Memiliki Cita-Cita Tinggi

Memiliki Cita-Cita Tinggi

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan buat seluruh rakyat Malaysia! Moga kemerdekaan yang telah kita nikmati di Malaysia selama ini mendidik jiwa agar mampu membebaskan diri daripada belenggu sikap dan akhlak yang menjadikan kita bangsa yang mundur serta meruntuhkan sesebuah tamadun.

Setiap Muslim perlu memiliki cita-cita tinggi yang boleh meletakkan kita menjadi insan yang mulia dan bertaqwa di sisi Allah.

Imam Al-Banna menyatakan tentang sifat orang yang memiliki cita-cita yang tinggi: “Iaitu yang sentiasa berfikir; memberi perhatian yang utama; jika dijemput segera menerima, jika dipanggil segera menyahut; tidak menjauhkan diri dari medan amal; dia merasai kerehatan, keseronokan dan kenikmatannya di dalam bekerja. Matlamatnya adalah mencapai keredhaan Allah dan mendapat syurga serta menjadi sebaik-baik manusia, sebagaimana yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis baginda: “sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat untuk manusia.”

Teman Rapat

Teman Rapat

Hidup bermasyarakat menuntut kita mencari rakan rapat yang soleh. Dengan siapa kita bergaul, menentukan corak dan kehidupan kita.

Kata Zainul Abidin Ali ibn Hussain:

إِنَّمَا يَجْلِسُ الرَّجُلُ إِلَى مَنْ يَنْفَعُهُ

“Sesungguhnya lelaki yang sejati hanya ingin duduk (bergaul) bersama orang yang dapat memberi manfaat bagi agamanya”

Bergaul lah dengan orang yang boleh menjadikan kehidupan kita baik dan diredhai Allah. Kata Hukama’: “Sebaik-baik orang yang duduk di sekelilingmu (teman) ialah yang apabila kamu pandang wajahnya, teringat kamu kepada Allah dan bertambah amal kamu apabila mendengar bicaranya dan kamu akan teringat akhirat apabila melihat amalnya”

Hadis Rasulullah SAW:

مَثَلُ الجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ كَحَامِلِ المِسْكِ وَنَافِخِ الكِيرِ فَحَامِلُ المِسْكِ: إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً وَنَافِخُ الكِيرِ: إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً

“Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.” [Riwayat al-Bukhari (5534) dan Muslim (2628)]

Sahabat Sebenar

Sahabat Sebenar

Sahabat akrab kita adalah orang yang mampu menjadikan kita dekat dengan Allah. Sahabat yang rapat dengan kita sentiasa menjadi pendorong menjadikan kita orang yang soleh dan bertakwa kepada Allah.

Kata Imam Ahmad Ibn Hanbal:

وَإِخْوَانُهُ الأَدْنُونَ كُلُّ مُوَفِّقِ بَصِيرَةٍ بِأَمْرِ اللهِ يَسْمُو إِلَى الْعُلاَ

“Saudara yang dekat dengannya adalah setiap orang yang beroleh taufik, memahami perintah Allah serta suka kepada hal-hal yang meninggikan darjat”.

Mari kita muhasabah diri, adakah rakan yang rapat dengan kita menjadi pendorong kita dalam melakukan ibadat?

Adakah sahabat yang dekat dengan kita menyebabkan kita menjadi orang yang soleh dan bermanfaat?

Penyakit Orang Baik

Penyakit Orang Baik

Antara penyakit yang perlu dirawat kepada orang yang beramal ialah riya’ (untuk menunjuk atau dilihat manusia ketika beramal) dan sum’ah (beramal agar didengar oleh orang lain). Amal yang dilakukan tidak ikhlas kerana Allah.

Riya’ dan sum’ah ialah syirik kecil yang merosakkan ibadah. Sesiapa yang melakukan ibadah kerana menginginkan pujian manusia, hakikatnya dia telah menghapuskan pahala ibadah tersebut. Dia tidak akan mendapatkan apa-apa ganjaran daripada Allah SWT kelak.

