Doa Jauh Dari Pelbagai Keburukan

Doa Jauh Dari Pelbagai Keburukan

وَعَنْ قُطْبَةَ بْنِ مَالِكٍ رضى الله عنه قَالَ: كَانَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: اَللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ اَلْأَخْلَاقِ, وَالْأَعْمَالِ, وَالْأَهْوَاءِ, وَالْأَدْوَاءِ

Daripada Qutaibah bin Malik RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca doa: Ya Allah, jauhkanlah aku daripada akhlak yang keji, amalan yang munkar, nafsu yang buruk dan pelbagai penyakit yang berat. (Sunan Tirmidzi no 3591) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW mengajar kita agar sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah dalam setiap masa dan keadaan agar dijauhi daripada sesuatu yang buruk.

2. Dalam kehidupan kita, pelbagai akhlak buruk, amal buruk, nafsu buruk serta penyakit berat yang mungkin akan menjadi tabiat dan dimiliki oleh seseorang.

3. Rasulullah SAW mengajar kita agar memohon untuk dijauhi dan jangan didekatkan dengan:

– Akhlak buruk seperti sifat sombong, hasad, dengki, kedekut, suka berburuk sangka dan sebagainya.

– Amal buruk yang berkaitan dengan anggota tubuh, seperti perbuatan buruk berkaitan lisan, dan tulisan, suka mencaci, suka mencela, memukul orang, membunuh, berzina, merompak dan pelbagai dosa besar.

– Hawa nafsu yang buruk akan menjerumuskan seseorang kepada perkara yang membinasakan, menjadikan seseorang berani untuk melakukan dosa. Firman Allah :

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ

“Terangkanlah kepadaku bagaimana tentang seorang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya?” (QS Al Jatsiyah: 23)

– Penyakit berat yang memudaratkan dan merbahaya seperti kanser, HIV, jantung, strok, Covid dan sebagainya.

4. Namun Rasulullah SAW tidaklah memohon berlindung dengan semua penyakit secara mutlak, kerana ada sebahagian penyakit yang memang bermanfaat. Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلاَّ كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

“Tidaklah seorang Muslim ditimpa dengan keletihan, penyakit, kekhawatiran (sesuatu yang akan menimpa di kemudian hari), kesedihan, demikian juga gangguan dari orang lain, kegelisahan hati, hingga duri yang menusuknya, kecuali Allah SWT akan menghapuskan dosa-dosanya.” (HR Bukhari no 5210)

5. Marilah kita amalkan doa agar dijauhi akhlak yang buruk, amalan yang memudaratkan, hawa nafsu yang buruk serta penyakit-penyakit yang berat:

اَللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ الْأَخْلاَقِ
وَالْأَعْمَالِ وَالْأَهْوَاءِ وَالْأَدْوَاء

Ya Allah, jauhkanlah aku daripada akhlak yang keji, amalan yang munkar, nafsu yang buruk dan pelbagai penyakit yang berat

Malaysia Prihatin. Mari Kita Bina Bersama

Kebaikan dan Dosa

Kebaikan dan Dosa

عَنْ النَّوَّاسِ بْنِ سِمْعَانَ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ: سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْبِرِّ وَالْإِثْمِ فَقَالَ: الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ.

Daripada an-Nawwas bin Sim‘an al-Ansari RA, beliau berkata: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang erti kebaikan dan dosa.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Kebaikan adalah berakhlak yang mulia. Manakala dosa adalah sesuatu yang mengelisahkan hatimu (ketika dosa tersebut dilakukan, hati gementar dan bimbang) serta kamu tidak suka orang lain mengetahuinya.” (HR Muslim, No: 2553) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Fitrah manusia sukakan kebaikan juga inginkan kebaikan. Kebaikan itu adalah akhlak yang baik.

2. Akhlak yang baik terhasil daripada ketaatan kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.

3. Hati yang tenang adalah jiwa yang memiliki nur (cahaya) sehingga dapat membezakan antara perkara yang benar dan salah, perkara yang jujur dan yang bohong, perkara yang terpuji dan tercela, kerana itulah petunjuk yang datang daripada jiwa seseorang yang sentiasa melakukan kebaikan. Sabda Nabi SAW:

الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ

Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu. (HR Ahmad No:18006)

4. Manusia yang fitrahnya suka melakukan kebaikan akan menyebabkan hati tenang. Manakala perkara dosa pula akan menggementarkan hati. Apabila melakukan dosa, hati akan sentiasa berada dalam keadaan ketakutan, berdebar-debar, resah gelisah, cemas, bimbang dilihat atau diketahui oleh orang lain.

