Bertengkar Umpama Orang Gila Dirasuk Syaitan

Bertengkar Umpama Orang Gila Dirasuk Syaitan

Setiap kita dikurniakan sifat manusia biasa. Ada kalanya kita gembira dan adakalanya kita marah. Namun dalam hidup bermasyarakat, kita perlu memiliki sifat sabar apabila berhadapan dengan pelbagai karenah dan jenis manusia. Ada jenis manusia yang mudah marah dan bertengkar.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW:

عَنْ عَدِيِّ بْنِ ثَابِتٍ عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ صُرَدٍ قَالَ كُنْتُ جَالِسًا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجُلَانِ يَسْتَبَّانِ فَأَحَدُهُمَا احْمَرَّ وَجْهُهُ وَانْتَفَخَتْ أَوْدَاجُهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي لَأَعْلَمُ كَلِمَةً لَوْ قَالَهَا ذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ لَوْ قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ ذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ فَقَالُوا لَهُ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ فَقَالَ وَهَلْ بِي جُنُونٌ

Daripada ‘Adiy bin Tsabit dari Sulaiman bin Shurad berkata; “Aku sedang duduk bersama Nabi SAW dan ada dua orang yang saling mencaci. Seorang diantaranya merah wajahnya dan urat lehernya menegang. Maka Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimat yang bila diucapkan akan hilang apa yang sedang dialaminya. Seandainya dia mengatakan a’uudzu billahi minasy syaitan”, (aku berlindung kepada Allah dari syaitan) “. Lalu ada sahabat mengatakan kepada orang tersebut kalimah itu; “Sesungguhnya Nabi SAW bersabda; “Berlindungkah kamu kepada Allah dari syaitan”. Orang itu berkata: “Apakah aku sudah gila?”. (HR Bukhari No: 3040)

Kita diingatkan agar tidak memiliki sifat pemarah dan suka bertengkar. Pertengkaran dan perbalahan akan mudah dikuasai syaitan. Orang yang sedang marah dan tidak dikawal seperti orang gila yang hilang pertimbangan, sehingga apa yang dituturkan berupa cacian dan makian tanpa memikirkan baik dan buruk. Malah tindakan yang diambil juga boleh sehingga peringkat membunuh.

Ubatlah marah kita dengan perbanyak memohon perlindungan daripada Syaitan,

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.

Bersabar Terhadap Orang Jahil

Bersabar Terhadap Orang Jahil

Imam as-Syafie pernah dicaci dan dimaki di hadapan pelajarnya. Lalu pelajarnya pun bertanya kenapa beliau tidak membalas cacian mereka itu. Antara jawapan Imam as-Syafie:

يُخَاطِبُنِي السَّفِيْهُ بِكُلِّ قُبْحٍ

Orang jahil berbicara kepadaku dengan segenap keburukan,

فَأَكْرَهُ أَنْ أَكُوْنَ لَهُ مُجِيْبًا

Aku pun enggan untuk menjawabnya,

يَزِيْدُ سَفَاهَةً فَأَزِيْدُ حُلْمًا

Dia semakin bertambah kejahilan dan aku semakin bertambah kesabaran,

كَعُوْدٍ زَادَهُ الْإِحْرَاقُ طِيْبًا

Seperti gaharu dibakar, akan semakin menebar kewangiannya.

Jadilah orang yang sabar lebih lebih lagi terhadap orang yang jahil.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW yang memerintahkan kita agar berkata benar atau diam. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

“Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” [Riwayat al-Bukhari (6018)]

Waktu Dalam Kehidupan Muslim

Waktu Dalam Kehidupan Muslim

Waktu amat berharga dalam kehidupan insan. Waktu yang berlalu tidak akan kembali semula. Tidaklah datang suatu hari yang baru melainkan ia berkata kepada anak Adam sebagaimana yang diriwayatkan; telah berkata al-Imam Hassan al-Basri,

يا ابن آدم انا خلق جديد وعلى عملك شهيد
فتزود منى بعمل صالح فإنى لا أعود الى يوم القيامه

“Wahai Anak Adam, aku (hari baharu) adalah ciptaan baru. Aku menjadi saksi atas amalanmu. Berbekalah daripadaku dengan amal salih. Kerana aku tidak akan kembali sehingga hari Kiamat”

Ada pendapat mengatakan atsar ini marfu’ sehingga Rasulullah SAW.

