PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 37

Tokoh-tokoh Saintis Muslim dalam Bidang Farmasi

3.Ibn al-Baitar (865-925M)

Ibn al-Baitar telah mengarang kitab al-Mughni fi al-Adawiyah al-Mufradah yang menyenaraikan tidak kurang daripada 1400 jenis ubat dari pelbagai sumber seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan galian.

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 36

Tokoh-tokoh Saintis Muslim dalam Bidang Farmasi

 

2.Ibn Al-Nafis (1213-1288M)

  1. Melancarkan kempen memerangi wabak di Mesir yang tidak mengenal mangsa sama ada kanak-kanak mahupun orang dewasa.
  2. Membina sebuah hospital baru di Kaherah dan menyelia pembinaannya menurut keperluan perubatan berkenaan bahagian-bahagian hospital tersebut seperti wad, farmasi, perpustakaan, ruang menunggu, dan bilik khas untuk doktor. Hospital tersebut telah dirasmikan oleh Sultan Qalawun dan dinamakannya dengan al-Mansuri.
  3. Memperkenalkan konsep teaching hospital.
  4. Memiliki kepakaran yang tinggi dalam bidang pembedahan termasuk penemuan sistem peredaran darah kecil.
  5. Menasihatkan agar pembedahan perbandingan dibuat dengan melakukannya ke atas binatang. Langkah seperti ini boleh membantu dalam memahami dengan lebih terperinci mengenai tubuh manusia dan fungsi semua organ yang terdapat di dalamnya.
  6. Penemuan sistem peredaran darah kecil, iaitu teori baru tentang peredaran darah dan pergerakan darah (pergerakan darah dalam kitaran) yang dikenali sekarang sebagai sistem sirkulasi pulmonari. Menurut Ibn al-Nafis, aliran darah ialah daripada ventrikal kanan kepada paru-paru. Dalam paru-paru, udara bertemu dengan darah yang kemudiannya meninggalkan paru-paru dengan mengikuti arteri paru-paru lalu masuk ke dalam ventrikal kiri dalam jantung, seterusnya darah disebar ke seluruh badan. Teori ini menegaskan bahawa wujudnya peredaran darah dari jantung ke paru-paru dan dari paru-paru kepada jantung. Oleh itu, Ibn al-Nafis telah mengasaskan teori sirkulasi pulmonari. Akan tetapi dalam waktu yang sama beliau tidak sempat mengkaji sistem tersebut (sistem peredaran darah ke seluruh tubuh).
  7. Mengarang kitab mengenai perubatan termasuklah al-Kitab al-Syamil fi al-Tibb iaitu sebuah ensiklopedia perubatan, Kitab al-Muhadhdhab fi al-Kuhl mengenai optalmologi, Al-Muhadhdhab berkenaan perubatan mata, al-Mukhtarmengenai pemakanan, Syarh al-Hidayah ulasan terhadap karya Ibn Sina tentang perubatan.

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 35

Tokoh-tokoh Saintis Muslim dalam Bidang Farmasi

Tulisan ini hanya akan memfokuskan kepada dua orang tokoh saintis muslim yang masyhur dalam bidang farmasi, mereka yang dimaksudkan ialah:

 

  1. Al-Zahrawi (936-1013M)

Al-Zahrawi atau lebih dikenali sebagai Abulcasis di Barat terkenal sebagai “Bapa Pembedahan Moden”. Antara sumbangan beliau dalam bidang farmasi ialah:

  1. Memberi sumbangan kepada penyediaan ubat-ubatan dan aplikasi teknik-teknik dalam pembedahan.
  2. Orang yang pertama menceritakan dengan terperinci mengenai hemofilia dan penggunaan benang sutera untuk tisu yang berselirat.
  3. Mengenalpasti langkah-langkah bagi menyediakan gigi palsu yang dibuat daripada tulang haiwan.
  4. Memperkenalkan banyak pembaharuan dalam bidang pembedahan.
  5. Campbell dalam bukunya, Sejarah Perubatan Arab menyatakan bahawa prinsip perubatan al-Zahrawi telah menjadi asas kepada kurikulum perubatan di Eropah.
  6. Menghasilkan alat-alat untuk mengenalpasti bahagian dalaman badan seperti telinga.
  7. Memperkenalkan teknik pembakaran tisu dalam 50 jenis pembedahan yang berbeza.
  8. Mengarang kitab Kitab al-Tasrif yang terbahagi kepada 3 bahagian, iaitu (al-Zirikli, 2002: 2/310-311):
  9. Berkenaan pembekaman (kaedah mengeluarkan darah) bagi penyakit apoplexy (disebabkan oleh pecahan urat darah di otak yang mengakibatkan kehilangan deria).
  10. Pembedahan menggunakan pisau belah (skalpel) dan pembedahan mata, telinga dan mulut.
  11. Pembedahan bagi pelbagai bentuk pecah tulang dan seliuh serta berkaitan kelahiran anak.

