Sukan

Sukan merupakan satu aktiviti riadah yang paling sesuai dilakukan oleh pelbagai lapisan masyarakat negara ini. Antara jenis sukan itu meliputi bola sepak, acara larian, badminton, hoki, dan bola tampar yang menjadi pilihan utama rakyat Malaysia tersebut. Media massa di negara ini juga sering menyiarkan siaran langsung sebarang acara sukan yang menarik perhatian masyarakat untuk ditonton itu. Sebenarnya, sukan ini membawa banyak faedah kepada individu, masyarakat, dan negara secara tersirat.

Impak positif penglibatan sukan kepada individu ini ialah diri mereka akan berasa puas dapat melakukan sesuatu aktiviti tersebut. Kepuasan ini tercapai kerana sebarang aktiviti sukan itu memerlukan tumpuan tenaga yang banyak lalu menjadikan individu tersebut menikmati suasana kehidupan yang bermakna selepas selesai melakukan sukan tertentu itu. Lama-kelamaan kepuasaan ini membawa keyakinan diri seseorang itu menjadi lebih tinggi sehingga mampu menyelesaikan pelbagai cabaran hidupnya dengan mudah. Ringkasnya, acara sukan membawa kehidupan manusia itu lebih bermatlamat dan fokus untuk meneruskan kehidupan harian mereka.

Selain itu, golongan yang sering bersukan boleh memperoleh kebaikan daripada aspek kesihatan diri mereka  pula. Sebarang aktiviti sukan pasti akan membawa seseorang itu berpeluh lalu banyak toksik badan akan dilepaskan dengan lancar. Apabila semua toksik badan dibuang secara baik sudah pasti sistem badan akan berjalan dengan tersusun sehingga menyukarkan sebarang penyakit berbahaya berlaku. Akibatnya, masyarakat di negara ini tidak akan menghabiskan wang mereka untuk kos rawatan di hospital itu kerana tidak mengalami penyakit kronik seperti diabetes, jantung, dan kerosakan buah pinggang.

Kajian juga membuktikan bahawa perpaduan masyarakat boleh dipupuk menerusi acara sukan yang diadakan tersebut. Konsep perpaduan ini dicapai kerana kejayaan atau kegagalan pasukan kebangsaan dalam sebarang acara sukan turut dirasai oleh masyarakat tanpa mengira keturunan itu. Situasi ini mendidik masyarakat erti menikmati sesuatu baik dalam bentuk positif atau negatif secara bersama-sama sehingga tercetusnya perpaduan antara kaum tersebut. Lantaran itu, semua cabaran negara akan lebih mudah diharungi kerana rakyat memiliki rasa kekitaan yang mendalam hasil daripada aktiviti sukan yang murni itu.

Tambahan pula, sebarang acara sukan yang diadakan atau dianjurkan oleh sesebuah negara itu bakal menjana pertumbuhan ekonomi negara juga. Usaha menganjurkan acara sukan bertaraf dunia seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia bola sepak memerlukan pembinaan stadium serta kemudahan awam lainnya terutamanya pengangkutan awam. Aktiviti sebegini memerlukan sejumlah modal yang besar untuk membawa semua projek ini berjalan lancar sehingga menjadikan perniagaan sampingan turut berkembang. Sesungguhnya, aktiviti sukan yang diadakan apabila dirancang dengan teliti boleh memajukan sektor ekonomi negara dengan begitu mudah.

Kesimpulannya, semua kebaikan sukan tadi memang boleh terserlah apabila sukan dimajukan dengan sebaik mungkin. Semua pihak terutama ibu bapa perlulah memberikan sokongan apabila anak mereka ingin terlibat dalam sesuatu acara sukan itu. Tanpa disedari sukan itu boleh menghasilkan pelbagai kebaikan yang berguna untuk individu, masyarakat, dan negara. Slogan majulah sukan untuk negara harus dipegang oleh setiap lapisan insan Malaysia jika kita mahu acara sukan ini terus mendat tempat dalam jiwa rakyat.