Tadabur Surah at-Takaasur Siri 8

Manusia selalu merasakan bahawa kekayaan, kekuasaaan, keturunan dan anak-anak adalah tanda kekuatan dan menjadikan mereka bangga diri. Sesungguhnya `Takathur’ melalaikan manusia dari ketaatan kepada Allah dan lalai untuk beramal bagi Hari Pembalasan.
Allah memberikan peringatan kepada orang mu’min agar tidak lalai atas nikmat harta kekayaan dan anak-pinak. Firman Allah dalam Surah Al-Munafiqun 63:9

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلا أَوْلادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

 

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu itu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang membuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”

Harta kekayaan dan anak-pinak memang melalaikan jika hati tidak mempunyai kesedaran, tidak memahami matlamat kewujudannya dan tidak merasa mempunyai matlamat yang tinggi.

 

Allah mengurniakan nikmat harta kekayaan dan anak pinak kepada manusia supaya dia dapat melaksanakan tugas khalifah di atas mukabumi ini dan bukan untuk melalaikannya dari mengingati Allah.

Tadabur Surah at-Takaasur Siri 7

Surah at-Takaasur yang membicarakan kemegahan terhadap harta dan akhirnya dilalaikan dari mengingati Allah dibicarakan juga dalam surah lain. Terdapat banyak ayat dalam Al-Quran yang menceritakan perihal mereka yang dilalaikan oleh harta-benda sehingga menjadi ego dan melupakan Allah. Firman Allah dalam Surah al-Kahfi, 18:34

 

وَكَانَ لَهُ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَاحِبِهِ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَنَا أَكْثَرُ مِنْكَ مَالا وَأَعَزُّ نَفَرًا
“Dan dia mempunyai kekayaan (kebun yang besar), maka dia berkata kepada kawannya ketika dia berdialog dengannya: “Aku mempunyai harta kekayaan yang lebih banyak dari engkau dan aku mempunyai pengikut-pengikut yang lebih kuat”

Ayat ini mengisahkan tuan punya ladang yang sangat sombong dan berbangga dengan kekayaannya. Dia mendabik dada kepada kawannya yang miskin. Dia telah melupakan Allah dan lupa juga untuk mensyukuri nikmat pemberian-Nya. Lalai dengan urusan di alam kubur dan hari kiamat.

Tadabur Surah at-Takaasur Siri 6

Bermegah-megah dan lalai ini juga disebut dalam ayat yang lain. Antaranya mesej yang sama juga dapat dilihat dalam surah al-`Aadiyat,100:6-8

إِنَّ الإنْسَانَ لِرَبِّهِ لَكَنُودٌ 6  وَإِنَّهُ عَلَى ذَلِكَ لَشَهِيدٌ 7 وَإِنَّهُ لِحُبِّ الْخَيْرِ لَشَدِيدٌ 8

“dan sesungguhnya manusia itu sangat ingkar tidak berterima kasih kepada Tuhannya (6). dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan (sendiri) keingkarannya (7) dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya kepada harta(8)”
Sebahagian ahli tafsir menerangkan bahawa maksud ayat ini (8) ialah manusia sangat kuat cinta-nya kepada harta sehingga ia menjadi bakhil. Asyik dengan menghimpun harta akhirnya bakhil dan kedekut dengan harta menyebabkan mereka lalai daripada mengingati Allah untuk bersedekah, berzakat dan melaksanakan kewajipan yang lain.

Tadabur Surah at-Takaasur Siri 5

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ  1   حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ 2

“Bermegah-megah (menunjukkan kelebihan) sering melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur.” (al-Takathur, 102:1-2).

Akibat dari sikap bermegah-megah dan persaingan yang melekakan itu, maka manusia dilalaikan daripada kebenaran Islam. Lari dari tanggung-jawab sebagai hamba Allah, bersikap ambil mudah terhadap suruhan dan larangan Allah. Tidak bersyukur kemudian lalai dari mengingati Allah dan seterusnya melupakan manusia kepada Hari Pembalasan.

 

Tadabur Surah at-Takaasur Siri 4

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ

Istilah Takathur = pertandingan/persaingan

At-Takathur – melekakan dan mengalihkan perhatian manusia dari Allah. `Takathur’ membawa beberapa maksud:

1 – Keinginan untuk mendapat lebih banyak.