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 34

6) BIDANG FARMASI

Farmasi adalah satu bidang yang mengkaji secara khusus proses dan kaedah penyediaan ubat. Proses dan penyediaan bahan farmaseutikal yang diwarisi daripadasains dan teknologi Islam antara lain ialah rebusan, pendebuan (pulverization), basuhan, campuran, larutan salap, penyulingan, pensublimatan, kalsinasi, dan koagulasi. Tamadun Islam telah memperkenalkan dos ubat seperti salap, serbuk, sediaan berminyak, pes, serbuk mata, pembalut, dentifis, suposttori, enema, gargle, pil, tablet, konfensi, maajun, rebusan, sirap, sediaan beralkohol, emetic, dan sebagainya. Dalam aspek penyediaan ubat-ubatan, sains dan teknologi Islam telah memperkenalkan alat-alat khusus, antaranya ialah penyepit (thongs), “bellows” krusibel, sudu lade, alambik, aludel, bikar, kelakang (flask), periuk, tudung, oven, “stove”, kilu, penumbuk (pestle dan mortar), dan penyering (Ismail Saad, et.al., 1992: 69).  Ringkasnya, sarjana Islam dalam bidang farmasi telah menyumbang sesuatu yang sangat bernilai sehingga ke hari ini sekurang-kurangnya dalam tiga perkara berikut (Ismail Saad, et.al., 1992: 64-65):

  1. Dalam bidang kimia ubat dan alkemi, tokoh-tokoh Islam telah memperkenalkan betapa pentingnya pemerhatian, kawalan percubaan, dan penyimpanan rekod. Berdasarkan prinsip-prinsip ini, masyarakat Islam telah merangsang dan menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan kimia di Eropah.
  2. Orang Islam buat pertama kalinya menubuhkan kedai apoketari dan dispensari serta mempelopori pusat pengajian farmasi (Sami Hamarneh, 1962: 59-61). Seterusnya, amalan sains farmasi dipisahkan sebagai satu profesion yang tersendiri, iaitu berlainan dari profesion kedoktoran.
  3. Memperkenalkan pengawalan etik farmasi melalui undang-undang dan penguatkuasaan. Formulasi farmaseutikal terkawal telah diterbitkan dan menggariskan secara rasmi penyediaan dan penyimpanan ubat. Ahli kimia ubat yang tidak mematuhi piawai yang telah ditulis dalam formulasi akan dikenakan hukuman. Berdasarkan hal ini, umat Islam buat pertama kalinya mempelopori pergerakan pengguna dan kawalan mutu.

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 33

Sumbangan Ilmuwan Muslim Dalam Bidang Perubatan

7.Abu Marwan Muhammad ibn Abd al-Malik Ibn Zuhr/Avenzoar (1072-1162M)

Antara sumbangan Abu Marwan Muhammad ibn Abd al-Malik Ibn Zuhr atau dikenali sebagai Avenzoar di Barat adalah seperti berikut:

  1. Menjalankan ujikaji yang tulen dalam bidang rawatan dan telah menerangkan tentang penyakit tumor mediastinal (ruang antara dua bahagian besar sesuatu organ misalnya di antara paru-paru kanan dan kiri) dan penanahan di dalam ruang tersebut.
  2. Mengarang buku panduan perubatan yang berjudul Kitab al-Iqtisad fi Islah al-Anf wa al-Ajsad dan Kitab al-Taysir fi al-Mudat wa al-Tadbir yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan, panduan perubatan amali, serta menyediakan ubat dan diet (Ab. Alim Abdul Rahim & Syed Idrus Syed Mat Zin, 1995: 183-184).
  3. Orang pertama yang menggunakan tiub perak untuk memasukkan makanan ke dalam perut, sebelum tiub Ryle moden dicipta.
  4. Menjalankan kajian tentang kaedah menyediakan ubat–ubatan dan bahan pemakanan. Kajian ini memberi gambaran jelas tentang kanser perut (Mohamed Hatta Shaharom, 2008: 116).

