Sayangi Anak-Anak

Sayangi Anak-Anak

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَدِمَ نَاسٌ مِنْ الْأَعْرَابِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا أَتُقَبِّلُونَ صِبْيَانَكُمْ قَالُوا نَعَمْ فَقَالُوا لَكِنَّا وَاللَّهِ مَا نُقَبِّلُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَمْلِكُ أَنْ كَانَ اللَّهُ قَدْ نَزَعَ مِنْكُمْ الرَّحْمَةَ

Dari Aisyah RA dia berkata, “Sekelompok orang badwi datang menemui Rasulullah SAW, mereka berkata, “Apakah kalian mencium anak-anak kalian?” Para sahabat menjawab, “Ya.” Maka orang-orang Arab Badwi itu berkata, “Demi Allah, kami tidak pernah melakukannya.” Maka Nabi SAW bersabda: “Aku memiliki apa yang telah Allah hilangkan dari sikap kasih sayang kalian.” (Sunan Ibnu Majah No: 3655) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengasihi dan menyayangi anak mereka.

2. Mendidik anak-anak menerusi kasih sayang dan ciuman.

3. Allah tidak akan menyayangi sesiapa yang tidak menyayangi manusia lain. Sabda Nabi SAW:

عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَرْحَمُ اللَّهُ مَنْ لَا يَرْحَمُ النَّاسَ

Dari Jarir bin Abdullah berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Allah tidak akan menyayangi sesiapa yang tidak menyayangi manusia.” (HR Bukhari No: 6828) Status: Hadis Sahih

Kasihilah anak-anak, semoga kita akan dikasihi.

Berbakti Kepada Ibubapa

Berbakti Kepada Ibubapa

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الْوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ فَأَضِعْ ذَلِكَ الْبَابَ أَوْ احْفَظْهُ

Dari Abu Ad Darda dia mendengar Nabi SAW bersabda: “Orang tua ibarat penengah pintu-pintu syurga, oleh kerana itu (jika kamu mahu) kamu boleh sia-siakan atau kamu boleh jaga ia baik-baik.” (Sunan Ibnu Majah No: 3653) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Ibu bapa ibarat pintu syurga bagi setiap anak.

2. Menjadi kewajipan kepada anak-anak untuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa nescaya Allah akan memberikan ganjaran syurga.

3. Al-Qadhi Baidhawi menyatakan; Cara terbaik untuk masuk syurga, dan cara mendapatkan darjat yang tinggi di syurga adalah dengan mentaati orang tua dan berusaha mengasihi dan berbakti padanya. Ada juga ulama yang mengatakan, ‘Di syurga ada banyak pintu. Yang paling selesa untuk dimasuki adalah yang paling tengah. Untuk membolehkan masuk ke syurga melalui pintu tengah itu adalah dengan berbakti kepada orang tua.’ (Tuhfatul Ahwadzi, 6/21).

4. Anak-anak yang tidak berbakti dan berbuat baik kepada orang tua, akan terlepas peluang ke syurga.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا ثُمَّ لَمْ يَدْخُلْ الْجَنَّةَ

Dari Abu Hurairah dia berkata; Nabi SAW bersabda: “Dia celaka! Dia celaka! Dia celaka!” lalu baginda ditanya; “Siapakah yang celaka, ya Rasulullah?” Jawab Nabi SAW: “Barang Siapa yang mendapati kedua orang tuanya (dalam usia lanjut), atau salah satu dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan berusaha berbakti kepadanya dengan sebaik-baiknya).” (HR Muslim No: 4628) Status: Sahih

Berbaktilah sebaik mungkin kepada kedua ibu bapa.