Penyakit ini hanya menghinggapi ‘orang baik’ sahaja. Orang jahat dan tidak mengenali Allah SWT tidak memiliki sifat-sifat ini kerana mereka tidak melakukan ibadah sama sekali. Mereka akan menjadi bara api neraka tanpa dihisab.

Adapun orang yang baik ini, maka ia mesti terus menjaga kemurnian ibadahnya. Setiapkali melakukan ibadah, dia wajib meluruskan niatnya agar ibadahnya diterima oleh Allah SWT, terutamanya apabila manusia mula menyebut-nyebut kebaikannya dan memuji dirinya.

Syeikh Ali al-Khawas berkata: “Jika engkau sedang berada di jalan istiqamah, lalu seseorang memujimu, maka itu satu peringatan atas kekurangan yang terdapat di dalam diri. Maka periksalah dirimu. Carilah sebabnya, kenapa manusia memujimu? Boleh jadi Allah melihat hatimu menyukai pujian, maka Allah memberikan pujian itu untukmu sebagai satu-satunya balasan atas ibadah tersebut. Seperti seorang ayah yang menggembirakan anaknya dengan gelang dan kalung tiruan.”

Untuk menghindari sifat ini, kita wajib mengetahui tanda-tandanya. Pastikan tanda-tanda tersebut tidak terdapat dalam diri kita.

Saidina Ali bin Abi Talib RA pernah berkata: Tanda riya’ tiga perkara:

1. Malas beramal jika bersendirian
2. Rajin beramal jika dalam ramai
3. Menambah amalan jika dipuji dan menguranginya jika dicela

Beramal 10 Zulhijjah

Beramal 10 Zulhijjah

Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ
بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ

Maksudnya: “Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh Allah daripada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah).” Mereka berkata; Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan Allah? Baginda SAW berkata: “Tidak juga berjihad di jalan Allah melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun.” [Riwayat Abu Daud (2082)]

Daripada Ibnu Umar RA, daripda Nabi SAW, Baginda bersabda,

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إلِيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ أَيَّامِ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ أَوْ قَالَ : هَذِه الْأيَّامِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنَ التَّسْبِيح وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ وَالتَّهْلِيلِ

Maksudnya: ” Tiada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, perbanyakanlah tahlil,takbir, dan tahmid pada-Nya. Riwayat Imam Ahmad (6154)

Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah (9 Zulhijjah):

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. [Riwayat Muslim (1977)]

Kelebihan Hari Arafah

Kelebihan Hari Arafah

Rasulullah SAW bersabda,

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ

“Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari Neraka lebih banyak daripada hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata: apa yang mereka inginkan?”
(Hadis Riwayat Muslim, no.1348)

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كَلِمَةً تُشْبِهُ عَدْلَ ذَلِكَ قَالَ صَوْمُ عَرَفَةَ بِصَوْمِ سَنَتَيْنِ وَصَوْمُ عَاشُورَاءَ بِصَوْمِ سَنَة

Dari Abu Qatadah bahwa Nabi SAW mengucapkan kata-kata yang mirip dengan kesamaannya, ia berkata; Puasa ‘arafah seperti puasa dua tahun dan puasa ‘asyura` sama seperti puasa setahun. (HR Ahmad No: 21568)

Nabi S.A.W bersabda:

ثَلاثَةٌ لا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ..

Maksudnya: “Tiga doa yang tidak akan ditolak Allah (bermaksud sangat mustajab) iaitu doa seorang pemimpin yang adil, doa orang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi..”

Hari Raya Umat Islam

Hari Raya Umat Islam

Sebahagian salaf menyebut:

ليس العيد لمن لبس الجديد ، إنما العيد لمن طاعاته تزيد

ليس العيد لمن تجمل باللباس و الركوب ، إنما العيد لمن غفرت له الذنوب

Bukanlah hari raya itu pada orang yang memakai pakaian baru, tetapi sebenarnya hari raya itu adalah bagi orang yang ketaatannya bertambah.

Bukanlah hari raya itu bagi orang yang kelihatan cantik pada pakaian dan kenderaan, tetapi hari raya itu sebenarnya adalah bagi orang yang telah diampunkan baginya segala dosa.

