PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 47

Sumbangan Dunia Islam Terhadap Muzik

ii) Yunus Khatib/al-Mughanni

Nama lengkap beliau ialah Yunus bin Sulaiman bin Kurd bin Shahiyar Abu Sulaiman. Beliau terkenal sebagai penulis, pemuzik, penggubah koleksi lagu-lagu nyanyian, dan penulis lirik lagu sehingga digelar al-Khatib. Pada zaman Khalifah al-Walid bin Yazid, beliau telah diundang ke istana di Damsyik untuk memainkan muzik dan mendapat penghormatan yang tinggi daripada pihak kerajaan. Beliau juga telah menghasilkan beberapa buah karya dalam bidang seni muzik.  Antaranya ialah Kitab Mujarrad Yunus, Kitab al-Qiyan, dan Kitab al-Nagham (melodi) (Mahyudin, 1989:158).

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 46

Sumbangan Dunia Islam Terhadap Muzik

Dunia Islam telah melahirkan ramai ilmuwan yang memberi pelbagai sumbangan dalam bidang muzik.  Antara ilmuwan muzik dalam tamadun Islam ialah al-Kindi, Yunus Khatib, Ibn Sina, Ali al-Isfahani, al-Mas’udi, dan al-Farabi:

 

  1. Al-Kindi (801-873M)

Nama sebenar beliau ialah Abu Yusuf Yaqub Ishaq dan berasal dari suku Kindah (Sharif 1994:11). Al-Kindi adalah penulis Arab yang paling awal menulis tentang muzik dan juga ahli muzik tersohor di kalangan orang Islam (Atiyeh 1996:143). Beliau banyak menulis karya tentang muzik dan sebahagian besarnya diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa Eropah.  Antara karya beliau ialah Kepentingan Pengetahuan Muzik (The Essentials of Knowledge in Music), Ilmu Melodi (On The Melodies), dan Buku Penting Pengarang Melodi (The Necessary Book In The Composition of Melodies) (Mohd Shauki 1994: 18).

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 45

9) BIDANG SENI MUZIK

Dunia Arab mentakrifkan muzik sebagai handasah al-sawt atau seni bunyi secara estetik (al-Faruqi 1992: 463).  Ringkasnya, muzik adalah suatu kesenian yang dipengaruhi oleh pengawalan atau pengurusan bunyi. Muzik diakui sebagai satu seni dan juga sains yang menggabungkan bunyi-bunyi vokal atau instrumental termasuk bunyi-bunyi semulajadi atau rekaan dengan satu cara yang dianggap memuaskan mengikut estetika, corak pemikiran, dan emosi manusia yang juga boleh mencerminkan sesuatu budaya tertentu.

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 44

Sumbangan Ilmuwan Muslim Dalam Bidang Kejuruteraan

Sungguhpun hasil-hasil karya teknologi kejuruteraan amat berkurangan jika dibandingkan dengan sumbangan saintis Muslim dalam bidang-bidang lain, terdapat beberapa karya kejuruteraan yang masih wujud untuk dianalisis oleh generasi terkemudian.  Antaranya ialah:

  1. Karya-karya Banu Musa pada abad ke-9M seperti Kitab al-Hiyal (Kitab Pengetahuan Peranti Mekanik) yang menjelaskan tentang mesin roda pengangkut air serta mesin untuk mengisar jagung dan bijirin yang lain.
  2. Al-Maqdisi (m.d. 1000M/390H) yang menerangkan tentang mesin roda air di sepanjang Sungai Ahwaz, Iran.
  3. Al-Idrisi (1099–1165M) di Toledo, Sepanyol menulis sebuah makalah pada tahun 1154M/584H tentang kejuruteraan mesin roda air yang digunakan untuk mengangkut air dari Sungai Tagus untuk dibekalkan ke Toledo.
  4. Taqiyyudin, jurutera Muslim pada abad ke-12M telah menulis dan menghasilkan mesin pengangkut air yang dikenal sebagai syaduf, saqiya, dan naura. Mesin-mesin tersebut digerakkan dengan tenaga binatang dan kuasa air (hidro).
  5. Al-Jazari (1136–1206M) pada abad ke-13M telah menghasilkan mesin pemancut cairan yang boleh mengubah jet pancutannya secara automatik.
  6. Al-Himyari seorang jurutera Muslim dari Sepanyol menulis buku kejuruteraan yang berjudul Kitab al-Rawd al-Mi’tar pada tahun 1262M/661H. Buku tersebut menjelaskan tentang kincir angina yang digunakan sebagai mesin penggiling gula dan tepung.
  7. Penciptaan jam telah diusahakan oleh sebilangan jurutera Muslim seperti Ibn al-Haytham (m.d. 1039M), al-Zarqali (1029–1087M) di Sepanyol, al-Khazini (m.d. 960M), dan Muhammad al-Sa’ati (Fadzlullah Shuib, 2007: 40-42).

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 43

8) BIDANG KEJURUTERAAN

 

Terdapat dua faktor kenapa hasil-hasil karya teknologi kejuruteraan amat berkurangan jika dibandingkan dengan sumbangan saintis Muslim dalam bidang-bidang lain.

  1. Para jurutera Islam pada era inovasi sains dan teknologi Islam dari abad 8-12M lebih banyak menumpukan usaha ke arah penggunaan teknologi yang dicipta berbanding mempergiatkan kerja-kerja penulisan dan penghasilan teknologi baru.
  2. Setelah kejatuhan empayar Islam sama ada di Timur mahupun di Barat, banyak manuskrip dan buku para saintis dan jurutera Muslim yang menghadapi kemusnahan (Fadzlullah Shuib, 2007: 40-41).