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 32

Sumbangan Ilmuwan Muslim Dalam Bidang Perubatan

6.Ibn Rusyd (1126-1198M/520-595H)

Ibn Rusyd telah mengarang kitab al-Kulliyyat yang mengandungi 16 jilid dan merupakan satu-satunya sumbangan agung beliau dalam bidang perubatan.

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 31

Sumbangan Ilmuwan Muslim Dalam Bidang Perubatan

5.Abu al-Qasim ibn Abbas al-Zahrawi (936-1013M)

  1. Mengarang kitab al-Zahrawi atau lebih dikenali sebagai al-Tasrif yang telah menjulang namanya sebagai ‘Bapa Surgeri Moden’. Kitab al-Tasrif ini mengandungi 30 bahagian yang merangkumi pelbagai bidang perubatan dalam 1500 halaman. Al-Zahrawi telah membahagikan alat pembedahan kepada tiga bahagian.
  2. Menulis mengenai penyediaan dadah daripada tumbuh-tumbuhan, mineral dan haiwan dalam bukunya, Liber Servitoris (Mohamed Hatta Shaharom, 2008:112; Ab. Alim Abdul Rahim & Syed Idrus Syed Mat Zin, 1995: 183).

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 30

Sumbangan Ilmuwan Muslim Dalam Bidang Perubatan

4.Ibn Sina (980-1037M/370-428H)

Antara penemuan Ibn Sina yang dianggap moden telah dibincangkan dalam al-Qanun iaitu hubungan antara emosi dengan perubahan sistem badan, fisiologi tidur, kepentingan pemurnian air minuman, pengaruh iklim terhadap kesihatan, penggunaan tampon faraj, penggunaan bahan bius menerusi mulut, penggunaan haiwan dalam ujian keberkesanan ubat dan rawatan penyakit psikiatri, tetanus, pleuritis, jangkitan tuberculosis, antraks, kencing manis serta beberapa jenis penyakit saraf (Mohamed Hatta Shaharom, 2008: 114-115; Ab. Alim Abdul Rahim & Syed Idrus Syed Mat Zin, 1995: 183).

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 29

Sumbangan Ilmuwan Muslim Dalam Bidang Perubatan

3.Abu Ali al-Hassan Ibn al-Haytham (960-1039M/355-429H)

  1. Menghasilkan sebuah treatis berjudul Kitab al-Manazir (Buku Optik).
  2. Orang pertama menganjurkan bahawa penglihatan adalah hasil daripada sinaran cahaya yang dipantulkan dari objek dan gambaran ini difokus ke atas retina dan seterusnya dihantar ke otak melalui saraf optik. Dengan ini beliau menafikan teori Euclid dan Ptolemy yang menganjurkan bahawa mata menghantar cahaya ke objek yang dilihat.
  3. Orang pertama yang menemui lensa konceks, mengenal pasti retina dan memanggilnya syabakiyah, mengenalpasti kornea, ‘akueous humor’, ‘vitreous humor’ (Ismail Said al, 1992: 47-48).

PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI PARA ILMUWAN ISLAM 28

Sumbangan Ilmuwan Muslim Dalam Bidang Perubatan

2.Ali Ibn al-Abbas al-Majusi (m.d 982-994M)

Ali Ibn al-Abbas al-Majusi atau lebih dikenali sebagai Haly Abbas di Barat terkenal sebagai “Bapa Farmakologi”. Antara sumbangan beliau dalam bidang perubatan ialah:

  1. Mengarang Kitab al-Maliki atau Kamil al-Sina’ah al-Tibbiyah yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Latin dengan judul Liber Regius dan diterbitkan di Venice pada tahun 1492M dan di Lyon pada tahun 1523M. Buku ini mengandungi gambaran klinikal yang jelas tentang pleurisi ataupun inflamasi salut paru-paru. Kitab ini merupakan salah satu karya perubatan yang paling sempurna yang pernah ditulis dalam bahasa Arab dan merupakan satu teks penting sehingga munculnya al-Qanun karya Ibn Sina.
  2. Dianggap sebagai tokoh yang pertama mengusulkan adanya satu sistem pembuluh darah (kapilari) ketika membincangkan tentang adanya ruang-ruang halus di antara salur nadi dan salur darah.
  3. Tokoh pertama yang menganjurkan bahawa semasa proses bersalin, bayi itu tidak keluar dengan sendiri secara pasif tetapi ditolak keluar oleh daya kecutan (kontraksi) dari uterus (Ismail Said al, 1992: 21-22; 48-49).