GUNUNG Bromo antara gunung berapi aktif di Indonesia, “Bromo” berasal dari perkataan “Brahma” iaitu Dewa agama Hindu. Keindahan pemandangannya sangat cantik.  Terletak di Jawa Timur, dikelilingi padang pasir seluas 5,300 hektar, menjadi lokasi wajib kunjung sekiranya anda melancong ke Surabaya.

Kami bermalam di sini sebelum menaiki jeep seawal jam 3 pagi di dalam cuaca sejuk, melihat keindahan pemandangan matahari naik, di tengah-tengah cuacanya yang sekitar 9 Celcius , pada jam 5.00 hingga 6.30 pagi  menyaksikan pemandangan begitu menakjubkan.

Padang pasir dikenali Pasir Berbisik Gunung Bromo menjadi lokasi filem yang dibintangi Dian Sastro Wardoyo

.  

KEINDAHAN matahari terbit di puncak Gunung Bromo mula menjadi bualan hangat dalam kalangan pengembara Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

Gunung yang terletak di Jawa Timur ini memiliki keindahan alam cukup unik. Jika tidak, masakan kumpulan muzik Bunkface mengabadikan keindahan Bromo dalam muzik video lagu mereka yang berjudul ‘Kembali’.

Dengan ketinggian 2,392 meter dari aras laut, Gunung Bromo yang berada dalam empat wilayah iaitu daerah Probolinggo, Pasuruan, Lumajang dan Malang ini cukup unik kerana statusnya sebagai gunung berapi aktif.

Untuk sampai ke Bromo, anda perlu mengambil penerbangan ke Surabaya, Indonesia. Dari sini, anda perlu teruskan perjalanan kira-kira dua jam lagi untuk sampai ke daerah yang menjadi akses ke Gunung Bromo ini.

Terdapat tiga laluan yang boleh dipilih iaitu Probolinggo, Pasuruan dan Malang. Jadi terpulang kepada anda untuk membuat pilihan. Laluan paling popular ialah menerusi Probolinggo kerana laluannya agak mudah berbanding yang lain.

Namun jika mahu menyaksikan pemandangan matahari terbit yang mengasyikkan, akses dari Pasuruan adalah yang terbaik.