Waktu yang terkumpul ini kita berikan unit ukuran seperti saat, minit, jam , hari, minggu, bulan dan sebagainya, akhirnya membentuk sesuatu yang kita panggil umur dan usia.

Sesungguhnya kesempatan umur dan usia yang dimiliki oleh setiap individu, banyak menentukan kelangsungan usia dan ajal sesuatu umat.

Firman Allah :

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٞۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمۡ لَا يَسۡتَأۡخِرُونَ سَاعَةٗ وَلَا يَسۡتَقۡدِمُونَ ٣٤

Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun dan tidak dapat pula mereka didahulukan (Al-Araf: 34)

Masa yang kita lalui, umur yang kita miliki akan dipersoal kelak. Justeru kita perlu memanfaatkan masa dan usia ini untuk diri kita, juga untuk agama, keluarga, masyarakat dan negara.

Waktu yang datang seringkali membuatkan manusia tertipu. Ia merasakan esok masih ada. Sedangkan waktu dan hari yang berlalu pergi meninggalkan kita tidak akan kembali sehingga hari kiamat.

Alangkah sedihnya mengenangkan waktu yang berlalu tanpa dimanfaatkan. Semoga waktu dan hari yang ada ini kita rebut kesempatan menyediakan bekalan. Bukan sahaja untuk survival diri, juga untuk survival Islam dan umat ini.

Bercita Tinggi dan Mencontohi Orang Terdahulu

Bercita Tinggi dan Mencontohi Orang Terdahulu

Ibn Al-Jauzi Rahimahullah berkata,

“Aku berlindung kepada Allah dari kehidupan orang-orang yang tidak mempunyai cita-cita tinggi hingga boleh diteladani oleh orang lain, yang tidak mempunyai sikap wara’ yang boleh ditiru oleh orang yang ingin berzuhud demi Allah SWT.”

“Hendaklah kalian mencermati perilaku sesuatu kaum, mendalami sifat dan kisah tentang mereka, kerana memperbanyak meneliti kitab-kitab mereka adalah sama dengan melihat mereka.”

“Bila engkau mengatakan telah mendalami dua puluh ribu jilid buku, bererti engkau telah melihat mereka melalui kajianmu terhadap tingkat semangat mereka, kepandaian mereka, ibadah mereka, keistimewaan ilmu mereka yang tidak pernah diketahui orang yang tidak pernah membacanya…”

Jadikanlah mereka contoh untuk diikuti.

Jadilah Orang Bersyukur

Jadilah Orang Bersyukur

Bersyukur menjadikan kita bahagia. Bahagia itu pastinya akan menjemput rezeki di sekeliling kita. Bersyukurlah diatas pelbagai rezeki yang dianugerahkan Allah kepada kita, rezki Iman dan Islam, rezeki kasih sayang, rezeki kesihatan yang baik, rezeki keluarga bahagia dan pelbagai lagi. Yakinlah kita, jika kita bersyukur, Allah akan tambahkan rezeki kita. Firman Allah:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. (Surah Ibrahim 14 : 7)

Imam Al-Ghazali dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ menyatakan: bersyukur itu adalah menjunjung tinggi nikmat, seterusnya mengagungkan Allah. Syukur juga merupakan salah satu darjat yang paling tinggi daripada sabar dan khauf (takut) kepada Allah. Ada 4 cara kita membuktikan kesyukuran pada Allah:

1) Bersyukur dengan hati.