Imam Hasan Al-Basri rahimahullah berkata;

كل يوم لا يُعصى الله فيه فهو عيد

Setiap hari yang padanya tidak dilakukan derhaka kepada Allah maka ia adalah hari raya.

`Eid Mubarak…

Selamat Hari Raya

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ.

Tanda Allah Mencintai Seseorang

Tanda Allah Mencintai Seseorang

Imam Al-Ghazali berkata: “Sesungguhnya, jika Allah SWT mencintai seseorang, maka Allah SWT akan mempergunakannya di waktu-waktu fadhilah (utama) dengan amal-amal yang fadhilah (utama) pula, dan petanda bahwa seseorang tidak disukai Allah SWT adalah bahawa orang itu mengisi waktu-waktu utama dengan amal-amal yang buruk!!”. (Ihya’ Ulumuddin [1/188]).

Semoga Allah SWT senantiasa memberikan kepada kita kekuatan, taufik dan hidayah untuk mengisi waktu-waktu utama dengan amal terbaik, serta menjauhkan kita dari perbuatan buruk.

Beramal Soleh dan Berkhidmat

Beramal Soleh dan Berkhidmat

Kesempatan beramal adalah tanda Allah inginkan kebaikan bagi kita. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA;

عَنْ أَنَسٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ ‏”‏ ‏.‏ فَقِيلَ كَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏”‏ يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ الْمَوْتِ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

“Apabila Allah menginginkan bagi seorang hamba kebaikan, Allah jadikan dia beramal”

Kemudian baginda ditanya, bagaimana dia dijadikan beramal?

Jawab Rasulullah SAW: “Diberikan taufiq baginya untuk melakukan amal soleh sebelum kematian (semasa dia hidup)”

Hadis di atas sewajarnya menimbulkan rasa cinta untuk beramal. Hilangkanlah kemalasan dan memberi alasan ketika melakukan amal.

Ingatlah, apabila satu kaum tidak mahu lagi beramal dan memberi khidmat untuk Islam, maka ia akan diganti dengan kaum yang lain.

Firman-Nya ;

وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم

.. Dan jika kamu berpaling Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu. (Muhammad: 38)

Semoga Allah terus memilih kita untuk beramal soleh dan memberi khidmat untuk agama ini.

Masukkan Aku Dalam Golongan Yang Sedikit

Masukkan Aku Dalam Golongan Yang Sedikit

Suatu ketika, khalifah ‘Umar al-Khattab RA sedang melakukan tawaf dan dia mendengar seseorang memanjatkan doa:

اللهم اجْعَلْنِي مِنْ عِبَادِكَ القَلِيْل

“Ya Allah, jadikanlah aku dalam kalangan hambaMu yang sedikit.”

Berasa hairan dengan doa itu, selepas tawaf Saidina Umar bertanya kepadanya: “Mengapa kamu berdoa sebegitu rupa? Belum pernah aku mendengar sesuatu seperti itu.”

Sahabat itu menjawab, Wahai Amirul Mukminin! Aku membaca doa itu kerana aku takut dengan penjelasan Allah:

وَلَقَدۡ مَكَّنَّكُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَجَعَلۡنَا لَكُمۡ فِيهَا مَعَٰيِشَۗ قَلِيلٗا مَّا تَشۡكُرُونَ ١٠

Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu yang bersyukur. (Al A’raf ayat 10).

‘Umar seperti tersentak mendengar jawapan itu, lantas memberi respon, “Sungguh setiap orang lebih faham tentang agama daripada aku.” Jawapan itu membuat Saidina Umar menangis.

Sedikit sekali orang yang bersyukur. Justeru berusahalah kita untuk menjadi orang bersyukur. Malah Allah akan tambahkan lagi nikmat kepada hamba-hambaNya yang bersyukur!

لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Dan jika kamu sekalian bersyukur atas nikmat yang Aku berikan, maka niscaya akan Aku tambah nikmat-Ku untukmu. Dan jika kamu sekalian kufur atas nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku itu sangat pedih” (Ibrahim: 7)

اللهم اجْعَلْنِي مِنْ عِبَادِكَ القَلِيْل

“Ya Allah, jadikanlah aku dalam kalangan hambaMu yang sedikit.”