Tadabur Surah at-Takaasur Siri 18

Pengajaran yang boleh di ambil daripada surah at-Taaksur

  1. Allah swt mencela golongan yang disibukkan dengan keni’matan dunia dan berbangga-banga dengan harta yang banyak dan anak-pinak sehingga lupa menta’ati Allah Azawajalla.
  2. Menziarahi kubur adalah ubat yang paling mujarab bagi melunakkan hati kerana amalan ini mengingatkan kita tentang kematian dan Hari Akhirat.
  3. Allah swt memberi ancaman berulang-ulang bahawa betapa benarnya azab kubur dan Hari Akhirat itu. Mereka yang tidak memperdulikan ancaman Allah swt ini akan menyesal dan menanggung duka nestapa yang amat berat.
  4. Manusia akan disoal-siasat tentang segala ni’mat dunia yang diperolehi. Segala punca pendapatan dan perbelanjaan akan ditanya.Tanamkanlah sifat Qana’ah dan bersyukur atas segala nikmat yang Allah berikan pada kita.
  5. Keni’matan hidup dunia hanya babak pendek dalam perjalanan hidup yang panjang. Orang beriman akan memberikan perhatian yang berat kepada Akhirat dan mengenepikan keni’matan dunia yang menjadi kegemaran orang-orang yang berjiwa kosong.

Tadabur Surah at-Takaasur Siri 17

Ayat 8

ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
Kemudian sesungguhnya pada hari itu, kamu akan ditanya tentang segala ni’mat yang telah dini’mati kamu (8)

Daripada Nabi s.a.w. sebagaimana diriwayatkan oleh al-Tarmizi, daripada Abi Barzah katanya: “Tidak berganjak kedua tapak kaki seseorang hamba pada hari kiamat kelak sehingga disoal-siasat berkaitan empat perkara: tentang umurnya di manakah dia habiskan, masa remaja di manakah dia curahkan, tentang hartanya di manakah dia cari dan ke mana pula ia membelanjakannya? Dan tentang ilmunya, apa yang telah diperbuat dengannya?”
Dalam satu hadith yang begitu menyentuh hati ialah hadith yang diriwayatkan daripada `Umar r.a. Ia bertanya “Ni’mat apakah yang kami semua akan disoal, wahai Rasulullah; sedangkan kami telah diusir keluar dari kampung halaman kami dan segala harta kami lupus?” Rasulullah s.aw. Menjawab: “ Tempat berteduh yang anda jadikan rumah-rumah, pokok-pokok dan khemah yang meneduhi anda dari panas dan sejuk, serta air (minuman) yang sejuk ketika hari yang panas.”
Dalam satu riwayat lain; Ibn Abi Shaibah dan Ahmad meriwayatkan daripada Mahmud Ibn Habid katanya: Apabila turun firman Allah swt (bermaksud): “Bermegah-megah menunjukkan kelebihan sering melalaikan kamu” (al-Takathur, 102:1); maka Nabi s.a.w. membacanya sehingga maksud ayat (firman Allah): “ Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang segala nikmat (yang kamu megah-megahkan di dunia itu.” (al-Takathur, 102:8).
Para sahabat bertanya: “ Wahai Rasulullah! tentang ni’mat yang manakah kami akan disoal? Sedangkan yang kami ada hanyalah dua al-Aswadan iaitu air dan kurma, kami ada pedang-pedang di tengkok-tengkok kami dan musuh yang bersiap sedia? Maka ni’mat apakah gerangan kami akan disoal nanti?” Jawab Baginda saw: “Adapun perkara itu tetap akan berlaku”.
Bagaimana dengan kita? ….ni’mat apakah yang kita ada berbanding para sahabat? Terasa diri ini kerdil, terkelu dan tunduk malu. Ironinya, dengan segala nikmat yang Allah swt berikan, amalan kita adalah begitu jauh berbanding Para sahabat.
Ingatlah ketika Hari Pembalasan, sedikit yang kita ada sedikit yang akan diselidiki. Lebih banyak yang kita ada, maka lebih banyak kita akan disoal-siasat nanti.
Kita sepatutnya sedar bahawa tidak perlu untuk bermegah-megah atas ni’mat yang Allah beri. Ucaplah Alhamdulillah dan pada masa yang sama timbulkanlah rasa gerun bahawa kita akan lebih dipersoalkan bila ni’mat yang kita perolehi di dunia ini semakin bertambah.

