Perkembangan teknologi yang semakin hari semakin maju menjadikan dunia semakin bersambung dan tiada sempadan. Kita merasakan hampir segenap pelosok dunia moden sekarang dikawal oleh komputer. Namun, dunia sebenarnya masih berada di peringkat permulaan dalam dunia digital bergerak. Para penyelidik meramalkan impak sebenar teknologi akan bermula selepas tahun 2030.
Kerajaan perlu bersiap sedia dengan menyiapkan benteng pertahanan negara dalam bidang keselamatan siber kerana serangan dan peperangan siber adalah ancaman yang perlu ditangani dengan serius termasuk melibatkan industri perbankan.
Kini, bilangan telefon mudah alih berdaftar di Malaysia sudah mencecah 145% daripada populasi penduduk di negara ini. Statistik menunjukkan 69% daripada jumlah populasi penduduk Malaysia menggunakan internet dengan 68% menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram, LinkedIn, Youtube dan Twitter dan keadaan ini mewujudkan komunikasi atas talian dan penularan informasi secara besar-besaran yang tidak pernah dialami dalam zaman sebelum ini.
Maklumat yang dikongsi adalah pelbagai iaitu bermula dari informasi yang berkisar mengenai kehidupan seharian sehinggalah perkembangan ilmu serta berita mutakhir yang berlaku di segenap pelosok dunia. Kemunculan teknologi perkomputeran awan atau cloud computing yang menjimatkan kos dan digunakan secara meluas untuk menyimpan salinan data ditambah dengan fenomena internet of things dan data raya (big data) menyumbang kepada ledakan maklumat tanpa sempadan.
Ledakan maklumat ini menyumbang kepada pelbagai risiko yang melibatkan privasi dan keselamatan. Malah keaslian dan ketepatan informasi di ruang maya ini juga boleh dipertikaikan. Sektor pembuatan dan perkilangan pula terpaksa mengoptimumkan penggunaan komputer bagi mengautomasikan kebanyakan proses dalam sektor itu untuk membolehkan pengeluaran produk secara besar-besaran dilakukan di samping merealisasikan pengurangan kos pengeluaran kekal kompetitif dalam bidang masing-masing. Sektor perbankan juga mengikut acuan yang sama dalam usaha menyediakan perkhidmatan yang cekap dan kompetitif.
Kediaman yang dilengkapi dengan sistem pintar dan kereta yang menggunakan sistem pengendalian atau operating system adalah antara fenomena baharu dunia masa kini. Malah, perkhidmatan awam seperti kereta api dan penjana kuasa elektrik juga dikawal dengan sistem berkomputer.
Kebergantungan terhadap komputer mengakibatkan kemunculan jenayah siber secara besar-besaran yang memanipulasikan data dan informasi bagi mencapai objektif mereka. Ini menyebabkan keselamatan siber menjadi sesuatu isu yang perlu diambil perhatian serius. Keselamatan negara juga berada dalam risiko yang amat tinggi sekiranya langkah-langkah menjaga keselamatan dari segala ancaman tidak diperkukuhkan. Ancaman dan serangan boleh datang pada bila-bila masa dari seseorang dengan hanya menggunakan komputer riba atau menggunakan telefon pintar.
Peperangan siber adalah peperangan alaf baharu. Serangan demi serangan akan menyebabkan gangguan besar sistem perbankan dan telekomunikasi, menyebabkan kerosakan kemudahan awam seperti sistem tenaga negara yang berpotensi melumpuhkan negara. Serangan siber boleh mengakibatkan kerugian berbilion ringgit dan lebih banyak serangan dijangka menyerang sektor-sektor perbankan, perkilangan dan sebagainya.
Antara serangan siber yang terkini adalah serangan perisian tebusan WannaCry yang menyerang sistem yang menggunakan sistem pengendalian Microsoft Windows dengan cara menyulitkan data dan kemudian meminta wang tebusan bagi pemilik data tersebut mendapatkan kembali data kepunyaan mereka.
Selain itu, kebebasan berkomunikasi dan menyalurkan pelbagai bentuk informasi dalam ruang internet dan media-media sosial juga berpotensi meningkatkan kebarangkalian berlakunya hasutan dan perbalahan yang boleh mencetuskan konflik dan menggugat kestabilan di dalam atau antara negara. Kebebasan menyuarakan pendapat di ruang internet mungkin adalah penanda aras kemodenan dan kebebasan bersuara namun ia juga adalah penyumbang risiko keselamatan yang menggunakan media itu sebagai kenderaan pemacunya. Kebertanggungjawapan dalam membincangkan isu-isu di alam maya sehingga mencetuskan ketidakseimbangan perlu ditangani dengan bijak.
Justeru kerajaan perlu bersiap sedia dengan mewujudkan benteng pertahanan negara dalam bidang keselamatan siber kerana serangan dan peperangan siber adalah ancaman yang perlu ditangani dengan serius. Undang-undang yang merangkumi pelbagai aspek perlu digubal secepat mungkin bagi membolehkan tindakan pantas dapat diambil untuk menghalang perlakuan jenayah siber oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Penubuhan Agensi Keselamatan Siber Negara (NCSA) yang diletakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri dengan mengguna pakai undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, Akta Fitnah 1957 dan Akta Hasutan 1948 adalah satu langkah yang bijak. NCSA akan menjadi agensi tunggal dalam mengkoordinasikan semua agensi yang menguruskan ancaman keselamatan siber dengan meletakkan semua pakar keselamatan siber di bawah satu agensi induk. Dengan adanya koordinasi sebegini, keselamatan siber negara akan dapat dipantau dengan lebih menyeluruh dan berkesan.
Selain itu, pekerja mahir dalam bidang keselamatan siber juga perlu terus dilatih. Latihan dan pendedahan perlu diadakan seawal mungkin, sejak pelajar berada di peringkat sekolah menengah bagi menerapkan nilai etika dan rasa tanggungjawab dalam segala tindak-tanduk di alam siber serta kepakaran yang diperlukan sejak usia remaja.
Malaysia juga perlu melatih modal insan yang mempunyai pengetahuan dalam bidang memantau keselamatan siber. Para pelajar juga perlu diberikan pendedahan dan diajar teknik-teknik yang selalu digunakan oleh penggodam untuk mengetahui kelemahan sesebuah sistem dan mencadangkan penambahbaikan yang perlu bagi mengelakkan sistem dikompromi anasir jahat.
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebagai universiti yang mempunyai niche dalam menyediakan graduan dalam bidang keselamatan pertahanan memainkan peranan aktif dalam menyediakan pelajar universiti supaya boleh menjadi tenaga kerja mahir dalam bidang keselamatan siber.
Bahkan pendedahan dan latihan awal kepada pelajar di peringkat sekolah menengah turut diadakan menerusi penganjuran Simposium Kebangsaan Sains dan Teknologi Pertahanan kepada pelajar-pelajar dari 25 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) terpilih pada April lalu. Modal insan yang diberikan pendedahan dan latihan ini diharapkan boleh menjadi pelapis kepada benteng pertahanan siber negara pada masa hadapan.
Sumber : DR. NOOR AFIZA MAT RAZALI Felo Penyelidik Pusat Keselamatan Siber dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).