 Hendak lebih kaya, memiliki kereta mewah, mempunyai rumah lebih besar dan sebagainya. Melekakan dari mengingati dan bertawajuh kepada Allah swt.
2 – Bersaing dengan orang lain bagi memperoleh lebih banyak ni’mat keduniaan.

Bersaing untuk mendapat pangkat/kuasa mengikut jalan yang tidak diredhai Allah. Bermegah-megah dan bersaing dalam urusan perkahwinan supaya nampak lebih `grand’, kelihatan mewah dari orang lain, dikatakan mengikut trend terkini sehingga ia nampak lebih hebat.

3 – Berbangga-bangga dan menunjuk-nunjuk kerana mempunyai banyak kelebihan.

 Berbangga dengan harta-benda dan kemewahan yang dimiliki, keturunan yang hebat, anak-pinak yang ramai.

Tadabur Surah at-Takaasur Siri 3

 
أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ

Kamu telah dilekakan oleh pertandingan memperbanyakkan harta kekayaan (1)
alha – lahwan (past tense) – il-haa. Secara literalnya adalah bermaksud hiburan (Entertainment). Iaitu manusia sibuk dan lalai.

 

Ada beberapa situasi `kelalaian’ yang berlaku (mengikut neraca Allah):

  1. Membuang masa pada suatu perkara yang tidak penting.
  2. Tidak memberi perhatian kepada perkara yang sepatutnya dibuat.
  3. Memberi perhatian yang berlebihan kepada sesuatu perkara hingga Allah tidak diberi keutamaan sebagaimana yang sepatutnya.

Kalimah `Al-ha’ adalah `fail madhi/past-tense’. Ia digunakan bagi menunjukkan sikap manusia yang suka bermegah-megah, berbangga dan berlumba-lumba untuk ni’mat dunia. Masa terbuang begitu sahaja, tiada nilai, tidak berfaedah dan sia-sia dari neraca Allah.

Tadabur Surah at-Takaasur Siri 2

 

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ  1   حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ 2

“Bermegah-megah (menunjukkan kelebihan) sering melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur.” (al-Takathur, 102:1-2).

Ayat ini merupakan teguran kepada orang-orang yang hidup bermegah-megah sehingga mereka lalai untuk melakukan ibadah kepada Allah
Imam Bukhari dan Ibnu Jarir telah mengambil riwayat dari Ubayy bin Ka’ab:

 

“Rasulullulah bersabda: “Seandainya anak Adam mempunyai dua lembah harta tentu dia masih menginginkan yang ketiga. Padahal yang memenuhi perut anak Adam hanyalah tanah-tanah (kuburnya) dan Allah tetap menerima taubat orang yang ingin bertaubat”

Ibnu Jarir meriwayatkan dari Sayidina Ali r.a berkata; “Pada mulanya kami sangsi tentang seksa kubur. Selepas penurunan ayat ini(Surah at-Takathur 102:1-2) hilanglah kesangsian itu.”

Tadabur Surah At-Takaasur Siri 1

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ  1   حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ 2

“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), (1) Sehingga kamu masuk kubur. (2) Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! (at-Takasur: 1-2)

 

Ibn Abi Hatim telah meriwayatkan daripada Ibn Buraidah berkaitan dengan ayat ini

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ  : “Bermegah-megah (menunjukkan kelebihan) sering melalaikan kamu “(al-Takathur, 102:1);

Kata Ibn Abi Hatim surah ini diturunkan sempena dua kabilah dari kabilah orang-orang Ansar iaitu Bani Harithah dan Bani al-Harth. Keduanya kabilah ini saling menyombongkan diri di antara satu sama lain dengan kekayaan yang mereka miliki serta keturunan mereka dan saling tertanya-tanya di antara satu sama lain: “Apakah kalian semua mempunyai pahlawan segagah dan secekap si Fulan?” Mereka menyombongkan diri pula dengan kedudukan dan kekayaan orang yang masih hidup. Malahan mereka juga bermegah-megah dengan pahlawan yang telah gugur dengan menunjukkan tanah perkuburan mereka.
Maka Allah pun menurunkan ayat

 

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ  1   حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ 2

“Bermegah-megah (menunjukkan kelebihan) sering melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur.” (al-Takathur, 102:1-2). Ia adalah sebagai teguran kepada orang-orang yang hidup bermegah-megah sehingga mereka lalai untuk melakukan ibadah kepada Allah