5. Pelaku dosa sentiasa bimbang dan tidak mahu jika perlakuan buruknya diketahui oleh orang lain.

Malaysia Prihatin. Mari Kita Bina Bersama

Mukmin VS Ahli Maksiat

Mukmin VS Ahli Maksiat

عَنْ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ فَقَالَ بِهِ هَكَذَا

Daripada Abdullah bin Mas’ud ra berkata, bahwa Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya seorang mukmin (ketika) ia melihat dosa-dosanya, adalah seperti (ketika) ia duduk di lereng sebuah gunung, dan ia sangat khuatir gunung itu akan menimpanya. Sedangkan seorang fajir (orang yang selalu berbuat dosa), ketika ia melihat dosa-dosanya adalah seperti ia melihat seekor lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian ia mengusirnya seperti ini lalu terbang (ia menganggap remeh dosa).” (HR Bukhari No: 6309) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Di antara ciri keimanan seseorang kepada Allah adalah rasa takut dan khuatir yang sangat besar dan mendalam terhadap dosa yang dilakukannya.

2. Orang Mukmin, sentiasa merasa kepedihan yang mendalam jika berbuat dosa dan merasa takut, seolah ia seperti berada di lereng sebuah gunung dan ia khuatir gunung tersebut akan jatuh menimpanya.

3. Seorang ahli maksiat ia tidak takut akan perbuatan maksiat dan dosa-dosanya, sehingga setiap hari hidupnya bergelumang dengan kemaksiatan dan dosa.

4. Orang yang biasa berbuat dosa, ia menganggap remeh dosa-dosanya, seakan seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya, lalu ia mengusirnya. (Menganggap dosanya seperti hinggapan lalat saja).

5. Seorang pelaku maksiat, apabila dilakukan berterusan, hatinya menjadi keras, maka mereka tidak akan peduli, atau malah berbangga diri ketika melakukan kemungkaran dan dosa. (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, hlm. 294-295)

6. Ibn al-Qayyim menyebut: “Jika hati sudah semakin gelap, maka amat sulit untuk mengenal petunjuk kebenaran.” (Lihat Madarij al-Salikin, 2/292)

Seorang Mukmin, apabila dia melihat sesuatu perbuatan dosa pada dirinya, maka ia harus bersungguh-sungguh menjauhinya.

Malaysia Prihatin. Mari Kita Bina Bersama

Manusia Paling Dicintai & Bermanfaat

Manusia Paling Dicintai & Bermanfaat

 

عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَجُلا جَاءَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ النَّاسِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ وَأَيُّ الأَعْمَالِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ , وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ , أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً , أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا , أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا , وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا

Daripada Ibnu ‘Umar, bahawasannya ada seorang laki-laki yang mendatangi Rasulullah SAW. Ia berkata : “Wahai Rasulullah, manusia apa yang paling dicintai oleh Allah?. Dan amal apa yang paling dicintai oleh Allah ?”. Nabi SAW menjawab: Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia lain. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, mengangkat kesusahan dari orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Sungguh aku berjalan bersama saudaraku yang muslim untuk suatu keperluan lebih aku cintai daripada beri’tikaf di masjid ini (masjid Nabawi) selama sebulan penuh.” (HR. Thabrani di dalam Al Mu’jam Al Kabir no. 13280, 12: 453. (Status: Hadis Hasan dalam Shahih Al Jaami’ no. 176).

Pengajaran:

1. Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat kepada manusia lain.

2. Amalan manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah apabila perbuatannya menjadikan orang lain bahagia. Antaranya:

a. Memberi bantuan dan pertolongan kepada orang yang dalam kesusahan atau kesulitan sehingga kesusahan itu terangkat.
b. Menolong membayarkan hutang orang lain.
c. Menghilangkan rasa lapar orang yang susah dengan memberikan makanan dan minuman.

3. Sesungguhnya Rasulullah SAW lebih suka berjalan bersama seorang Muslim untuk memenuhi suatu keperluannya, daripada beri’tikaf di masjid Nabawi selama sebulan.

Marilah kita menjadi orang yang dicintai Allah dengan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

Tiada Istilah Pencen Buat Muslim

Tiada Istilah Pencen

Setiap Muslim perlu sentiasa melakukan amal soleh sebagai bekalan apabila meninggal dunia kelak. Lakukanlah pelbagai amal soleh di setiap kesempatan yang ada.

Imam Syafie pernah berkata:

طَلَبُ الرَّاحَةِ فِى الدُّنْيَا لاَيَصِحُّ لِأَهْلِ الْمُرُوءَاتِ فَإِنَّ أَحَدَهُمْ لَمْ يَزَلْ تَعْبَانَ فِى كُلِّ زَمَانٍ

“Mencari istirehat di dunia ini tidaklah dibenarkan bagi orang-orang yang mempunyai harga diri, kerana sesungguhnya seseorang di antara mereka masih akan tetap mengalami kelelahan di waktu bila-bila pun”

Marilah jadikan diri kita orang yang sentiasa menyumbang khidmat tanpa mengenal penat lelah. Moga sumbangan kita akan menjadi ganjaran baik apabila bertemu Allah kelak. Tiada istilah pencen buat Muslim!