Tanda bersyukur dengan hati adalah, apabila kita bersungguh-sungguh meyakini bahawa segala nikmat, pemberian, hadiah, kegembiraan, kebaikan semuanya datang daripada Allah, walaupun secara fizikalnya nampak seperti manusia yang beri. Firman Allah dalah surah an-Nahl ayat 53;

“Dan, apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allahlah (datangnya) dan apabila kamu ditimpa oleh kemudaratan, maka hanya kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan.”

2) Bersyukur dengan lisan.

Banyakkan puji-pujian kepada Allah dengan berzikir khususnya lafaz Alhamdulillah juga lafaz-lafaz lain.

3) Bersyukur dengan amal perbuatan

Tanda syukur dengan perbuatan adalah apabila kita menunaikan solat fardhu 5 waktu, berpuasa, bersedekah, berdakwah dan melakukan pelbagai amal kebajikan. Gunakan anggota badan untuk mengelak daripada membuat maksiat. Menjaga pandangan mata daripada perkara dosa seperti video lucah dan aurat. Menjaga telinga daripada mendengar perkara yang haram, menjaga mulut daripada mengumpat, memfitnah, menipu, mengadu domba, dan sebagainya.

4) Bersyukur dengan segala nikmat pemberian.

Apa sahaja nikmat yang kita perolehi sama ada yang kecil mahupun yang besar, wajib kita syukuri. Termasuklah nikmat masa, ilmu, kesihatan, dan sebagainya.

Jadilah kita orang yang sentiasa bersyukur walau sekecil mana nikmat yang kita miliki.

Sumbanglah Sesuatu Yang Berkualiti

Sumbanglah Sesuatu Yang Berkualiti

Dalam melakukan amal soleh, setiap kita perlu melakukan dengan ikhlas, bersungguh-sungguh serta yang paling baik dan sempurna. Sama ada dalam bentuk ibadat khususiah seperti solat, puasa, tilawah al-Quran mahupun ibadat umum seperti berniaga, perkhidmatan dan sebagainya.

Islam menekankan kualiti dalam setiap perkara. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لاَيَقْبَلُ إِلاَّطَيِّبَا

“Sesungguhnya Allah itu baik (suci bersih) dan Allah tidak akan menerima kecuali yang baik (suci bersih – berkualiti) juga” Riwayat Muslim

Sesuatu yang dilakukan akan diterima sebagai ibadah apabila ianya memenuhi syarat baik (suci bersih dan berkualiti), termasuk dilakukan dengan ikhlas (syarat diterima amal), bersungguh-sungguh dan sempurna.

Al-Quran menegur kualiti barang atau kerja yang berkualiti rendah. Diriwayatkan oleh Imam Hakim: Kisah sahabat yang sering membawa buah kurma daripada dusun ke masjid untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Pada suatu hari salah seorang membawa buah kurma yang kualitinya rendah sedangkan dia mampu memberikan yang lebih baik. Lalu turun ayat surah al-Baqarah: 267

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الأرْضِ وَلا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِآخِذِيهِ إِلا أَنْ تُغْمِضُوا فِيهِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ (٢٦٧)

“Wahai orang-orang yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa terpuji”.

Berdasarkan ayat di atas;

1. Allah mengarahkan orang beriman untuk menghasilkan atau menyumbang sesuatu di dunia sebagai bekalan di akhirat.

2. Dalam menghasilkan atau menyumbang sesuatu, seperti harta, perkhidmatan, pengurusan, pengajaran, dan lain-lain, maka perlu dipersembahkan yang terbaik.

3. Kita juga tidak ingin menerima sesuatu yang buruk atau tidak berkualiti.

Menyumbanglah sesuatu yang paling baik daripada kita agar ia menjadi fix deposit untuk kita di akhirat nanti.