Tadabur Surah at-Takaasur Siri 16

Ayat 8

ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
Kemudian sesungguhnya pada hari itu, kamu akan ditanya tentang segala ni’mat yang telah dini’mati kamu (8)

 

Imam Bukhari di dalam bab Adab, Tarmizi dan Ibn Majah telah meriwayatkan sebuah hadith daripada Ubaidah bin Muhsin bahawa Rasulullah saw telah bersabda (maksudnya):
“Barangsiapa di antara kamu memulakan kehidupan pada waktu paginya dalam keadaan aman sejahtera di dalam kelompoknya, sihat tubuh badannya, cukup keperluan hariannya, maka seolah-olah ia telah dikurniakan dunia dan segala penjurunya.”
Dalam hadith yang lain, Imam Bukhari, Sunan al-Tarmizi, Nasai’ dan Ibn Majah ada meriwayatkan daripada Ibn `Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dua ni’mat ramai manusia sering terpedaya dengannya iaitu kesihatan dan waktu lapang”.
Mereka bersikap cuai dalam mensyukuri dua ni’mat tersebut. Jadilah dia orang yang terpedaya dengan keni’matan dunia jika dia tidak melaksanakan kewajibannya.

Tadabur Surah at-Takaasur Siri 15

Ayat 8

ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
Kemudian sesungguhnya pada hari itu, kamu akan ditanya tentang segala ni’mat yang telah dini’mati kamu (8)
tus’aluuna – kamu pasti ditanya

la tus’aluuna – sudah semestinya kamu akan ditanya (you will certainly be asked).

la tus’alun-na (dengan shadda) – semestinya anda pasti dan pasti akan ditanya (certainly you will certainly, certainly be asked)
Dalam ayat ini Allah memberikan ancaman dan menegaskan sebanyak tiga (3) kali bahawa kita semua pasti, pasti dan pasti akan disoal-siasat berkaitan dengan segala ni’mat dunia yang melekakan anda dari beramal untuk akhirat.
Apakah nikmat dunia yang akan ditanya ? Bukan sahaja nikmat yang melekakan sehingga menyibukkan anda dari beramal malah ia termasuk ni’mat-ni’mat yang lain seperti ni’mat keamanan, kesihatan, waktu lapang, makanan, minuman, penginapan dan sebagainya.

Tadabur Surah at-Takaasur Siri 14

Ayat 6 dan 7.

لَتَرَوُنَّ الْجَحِيمَ      ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ الْيَقِينِ

Sesungguhnya kamu akan tetap akan melihat Neraka Jahim (6)
Kemudian sesungguhnya kamu tetap akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (7)

La – disini adalah merupakan jawab bagi qasam (sumpah).

 

Lam dan 2 Noon adalah merupakan penegasan yang berulang-ulang. “Pasti, kamu akan pasti dan sepastinya akan melihat neraka Jahim”. Ayat ini menyatakan ancaman bahana melihat api neraka yang mengerunkan dan menakutkan.

Pada ayat ke-7 : Kemudian sesungguhnya kamu tetap akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin

Maksudnya seterusnya anda akan menyaksikan neraka Jahim dengan pandangan yang penuh yakin iaitu penyaksian dengan kedua biji mata anda. Oleh itu jauhkan diri anda dari terjerumus ke dalam api neraka dengan tidak melakukan maksiat, kejahatan, dosa-dosa besar serta perkara-perkara mungkar.

Firman Allah dalam Surah Maryam (19:71-72) yang maksudnya: “Dan tiada siapa pun dari kamu melainkan akan mendatanginya (neraka). Itulah keputusan yang telah ditetapkan Tuhanmu. Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa dan Kami akan tinggalkan orang-orang yang zalim itu melutut di dalam Neraka”.

 
Maksud ayat di atas, orang-orang beriman yang tidak masuk ke neraka juga turut menyaksikan pemandangan Neraka yang mengerikan. Maha Suci Allah yang menyelamatkan mereka darinya.

Tadabur Surah at-Takaasur Siri 13

Ayat 5:

كَلا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ الْيَقِينِ

 

Tidak sekali-kali begitu, kerana jika kamu mengetahui dengan ilmu yang yakin (5)
“Laww” لَوۡ – menunjukkan penyesalan; iaitu jikalah kamu mengetahui
“ilm al yaqin” عِلۡمَ ٱلۡيَقِينِ – pengetahuan yang pasti (knowledge of certainty).
Yaqin menunjukkan kita sangat pasti dan tiada ragu-ragu. Melebihi dari sekadar `tahu’.
Terdapat tiga (3) jenis Keyakinan:

  1. ‘Ilmul-yaqin – keyakinan berasaskan pengetahuan.