Ganjaran Pahala Haji dan Umrah

Ganjaran Pahala Haji dan Umrah

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ

Daripada Anas bin Malik RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang solat subuh berjamaah kemudian duduk berzikir sampai matahari terbit kemudian diikuti dengan solat dua rakaat, maka dia mendapatkan pahala seperti pahala haji dan umrah.” dia (Anas radliallahu ‘anhu) berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sempurna, sempurna, sempurna.” (HR Tirmizi No: 535) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Ganjaran pahala berganda sentiasa disediakan kepada setiap Muslim yang menunaikan solat berjemaah khususnya di masjid.

2. Barang siapa yang solat subuh berjamaah kemudian duduk berzikir sampai matahari terbit, diikuti dengan solat dua rakaat (solat isyrak atau duha), maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala haji dan umrah.

3. Rasulullah SAW mengulangi tiga kali kalimat “Sempurna” (dianugerahkan ganjaran pahala haji dan umrah yang sempurna – walaupun tidak melakukan ibadat haji dan umrah).

Rebutlah peluang ganjaran pahala haji dan umrah dengan memelihara solat berjemaah Subuh di masjid kemudian duduk beriktikaf sama ada dengan mendengar kuliah atau majlis ilmu, membaca al-Quran atau berzikir hingga masuk waktu untuk solat sunat isyrak atau sunat duha sebelum pulang ke rumah. Ambillah peluang paling tidak seminggu sekali pada waktu cuti di hujung minggu.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

Pemimpin Yang Berdusta dan Zalim

Pemimpin Berdusta dan Zalim

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ قَالَ خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْ دَخَلَ وَنَحْنُ تِسْعَةٌ وَبَيْنَنَا وِسَادَةٌ مِنْ أَدَمٍ فَقَالَ إِنَّهَا سَتَكُونُ بَعْدِي أُمَرَاءُ يَكْذِبُونَ وَيَظْلِمُونَ فَمَنْ دَخَلَ عَلَيْهِمْ فَصَدَّقَهُمْ بِكِذْبِهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ وَلَيْسَ بِوَارِدٍ عَلَيَّ الْحَوْضَ وَمَنْ لَمْ يُصَدِّقْهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَيُعِنْهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَهُوَ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ وَهُوَ وَارِدٌ عَلَيَّ الْحَوْضَ

Daripada Ka’ab bin Ujrah ia berkata, “Rasulullah SAW pernah keluar atau masuk menemui kami, ketika itu kami berjumlah sembilan orang. Dan di antara kami ada bantal yang diperbuat dari kulit. Baginda lalu bersabda: “Sesungguhnya akan ada setelahku para pemimpin yang berbuat pendustaan dan kezaliman. Barangsiapa mendatangi mereka kemudian membenarkan pembohongan mereka, atau membantu mereka dalam kezalimannya, maka ia bukan dari golonganku dan aku bukan dari golongannya. Serta ia tidak akan minum dari telagaku. Dan barangsiapa tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu mereka dalam berbuat kezaliman, maka ia adalah dari golonganku dan aku adalah dari golongannya. Dan kelak ia akan minum dari telagaku.” (HR Ahmad No: 17424) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk mencegah kezaliman dan maksiat yang berlaku di sekeliling mereka dengan hikmah dan bijaksana.

2. Sesiapa yang dilantik sebagai pemimpin jangan sekali-kali melakukan pendustaan, pembohongan dan kezaliman.

3. Mana-mana kebenaran dan hak yang dilakukan oleh pemimpin, menjadi kewajipan untuk bersama mempertahankan. Mana-mana yang berbentuk kezaliman dan maksiat, menjadi tanggungjawab untuk menghalangnya daripada berterusan dengan cara yang hikmah dan dibenarkan oleh syarak.

4. Rasulullah SAW memberi amaran kepada mereka yang bersetuju dan menyokong pembohongan dan kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin di kalangan mereka dengan tidak mengaku mereka sebahagian dari umatnya dan tidak layak untuk minum air dari telaga Rasulullah SAW.

5. Muslim yang mencanggahi pembohongan dan kezaliman pemimpin di kalangan mereka dan tidak membantu mereka berterusan dalam kezaliman, maka ia bersama Rasulullah dan Rasulullah SAW akan bersamanya dan layak untuk minum air dari telaga Rasulullah SAW.

Semoga kita tergolong dari kalangan orang yang bersama dengan Rasulullah SAW di hari Akhirat dan Rasulullah SAW bersama dengan kita. Semoga Negara kita memiliki pemimpin yang adil, amanah dan berintegriti ke arah Malaysia yang maju dan makmur serta di rahmati.