Keredaan Allah dan Keredaan Ibubapa

Keredaan Allah dan Keredaan Ibubapa

عَنْ عَبْدُ الله بن عَمْرٍو رضي الله عنهما قال قال رسولُ الله صلى الله عليه وسلم: رِضَى اللهُ فى رِضَى الوَالِدَيْنِ و سَخَطُ الله فى سَخَطُ الوَالِدَيْنِ

Dari Abdullah bin ‘Amrin bin Ash RA. ia berkata, Nabi SAW telah bersabda: “Keredaan Allah itu terletak pada keredaan kedua ibubapa, dan murka Allah itu terletak pada murka kedua ibubapa”. (HR At-Tirmidzi No: 1821) Status: Hadis ini dinilai shahih oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim

Pengajaran:

1. Reda Allah terletak kepada reda kedua ibubapa, kerana Allah memerintahkan untuk mentaati orangtua.

2. Imam Al Ghazali menyebutkan, termasuk adab anak kepada kedua ibubapanya ialah mendengarkan perkataannya, mentaati perintahnya, tidak berjalan di hadapannya, tidak meninggikan suara di sisinya, serta berusaha untuk mendapatkan keredaannya. (lihat, Faidh Al Qadir, 4/33)

3. Berbakti kepada kedua orang tua sering kali disebutkan dalam Al-Quran, bahkan digandingkan dengan tuntunan menyembah Allah. Hal ini menunjukan bahawa berbakti kepada kedua ibubapa adalah wajib. Firman Allah:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa (Al-Isra: 23).

4. Termasuk durhaka kepada kedua orang tua, adalah menyakitinya dengan cara membantah dan berkata kasar pada mereka, memalingkan muka serta tidak berbakti kepada keduanya.

5. Al Hafidz Al Iraqi menyatakan, disyaratkan bahawa keredaan dan kemurkaan ibubapa itu dalam hal yang diperbolehkan oleh syariat.

Berusahalah mencari keredhaan Allah melalui keredhaan kedua ibubapa kita.

Balasan Pengumpat dan Pengaib

Balasan Pengumpat dan Pengaib

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” لَمَّا عُرِجَ بِي مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ يَخْمُشُونَ وُجُوهَهُمْ وَصُدُورَهُمْ فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلَاءِ يَا جِبْرِيلُ قَالَ: هَؤُلَاءِ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ لُحُومَ النَّاسِ وَيَقَعُونَ فِي أَعْرَاضِهِمْ

Dari Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda : ‘Ketika aku dinaikkan ke langit (pada malam isra dan mikraj), aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku dari tembaga dan mereka mencakar-cakar muka dan dada mereka, maka aku berkata : Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab : Merekalah orang-orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan mengaibkan maruah mereka.” (Riwayat Abu Daud No: 4878) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam adalah agama yang mementingkan akhlak dan adab terpuji

2. Islam melarang umatnya berakhlak buruk seperti mengumpat serta mengaibkan orang lain.

3. Rasulullah SAW diperlihatkan pada malam baginda di isra dan dimikrajkan sekumpulan manusia yang mempunyai kuku dari tembaga dan mereka menyiksa diri sendiri dengan mencakar-cakar muka dan dada mereka. Jibril memberitahu mereka berbuat demikian kerana semasa di dunia mereka mengumpat dan mengaibkan orang Islam lain.

4. Orang yang gemar membicarakan aib orang lain, sebenarnya tanpa ia sedari ia sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli. Semakin banyak aib yang ia sebarkan, maka semakin jelas keburukan diri si penyebar itu. Allah mengingatkan dengan nada keras kepada golongan ini:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ١٩

Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (An-Nur: 19)

Orang mukmin perlu menjaga agar jangan sampai mengumpat dan mengaibkan orang lain hingga menjadi penyebab diseksa di akhirat dengan mencakar dada dan muka sendiri.