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 42

8) BIDANG KEJURUTERAAN

Kejuruteraan tergolong dalam kumpulan sains gunaan yang dihubungkan dengan teori asas reka bentuk sesuatu hasil keluaran atau sesuatu yang boleh memberi khidmat kepada manusia.  Dengan kata lain, kejuruteraan adalah pemahaman sains tentang fenomena fizikal yang digunakan dalam teknologi dan proses merekabentuk teknologi tersebut dengan menggunakan kaedah yang paling efisyen.  Justeru itu, dua prinsip kejuruteraan Islam ialah:

  1. Kesetaraan (mizan): Prinsip ini membawa maksud bahawa tiap-tiap sesuatu berada di dalam kedudukan yang betul dalam sesebuah sistem.
  2. Keseimbangan (tawazun): Prinsip ini pula bermaksud bahawa sistem itu secara keseluruhannya diperlukan untuk mengekalkannya dalam kedudukan tersebut.

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 41

8) BIDANG KEJURUTERAAN

Sains kejuruteraan yang dianggap oleh para cendekiawan Islam klasikal sebagai sebahagian daripada sains matematik terdiri daripada 12 sub-bidang, iaitu bangunan, ukur, pelayaran dan pengapungan, optik, cermin membakar, mesin perang, pusat graviti, pengangkatan bebas berat, neraca, mekanik, industri, dan pertanian.  Dalam buku Islamic Technology: An Illustrated History (1986) oleh Ahmad Y. Al-Hassan dan Donald R. Hill, teknologi kejuruteraan dipecahkan kepada lapan bahagian, iaitu kejuruteraan mesin, kejuruteraan awam, kejuruteraan militeri, kejuruteraan perkapalan, kejuruteraan kimia, kejuruteraan tekstil, kertas dan kulit (pembuatan), kejuruteraan pertanian, dan kejuruteraan logam dan galian.

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 40

7) BIDANG BIOLOGI (BOTANI DAN ZOOLOGI)

Sarjana Islam juga telah memberikan sumbangan dalam bidang zoologi.  Antara tokoh-tokoh zoologi Muslim yang penting ialah:

  1. Al-Jahiz (m.d. 896M) yang telah mengarang kitab al-Hayawan, sebuah buku zoologi lengkap membincangkan tentang binatang, sifat-sifat binatang, penyakit-penyakit, dan cara penyembuhannya. Beliau juga mengkaji tidak kurang daripada 350 jenis binatang.
  2. Al-Kindi (801–873M) turut menyentuh tentang zoologi dalam beberapa tulisannya.
  3. Ibn Qutaibah (828 – 885M) telah mengarang kitab al-Akhbar yang berkaitan dengan zoologi.
  4. Ikhwan al-Safa turut serta dalam memperkembangkan bidang ini.
  5. Al-Asma’i (m.d. 783M) telah mengarang beberapa buah buku yang berkaitan dengan zoologi, antaranya Kitab al-Ibil, Kitab al-Khayl, dan kitab al-Wuhush.
  6. Al-Damiri (m.d. 1405M) telah mengarang kitab Hayat al-Hayawan yang berkaitan juga dengan zoologi (Rasid Muhamad, 1996: 205-208).

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 39

7) BIDANG BIOLOGI (BOTANI DAN ZOOLOGI)

Bidang ini turut berkembang pada zaman kegemilangan tamadun sains dan teknologi Islam.  Bidang ini mengkaji fenomena benda-benda hidup dari yang sekecil-kecilnya hingga kepada yang sebesar-besarnya.  Oleh itu, bidang ini turut menyentuh secara langsung bidang botani dan zoologi.

Bidang botani berkembang pesat pada zaman kegemilangan sains dan teknologi tamadun Islam.  Ia amat berkait rapat dengan perkembangan bidang perubatan dan farmasi, di samping untuk memajukan bidang pertanian.  Menurut S. H. Nasr (1970), umat Islam telah mula memberikan sumbangan dalam bidang botani dengan munculnya karya-karya awal dalam bidang ini, iaitu buku-buku seperti Kitab al-Hudud, Kitab ‘Ilm al-Nabat dan Kitab al-Filahah, yang dianggap penting dalam bidang ini.  Antara tokoh penting botani Islam ialah:

  1. Al-Riyasa ibn Jarit (m.d. 1193M) yang telah membuat kajian mengenai pokok limau rubab dan penggunaannya.
  2. Al-Ghafiqi (m.d. 1165M) yang telah mengarang Kitab al-Adwiyah al-Mufradah mengenai tumbuh-tumbuhan dan herba perubatan.
  3. Al-Baytar (m.d. 1248M) telah mengarang Kitab al-Adwiyah al-Mufradah dan al-Jami’ fi al-Adwiyah al-Mufradah juga mengenai botani dan kaitannya dengan ubat-ubatan.
  4. Ibn Wahsyiyyah telah mengarang Kitab al-Filahah al-Nabatiyyah.
  5. Ali ibn Rabban al-Tabari (838–870M) telah mengarang Kitab Firdaws al-Hikmah yang membincangkan tentang tumbuh-tumbuhan.

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 38

Tokoh-tokoh Saintis Muslim dalam Bidang Farmasi

4.Al-Kindi (801-873M)

Al-Kindi telah menghasilkan buku-buku penting yang berkaitan dengan ubat-ubatan terutama tentang ubat sebatian dan campuran yang kompleks (Mohd Koharuddin bin Mohd Balwi, 2002: 36; Ismail Saad, et.al., 1992: 65).