Penuntut Ilmu Didampingi Malaikat

Penuntut Ilmu Didampingi Malaikat

عَنْ صَفْوَانَ بْنَ عَسَّالٍ الْمُرَادِيَّ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ خَارِجٍ خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ إِلَّا وَضَعَتْ لَهُ الْمَلَائِكَةُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا بِمَا يَصْنَعُ

Dari Shafwan bin Assal Al Muradi, ia berkata, Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Tidaklah seseorang yang keluar dari rumahnya untuk menuntut ilmu kecuali para malaikat akan mengembangkan sayap-sayapnya untuk orang tersebut kerana redha dengan apa yang ia kerjakan.” (HR Ibnu Majah No: 222) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Menuntut ilmu adalah suatu tuntutan ke atas setiap Muslim

2. Setiap Muslim yang keluar dari rumah untuk menuntut ilmu akan sentiasa dinaungi para Malaikat.

3. Menuntut ilmu tidak hanya terhad kepada golongan pelajar di peringkat sekolah mahupun Institut Pengajian Tinggi, malah setiap masa, tempat dan usia. Allah mengangkat darjat orang yang berilmu:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

“Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]

Rasulullah mengajar kita berdoa agar mendapat ilmu bermanfaat

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ إِذَا صَلَّى الصُّبْحَ حِينَ يُسَلِّمُ :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

Dari Ummu Salamah berkata, “Selepas salam dalam solat subuh Nabi SAW mengucapkan: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima (Ibn Majah No 915) Status: Sahih

Marilah kita memulakan azam tahun baru 2019 ini untuk sentiasa menambah ilmu. Semoga dengan ilmu yang bermanfaat, kita menjadi warganegara Malaysia yang “celik” “bijak” dan “cerdik” untuk menyumbang membangunkan Malaysia menjadi Negara Rahmah.

Keutamaan Orang Berilmu

Keutamaan Orang Berilmu

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ طَالِبَ الْعِلْمِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانِ فِي الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Dari Abu Darda “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa melalui satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para Malaikat akan membentangkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di dalam air mendoakan keampunan kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya, keutamaan seorang alim dibanding dengan seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama atas semua bintang. Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya, maka ia telah mengambil bahagian yang sangat besar.” (HR Ibnu Majah No: 219) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Orang yang berusaha mencari ilmu sama ada ilmu fardhu ain mahupun fardhu kifayah, Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.

2. Orang yang berada di majlis ilmu untuk menuntut ilmu, akan sentiasa dinaungi sayap Malaikat dan didoakan agar dicucuri rahmat.

3. Orang yang berada di majlis ilmu untuk tujuan menuntut ilmu, nescaya akan didoakan keampunan oleh penghuni langit dan bumi termasuk ikan yang ada didalam air.

4. Keutamaan orang yang berilmu berbanding dengan seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama dengan semua bintang yang ada (seorang yang berilmu itu umpama bulan yang bersinar dan menyinari cahaya, sedangkan ahli ibadah umpama cahaya daripada semua bintang-bintang).

5. Para ulama (ilmuan) adalah pewaris para Nabi kerana para Nabi mewariskan ilmu bukan harta (harta boleh habis sedangkan ilmu sentiasa berkembang).

6. Orang yang mencari dan mempelajari ilmu bermakna ia telah mengambil bahagian yang sangat besar daripda harta yang diwariskan oleh para Nabi.

Marilah kita berusaha sentiasa terus belajar bagi mendalami ilmu. Jadikanlah diri kita orang yang bermaklumat bukan hanya pak turut. Semoga dengan cahaya ilmu, akan menjadi penyuluh hidup dan mempermudahkan kita jalan ke syurga.

Semoga 2019 ini menjadikan kita orang yang cerdik dan bijaksana kerana sentiasa belajar untuk menjadi orang yang berilmu.

Ucapan Ketika Melihat Suatu Yang Disukai dan Dibenci

Ucapan Ketika Melihat Suatu Yang Disukai dan Dibenci

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

Dari ‘Aisyah RA dia berkata; “Apabila Rasulullah SAW melihat sesuatu yang baginda sukai, baginda akan mengucapkan: “Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya semua kebaikan menjadi sempurna.” dan apabila baginda melihat sesuatu yang dibenci, baginda mengucapkan: “Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan.” (Sunan Ibnu Majah No: 3793) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW mengajar kepada kita adab apabila melihat sesuatu sama ada yang disukai atau yang dibenci.

2. Apabila melihat sesuatu yang disukai, hendaklah kita mengucapkan kalimah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

“Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya semua kebaikan menjadi sempurna.”

3. Apabila melihat sesuatu yang kita benci hendaklah kita mengucapkan kalimah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

“Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan

Mari kita amalkan kalimah terpuji apabila melihat sesuatu yang disukai mahupun juga yang dibenci