Contohnya rumput basah yang mungkin disebabkan oleh hujan; ataupun bila kita melihat asap, maka kita tahu ada api walaupun kita tidak melihatnya.

 

  1. ‘Ainul-Yaqin – keyakinan apabila kita melihatnya sendiri.

Contohnya melihat sendiri kebakaran yang berlaku.

 

  1. Haqqul-Yaqin – keyakinan bila kita merasa sendiri api itu. Panas dan membakar

Allah memberikan kita dua (2) jenis Yaqin dalam kehidupan kita; iaitu ‘Ilmul-yaqin dan Haqqul-yaqin. Al-Quran itu sendiri adalah ‘Ilmul-Yaqin dan Haqqul-Yaqin. Allah berfirman dalam surah al-Haqqah (69:51):

وَإِنَّهُ لَحَقُّ الْيَقِينِ

“ Dan sesungguhnya Al-Quran itu benar-benar kebenaran yang diyakini (Haqqul-yaqin)”.

Al-Qur’an bukan semata-mata keyakinan, tetapi ia adalah kebenaran yang wujud di dalam keyakinan itu. Kata-kata Haqqul-Yaqin adalah satu ungkapan istemewa untuk menguatkan makna dan penegasan iaitu Al-Qur’an itu amat mendalam dari segi kebenaran dan amat mendalam dari segi keyaqinan. Al-Qur’an menemukan kebenaran yang tulen. Setiap ayatnya membuktikan bahawa sumbernya ialah kebenaran yang utama dan sejati.
Mereka yang mendustakan al-Qur’an, tidak akan menerima ‘Ilmul-Yaqin, tetapi yang dimintanya ialah ‘Ainul-Yaqin. Mereka adalah orang yang jahil dan musuh kepada kebenaran. Mereka ingin melihat perkara-perkara ajaib dengan mata kepala mereka sendiri. Mereka kerap bertanya soalan-soalan yang bertujuan untuk mempermainkan dan menunjukkan keingkaran terhadap agama Allah. Al-Qur’an telah menyatakan dalam banyak ayat tentang dialog-dialog orang kafir dengan para nabi berkenaan permintaan-permintaan mereka yang melampaui batas. Namun mereka itu tetap kufur walaupun Allah menunaikan permintaan mereka. Lihatlah apa yang telah terjadi kepada kaum Nabi Saleh dan Nabi Musa.

Orang-orang kafir juga bersikap ragu-ragu terhadap Hari Qiamat. Mereka hanya sedar dan yaqin bila berada di Padang Masyar. Namun penyesalan itu tiada gunanya. Firman Allah dalam surah al-Jaatsiyah (45:32):

وَإِذَا قِيلَ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَالسَّاعَةُ لا رَيْبَ فِيهَا قُلْتُمْ مَا نَدْرِي مَا السَّاعَةُ إِنْ نَظُنُّ إِلا ظَنًّا وَمَا نَحْنُ بِمُسْتَيْقِنِينَ
“Dan apabila dikatakan:`Sesungguhnya janji Allah itu tetap benar dan Hari Qiamat itu tidak mempunyai sebarang keraguan padanya, maka kamu telah menjawab: ‘Kami tidak tahu apakah Hari Qiamat itu, kami fikir (hari Qiamat itu) hanya suatu anggapan (yang karut) sahaja dan kami sama sekali tidak yakin”.
Sesungguhnya orang kafir akan dilupakan Allah sebagaimana mereka melupakan Allah di dunia.

Kata Qatadah – ‘ilmul-Yaqin merujuk kepada pengetahuan tentang perkara-perkara yang berlaku selepas kematian. Sesungguhnya kematian akan pasti berlaku dan ia diyakini akan berlaku oleh orang Islam atau pun bukan Islam.