Kualiti Dilihat Dari Aspek Proses dan Prosedur

Kualiti Dilihat Dari Aspek Proses dan Prosedur

Dalam menghasilkan sesuatu amal, kita ingin setiap amal diterima Allah dan diberikan ganjaran sebaiknya. Untuk memastikan amal berkualiti, diterima dan sempurna, pastikan proses dan prosedurnya baik dan sempurna. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ كتَبَ الإِحْسَا نَ عَلى كُلِّ شَيْءٍ. فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ وَلْيُحِدِّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

“Sesungguhnya Allah telah menentukan pada setiap sesuatu ada kebaikan. Maka apabila kamu membunuh, hendaklah kamu bunuh dengan sempurna dan apabila kamu menyembelih, lakukanlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah tiap seorang dari kamu menajamkan pisau (alat sembelihan) dan biarkanlah haiwan sembelihan kamu mati dengan cara yang baik” (HR Tirmizi No: 1329)

Dalam hadis di atas jelas menerangkan dalam bab sembelihan binatang untuk dimakan, proses dan prosedur jelas diterangkan iaitu pisau yang digunakan perlu ditajamkan dalam ertikata yang lain jika digunakan ketika sembelihan dengan sekali tarik, pisau tersebut telah memutuskan urat yang sepatutnya pada leher binatang. Prosedur yang digunakan selamat dan tidak menyiksa binatang tersebut.

Marilah kita melakukan sesuatu urusan dengan menyempurnakan sebaik mungkin, bukan sekadar seperti melepaskan batuk di tangga. Perkhidmatan yang kita beri, pastikan yang terbaik dan jika barang yang kita hasilkan ia berkualiti dan mendapat kepuasan kepada orang yang menerimanya.

Bersihkan Hati

Bersihkan Hati

Kita amat mengambil berat penampilan diri. Sentiasa kemas dalam berpakaian, rambut yang disisir dan wajah yang sentiasa bersih.

Adakah hati kita juga sentiasa kita pelihara kebersihan dan kerapiannya?

Imam al-Ghazali menyebutkan: “Sungguh menghairankan orang yang sangat mengambil perhatian terhadap muka (wajahnya) yang merupakan tempat makhluk melihat, tetapi tidak memerhatikan hatinya, yang merupakan tempat Pencipta (ALLAH) melihat.”

Berbakti Kepada Ibu Bapa

Berbakti Kepada Ibu Bapa

Antara kewajipan seorang anak kepada ibu bapanya ialah berbakti kepada keduanya.

Salah satu cara berbakti ialah dengan berdoa untuk kedua ibu bapa sama ada semasa hidupnya mahupun selepas kematiannya.

Antara ayat di dalam al-Quran yang boleh digunakan sebagai doa untuk kedua ibu bapa kita, antaranya:

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Ibrahim: 41

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami. Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Takwa Paling Dekat Dengan Allah

Takwa Paling Dekat Dengan Allah

Memiliki sifat takwa merupakan hasrat setiap Muslim.

Saidina Umar al-Khattab pernah bertanya kepada Ubai bin Kaab berkenaan maksud takwa. Ubai berkata kepada Saidina Umar: “Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?” Lantas jawab Saidina Umar, “Ya, pernah.” Ubai bertanya lagi, “Apakah yang kamu lakukan ketika itu?” Saidina Umar berkata, “Aku akan berhati-hati dan bersungguh-sungguh (syammartu wajtahadtu).” Berkata Ubai, “Itulah takwa.”

Daripada jawapan ini dapat disimpulkan bahawa takwa bermaksud berhati-hati dalam hidup supaya tidak terjebak dengan perkara yang haram serta bersungguh-sungguh melakukan amal soleh berlandaskan petunjuk Quran dan Sunnah.

Berkata Hasan Al-Basri : “Ahli takwa itu bagi mereka ada beberapa tanda. Antaranya benar percakapan, menghubungkan silaturrahim dan baik budi pekerti.”

Ayuh berusaha menjadikan diri kita orang bertakwa.