Zikir dan Doa Yang Afdhal

Zikir dan Doa Yang Afdhal

حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِبْرَاهِيمَ بْنِ كَثِيرٍ الأَنْصَارِيُّ قَالَ: سَمِعْتُ طَلْحَةَ بْنَ خِرَاشٍ قَالَ: سَمِعْتُ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: أَفْضَلُ الذِّكْرِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَفْضَلُ الدُّعَاءِ الحَمْدُ لِلَّهِ

Telah menceritakan kepada kami Musa bin Ibrahim bin Katsir al-Ansari berkata, aku mendengar Talhah bin Hirasyh berkata: Aku mendengar Jabir bin Abdullah berkata, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Zikir yang paling afdhal (utama) ialah, “Tidak ada Tuhan selain Allah,” dan doa yang paling afdhal ialah, “Segala puji bagi Allah.” (HR Tirmizi No: 3383) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Berzikir dan berdoa adalah suatu tuntutan dan keperluan kepada setiap Muslim

2. Zikir yang utama adalah kalimah:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

3. Doa yang paling utama adalah kalimah:

الحَمْدُ لِلَّهِ

Segala pujian hanyalah untuk Allah

Kalimah Alhamdulillah adalah lafaz lisan yang diucapkan sebagai pujian dan bersyukur seseorang di atas segala nikmat yang Allah SWT berikan kepadanya.

4. Kalimah Alhamdulillah lebih baik dari harta yang dimiliki oleh seseorang walaupun harta itu sepenuh langit dan bumi.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” لَوْ أَنَّ الدُّنْيَا كُلَّهَا بِحَذَافِيرِهَا بِيَدِ رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي ” ثُمَّ قَالَ : ” الْحَمْدُ لِلَّهِ لَكَانَتِ الْحَمْدُ لِلَّهِ أَفْضَلَ مِنْ ذَلِكَ كُلِّهِ

Anas RA juga meriwayatkan , bahawa Nabi SAW bersabda: seandainya dunia dan semua isinya berada ditangan seseorang dari ummatku kemudian ia mengucapkan Alhamdulillah, nescaya kalimat (Alhamdulillah) yang ucapkan itu lebih baik dari dunia dan isinya (Dailami 3/359 No: 5083)

Marilah kita memperbanyakkan lafaz zikir dan doa terafdhal.

Berterima Kasih Atas Pemberian Orang Lain

Berterima Kasih Atas Pemberian Orang Lain

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ

Abu Hurairah RA berkata, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak bersyukur kepada Allah seorang yang tidak bersyukur kepada manusia.” (HR. Abu Daud: No 4177) Status: Hadis Sahih di dalam kitab Silsilat Al Ahadis Ash Shahihah, 1/702.

Pengajaran:

1. Orang yang tidak berterima kasih di atas kebaikan orang lain terhadapnya bermakna, ia tidak bersyukur kepada Allah di atas limpah nikmat yang diperolehi.

2. Al-Khaththaby berkata: barangsiapa kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat (kebaikan) orang dan tidak bersyukur atas kebaikan mereka, maka nescaya termasuk kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat Allah SWT dan tidak bersyukur kepada-Nya.

3. Allah SWT tidak menerima syukur seorang hamba atas kebaikan Allah kepadanya, jika seorang hamba tidak bersyukur kepada kebaikan orang lain terhadapnya. Lihat kitab Sunan Abu Daud dengan Syarah Al Khaththaby, 5/ 157-158.

Ucapkan terima kasih dengan lafaz Jazakallah hu khairan sebagai ucapan terima kasih kepada kebaikan orang lain kepada kita. Moga ia menjadi sebahagian daripada tanda kita bersyukur kepada Allah.

Cara Membalas Kebaikan Orang Lain

Cara Membalas Kebaikan Orang Lain

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- مَنْ أُعْطِىَ عَطَاءً فَوَجَدَ فَلْيَجْزِ بِهِ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيُثْنِ بِهِ فَمَنْ أَثْنَى بِهِ فَقَدْ شَكَرَهُ وَمَنْ كَتَمَهُ فَقَدْ كَفَرَهُ.

