal ehwal yang melekat pada seseorang kerana telah dilakukan berulang-ulang.