Firman Allah dalam surah al-Hijr (15:99):
“dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal)”.
Manusia yang mengetahui dengan yaqin keadaan yang bakal dihadapi setelah kematian pasti akan meninggalkan sikap bermegah dan berbangga diri. Malah akan segera melaksanakan amal soleh. Tidak leka dan lalai dengan dunia. Malah tidak melupakan urusan akhirat yang amat penting dan tidak lupa juga membuat persediaan untuknya.
Ayat ini sebagai pengukuhan tegahan dan celaan terhadap sikap gila dunia dan terpesona dengan kemilau hidup duniawi yang fana’. Ungkapan ini bukanlah sekadar nasihat kosong. Akan tetapi ia menegaskan bahaya besar di hadapan. Ia memerlukan pengamatan yang mendalam dan pemikiran yang bersungguh-sungguh tentang nasib masa depan di akhirat kelak. Kesedaran seumpama ini tidak dapat dirasai pada kebiasaannya tanpa keimanan yang kuat dan jiwa yang sedar lagi sejahtera.

Al-Hasan berkata: “kal-laa” bermaksud benar seolah-olah dikatakan pasti anda akan mengetahuinya dengan yakin.

Tadabur Surah at-Takaasur Siri 12

Ayat 3 and 4:

كَلا سَوْفَ تَعْلَمُونَ        ثُمَّ كَلا سَوْفَ تَعْلَمُونَ

 

Tidak sekali-kali begitu, kelak kamu akan mengetahui (3)

Kemudian tidak sekali-kali begitu, kelak kamu akan mengetahui (4)

Apabila manusia bangun ketika Hari Pembalasan, mereka akan berkata “Apakah yang telah aku lakukan?”. Ini adalah kerana ketika di dunia, mereka bersikap tidak endah apabila diingatkan tentang kematian.

 

Apabila manusia meninggal dan dikuburkan, barulah mereka menyedari realiti kehidupan yang sebenarnya.
Saiyidina Ali bin Abi Talib ra. berkata

 

“Manusia sedang tidur dan apabila mereka mati, maka barulah mereka hidup”. Ketika itu, mereka hanya menyedari betapa sia-sianya usia mereka di dunia selama ini.

Ayat ke-4 pula memberi penerangan ketika kita keluar dari kubur semasa Hari Pembalasan.

Az-Zamakhshari menegaskan “kal-laa” adalah satu amaran ataupun ancaman dan gertakan supaya manusia bangkit serta sedar dari lamunannya, iaitu daripada sikap dan tabiatnya yang lalai..

Kalimah “kal-laa” diulang lagi pada ayat ke-4 yang menjelaskan amaran itu menjadi lebih keras, dan menekankan perlunya kita bertindak dengan segera. Yakni berhenti daripada lalai. Menjauhi sifat bermegah-megah, menunjuk-nunjuk dengan kelebihan harta atau pangkat yang menyebabkan alpa untuk beramal kepada kehidupan akhirat. Tidak sepatutnya seseorang itu memberi perhatian lebih kepada dunia berbanding akhirat dan mengabaikan kepentingan agamanya.

Tadabur Surah at-Takaasur Siri 11

Ayat 2:

حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ
Sehingga kamu mengunjungi kubur-kubur (2)
Kubur adalah tempat kita akan dimakamkan. Kubur adalah tempat persinggaan sementara sebelum tibanya Hari Pembalasan. Allah menggunakan istilah `kubur’ dalam ayat ini dan bukannya `Syurga’ atau `Neraka’ yang bersifat kekal.
Allah memberikan peringatan bahawa kita telah disibukkan oleh sikap besar diri, bermegah-megah dengan kelebihan harta-benda, anak-pinak, sahabat handai, pangkat, kuasa serta berusaha mendapat lebih banyak lagi; sehingga menyebabkan kita sibuk, tidak mentaati Allah dan beramal untuk akhirat sehingga saat ketika ajal datang pun, kita masih lagi bersikap sedemikian rupa.
Kubur bukanlah tempat untuk dibuat perbandingan, bermegah-megah atau berbangga-bangga dengan perkara keduniaan. Ia sepatutnya menyedarkan kita tentang hakikat kematian. Kematian itu sendiri adalah nasihat yang terbesar.
Ingatlah wahai para pengumpul harta benda dan orang-orang yang disibukkan dengan hal keduniaan, bahawa Demi Allah, engkau tidak akan mendapatkan dari harta-bendamu kecuali selembar kain kafan; itupun akan rosak dan musnah. Jasadmu hanya untuk dimakan tanah. Mana perginya harta benda yang engkau kumpulkan? Adakah ia dapat menyelamatkanmu dari kengerian dan azab kubur? Pada saat mati, tapak tanganmu menjadi kosong dan tidak berisi. Yang kaya dan mulia akan berubah menjadi miskin dan hina.
Kita digalakkan menziarahi kubur bagi menjernihkan hati dari cintakan dunia dan mengingati kematian.