Jabir bin Abdullah RA berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang diberikan sebuah hadiah, lalu ia mendapati kecukupan maka hendaknya ia membalasnya, jika ia tidak mendapati maka pujilah ia, barangsiapa yang memujinya, maka sesungguhnya ia telah bersyukur kepadanya, barangsiapa menyembunyikannya sesungguhnya ia telah kufur (tidak mengenang budi).” (HR. Abu Daud No: 4179) Status: Hadis Hasan.

Pengajaran:

1. Islam mengajar umatnya membalas kebaikan yang diberikan oleh orang lain.

2. Cara membalas kebaikan dan pemberian orang lain:

a. Membalas pemberian tersebut dengan sebaiknya

b. Memuji kebaikan atau pemberian orang tersebut

c. Mengucapkan Jazakallah khairan kepada orang tersebut

d. Mendoakan orang tersebut

Balaslah kebaikan serta pemberian orang lain dengan sebaiknya.

Jadilah Manusia Terbaik

Jadilah Manusia Terbaik

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ فَقَالَ : ” أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ ” قَالَ : فَسَكَتُوا فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَقَالَ رَجُلٌ : بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا قَالَ : ” خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ ”

Daripada Abu Hurarirah RA berkata, “Nabi SAW melewati sekelompok orang yang sedang duduk. Baginda SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kalian, orang yang terbaik di antara yang terburuk dalam kalangan kalian?” Mereka pun terdiam. Rasulullah SAW pun mengulangi pertanyaan tersebut sampai tiga kali. Kemudian mereka pun menjawab, “ya, wahai Rasulullah! Beritahu kepada kami siapakah orang yang terbaik di antara yang terburuk di antara kami.” Rasulullah SAW kemudian bersabda,“Manusia terbaik di antara kalian adalah yang diharapkan kebaikannya dan orang lain merasa aman dari gangguannya. Manusia terburuk di antara kalian adalah yang tidak diharapkan kebaikannya dan orang lain juga tidak merasa aman dari gangguannya.” (HR. Tirmidzi no. 2263, Ahmad no. 8812, dan Ibnu Hibban no. 528. Dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Shahih Al-Jami’ no. 2603).

Pengajaran:

1. Manusia yang terbaik adalah yang sentiasa mendatangkan kebaikan kepada orang lain dan orang lain merasa aman dari gangguannya.

2. Manusia terburuk adalah yang tidak mendatangkan kebaikan kepada orang lain malah orang lain merasa tidak aman dari gangguannya

3. Jadikanlah kehadiran kita ditengah-tengah masyarakat sebagai orang yang bermanfaat dan dirasai oleh orang lain. Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain. (HR Ibn Hibban No: 2/48)

4. Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat pada orang lain. Sabda Rasulullah SAW:

أحَبُّ النَّاسِ إلى اللهِ أنفَعُهم للنَّاسِ

Orang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain.
(Riwayat at-Tabarani) Al-Mu’jam Al-Ausot, no.hadis dan juzu’ : 6/139

5. Jauhilah diri dari menjadi orang yang buruk akhlak dan orang lain tidak merasa aman dengan kehadiran kita di dalam masyarakat.

Moga kita berusaha menjadi orang yang bermanfaat.

Lepaskan Jerutan Tali Syaitan Ketika Tidur

Lepaskan Jerutan Tali Syaitan Ketika Tidur

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَعْقِدُ الشَّيْطَانُ عَلَى قَافِيَةِ رَأْسِ أَحَدِكُمْ إِذَا هُوَ نَامَ ثَلَاثَ عُقَدٍ يَضْرِبُ كُلَّ عُقْدَةٍ عَلَيْكَ لَيْلٌ طَوِيلٌ فَارْقُدْ فَإِنْ اسْتَيْقَظَ فَذَكَرَ اللَّهَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَإِنْ تَوَضَّأَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَإِنْ صَلَّى انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَأَصْبَحَ نَشِيطًا طَيِّبَ النَّفْسِ وَإِلَّا أَصْبَحَ خَبِيثَ النَّفْسِ كَسْلَانَ

