Part  I : Bengkel Pemerkasaan Staf PPP Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan telah mengadakan satu bengkel kepada semua staf PPP dimana bengkel tersebut dinamakan Bengkel Pemerkasaan Staf PPP 2023. Bengkel telah diadakan di Tasik Kenyir selama 3 hari 2 malam bermula 27 November sehingga 29 November 2023. Satu organisasi jawatankuasa program telah ditubuhkan untuk merancang program kali ini yang diketuai oleh Encik Jais Jamil sebagai Pengarah Program.

Perjalanan ke Tasik Kenyir

Perjalanan ke Tasik Kenyir bermula sehari sebelum kerana perjalanan dari UTM Skudai ke Tasik Kenyir Mengambil masa sekitar 8 jam perjalanan. Bas mula bertolak dari UTM sekitar jam 9 malam 26 November.Pada pukul 9 malam, seramai 40 peserta dengan penuh semangat berkumpul di Tasik Ilmu UTM untuk memulakan perjalanan yang mengujakan. Sebelum perjalanan doa dibaca supaya perjalanan yang ditempuh selamat pergi dan balik.

Suasana pada permulaan perjalanan adalah penuh keghairahan. Peserta-peserta terdiri daripada staf FSSH UTM dengan pelbagai lapisan umur, latar belakang dan gred jawatan telah bersedia dengan perjalanan yang panjang. Beg dan pakaian yang selesa adalah keperluan utama, sementara semangat untuk menjalani pengalaman baru turut menghiasi wajah semua peserta.

Walaupun perjalanan mengambil masa 8 jam, suasana ceria dan semangat persaudaraan yang tinggi dipamerkan semua peserta bengkel kali ini. Peserta kelihatan agak keletihan mengharungi perjalanan yang agak panjang tapi masih bersemangat untuk ke destinasi yang dituju. Sebelum sampai ke Pengkalan Gawi iaitu Jeti untuk menuju ke tasik Kenyir kami sempat solat subuh di madrasah yang berhampiran.

Hari pertama: Pengembaraan bermula

Pagi itu, pengembaraan kami bermula dengan langkah yang penuh teruja dan bersemangat. Dua buah houseboat yang telah kami sewa sebelum hadir ke Tasik Kenyir telah bersedia untuk digunakan. Beberapa Crew Houseboat juga kelihatan sangat teruja untuk membawa kami menyelusuri keindahan Tasik Kenyir.

Sebaik sahaja kami menaiki houseboat, aura keriuhan dan kegembiraan menyelubungi kami. Keselesaan houseboat yang lengkap dengan kemudahan asas menyediakan tempat rehat yang amat baik. Setelah kami mengatasi kepenatan perjalanan, kami menikmati sarapan pagi yang disediakan oleh krew. Menu sarapan pagi yang lazat dan pemandangan indah Tasik Kenyir memberi gambaran awal yang sempurna untuk menempuhi perjalanan ke Gua Bewah.

Setelah sarapan, kami memulakan perjalanan ke destinasi pertama kami ke Gua Bewah Tasik Kenyir. Perjalanan di atas houseboat memberikan kami pengalaman yang unik, dengan perlahan menjejak air tasik yang tenang. Kesejukan angin pagi dan bunyi gemercik air menambah suasana damai sepanjang perjalanan. Sejauh mata memandang, hijau lebat hutan hujan tropika menyelubungi tasik, memberikan pemandangan yang memukau.

Perjalanan mengambil masa kira-kira 6 jam, tetapi tiada rasa bosan atau keletihan kerana pemandangan semulajadi yang mengasyikkan. Semua peserta yang terlibat menikmati kecantikan alam sekitar Tasik Kenyir. Dalam Perjalanan ke Gua Bewah kelihatan seekor anak gajah sedang mencari makanan dan anak gajah kelihatan seakan-akan menyambut kehadiran kami dengan senyuman.hahaha.

Permit memasuki Taman Negara

Ketika perjalanan houseboat kami berhenti sebentar untuk mendapatkan permit yang diperlukan bagi memasuki Taman Negara Kenyir.Proses mendapatkan permit berlangsung dengan lancar, dan kami diberi arahan serta panduan oleh petugas taman negara mengenai etika dan peraturan yang perlu dipatuhi semasa berada di dalam taman negara. Keazaman untuk memelihara keindahan alam semulajadi ini adalah penting untuk memastikan keseimbangan ekosistem terus terjaga.

Kami tiba di persekitaran Gua Bewah sekitar jam 4 petang, semangat setiap kumpulan semakin berkobar. Kami melangkah keluar dari houseboat dan mengambil gambar untuk kenangan.