 

Rasululluh s.`a.w telah bersabda:
“Sesungguhnya aku (sebelum ini) telah melarang kamu semua dari menziarahi kubur. Kini ziarahlah kubur, sesungguhnya ia boleh melembutkan hati, mengalir air mata dan mengingatkan akhirat dan janganlah kamu berkata: “Jauhilah (kubur)”.

 

Ziarahilah kubur dan ia tidak terhad kepada kubur ibu-bapa atau saudara-mara

 

Ad-Daqqaq mengatakan:
“Barangsiapa mengingat kematian, akan dimuliakan dengan tiga hal; pertama, segera bertaubat, kedua, qana’ah hati, dan ketiga, semangat beribadah. Dan barangsiapa lupa akan kematian, maka ia akan diazab dengan tiga hal; pertama, menunda-nunda taubat, kedua, tidak redha dengan yang sedikit, dan ketiga, bermalas-malas dalam beribadah.”
Saiyidina Ali bin Abi Talib r.’a. berkata: “ Dunia pergi sambil berpaling, dan akhirat datang sambil mengadap. Setiap satu dari keduanya mempunyai anak. Jadilah engkau salah satu anak akhirat, dan jangan menjadi salah satu anak dunia. Sebab, hari ini adalah hari untuk beramal, tidak ada hisab. Sedangkan hari esok adalah hisab, tidak ada hari untuk beramal.”

Tadabur Surah at-Takaasur Siri 10

Permainan, hiburan, berbangga-bangga, berlumba-lumba memperbanyakkan harta dan anak merupakan hakikat kehidupan dunia.

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الأمْوَالِ وَالأوْلادِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا وَفِي الآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا مَتَاعُ الْغُرُورِ

 

“Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan hiburan yang melalaikan, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan dan perlumbaan membanyakkan harta dan anak. Ia adalah laksana air hujan yang menghidupkan tumbuh-tumbuhan mengkagumkan para penanam; kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering dan engkau lihat warnanya kuning, kemudian ia menjadi reput. Dan di Akhirat kelak disediakan ‘azab yang dasyat dan keampunan dari Allah dan keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia itu tidak lain melainkan hanya suatu kenikmatan yang mempedayakan. Surah al-Hadiid (57:20)

Al-Quran membuat perbandingan kehidupan dunia dengan satu perbandingan yang menarik mengikut cara bahasa al-Quran yang seni, iaitu kehidupan dunia ini adalah
“Laksana air hujan yang menghidupkan tumbuh-tumbuhan mengkagumkan para penanam”.
Ia mengandungi maksud sindiran terhadap orang-orang kafir yang amat tertarik dengan kehidupan dunia.

“Kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering dan engkau lihat warnanya kuning, kemudian ia menjadi reput”Kehidupan dunia ini telah ditetapkan tempohnya yang tertentu yang akan berakhir dengan segera.
Apakah kita telah dilalaikan oleh at-Takathur ? Kekayaan dan anak-anak sepatutnya lebih mengingatkan kita kepada Allah dan bukannya sebagai penyebab yang menjauhkan diri kita dari-Nya.

Tadabur Surah at-Takaasur Siri 9

Surah al-Hadiid (57:20), Allah mengingatkan hamba-Nya bahawa manusia akan berbangga dan bersaing tentang harta dan anak-anak

 

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الأمْوَالِ وَالأوْلادِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا وَفِي الآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا مَتَاعُ الْغُرُورِ

 

“Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan hiburan yang melalaikan, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan dan perlumbaan membanyakkan harta dan anak. Ia adalah laksana air hujan yang menghidupkan tumbuh-tumbuhan mengkagumkan para penanam; kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering dan engkau lihat warnanya kuning, kemudian ia menjadi reput. Dan di Akhirat kelak disediakan ‘azab yang dasyat dan keampunan dari Allah dan keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia itu tidak lain melainkan hanya suatu kenikmatan yang mempedayakan.”

Kehidupan dunia apabila diukurkan dengan ukuran dunia dan ditimbangkan dengan neraca dunia, maka ia akan dilihat dan dirasakan sebagai satu kehidupan yang amat agung dan besar, tetap apabila ditimbangkan dengan neraca Akhirat, maka ia kelihatan kecil dan kerdil