Dari Abu Hurairah RA bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Syaitan mengikat tengkuk kepala seseorang dari kalian ketika dia tidur dengan tiga tali ikatan dan syaitan mengikatkannya sedemikian rupa sehingga setiap ikatan diletakkan pada tempatnya lalu syaitan akan mengatakan: Malam masih panjang, maka tidurlah dengan nyenyak. Jika dia bangun dan berzikir mengingat Allah maka lepaslah satu tali ikatan. Kemudian jika ia berwuduk maka lepas lagi satu ikatan berikutnya. Kemudian jika ia mendirikan solat, lepaslah ikatan terakhir. Di pagi harinya dia akan bersemangat dan segar yang mententeramkan jiwa. Namun bila dia tidak melakukan seperti itu, maka pagi harinya jiwanya jadi kotor (merasa tidak segar) dan menjadi malas “. (HR Bukhari, no: 1074) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1. Syaitan akan sentiasa bekerja untuk menggoda dan menyesatkan manusia pada setiap masa.

2. Pada setiap malam ketika seorang Muslim tidur, syaitan akan membuat ikatan ditengkuk orang yang tidur dengan tiga lapis yang boleh membuat jiwa seseorang kotor dan malas.

3. Rasulullah SAW mengajar cara untuk melepaskan ikatan tersebut:

a. Segera bangun awal sebelum subuh dengan membaca doa

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْرِ

“Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan (membangunkan) kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nyalah kami dibangkitkan”

b. Bangun membersihkan diri serta berwuduk

c. Lakukan solat sunat sekurang-kurangnya dua rakaat.

4. Orang yang melaksanakan solat sunat sebelum masuk waktu subuh (solat malam) secara umumnya akan melaksanakan ketiga-tiga amalan di atas.

Jangan biarkan tali syaitan itu mengikat kita hingga menyebabkan kita menjadi malas. Pastikan setiap kali bangun tidur, ketiga-tiga tali ikatan dibuka dengan amalan diatas agar kita sentiasa bersemangat dan rajin melakukan amal soleh.

Pahala Meneroka Kebiasaan Baik

Pahala Meneroka Kebiasaan Baik

عَنْ جَرِيْرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ قَالَ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

“Dari Jarir bin Abdullah dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa mengadakan kebiasaan yang baik dalam Islam, lalu kebiasaan baik tersebut diikuti oleh orang-orang sesudahnya, maka akan dicatat untuknya pahala sebanyak yang diperoleh oleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikit pun pahala yang mereka peroleh. Sebaliknya, barang siapa mengadakan kebiasaan yang buruk dalam Islam, lalu kebiasaan buruk tersebut diikuti oleh orang-orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa yang mereka peroleh sedikit pun.” (HR Muslim No 4830). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Muslim yang memulakan sesuatu kebiasaan yang baik atau ilmu serta penghasilan baru yang bermanfaat dan diikuti oleh orang lain, dia akan mendapat ganjaran pahala sebanyak orang yang mencontohinya.

2. Elakkan dari memulakan sesuatu yang buruk dan jahat kerana dibimbangi akan diikuti oleh orang lain dan kita turut akan mendapat ganjaran dosa.

3. Contohkan sesuatu yang baik dan boleh diikuti oleh orang lain untuk kita memperolehi ganjaran pahala daripada setiap yang mencontohi secara bersambungan dan berterusan. Antaranya melalui penulisan, produk, amalan yang baik (tidak bercangah dengan syarak) dan bermanfaat.

4. Pahala orang yang mengikut kebiasaan baik tidak akan berkurangan dengan sebab pahala yang diperoleh oleh orang yang memulakan.

JOM bersifat RAHMAH dengan memulakan sesuatu amalan atau kebiasaan yang baik agar ia diikuti oleh orang lain untuk kita mendapat ganjaran berterusan sebanyak bilangan orang yang mengikuti.