Dalam dunia ni, sangat ramai orang yang pandai. Jalanlah ke mana-mana pun, dari pusat membeli-belah ke pasar malam atau ke lorong-lorong di tengah-tengah pekan atau bandar, akan ada orang yang lebih pandai daripada kita. Tapi tak semua yang pandai tu baik, ini pun kita selalu nampak dan selalunya orang macam ni manusia lain tak akan nampak dah betapa pandainya dia, yang nampak cumalah betapa buruknya perangai dia.
Untuk menjadi sebuah manusia yang holistik, pandai itu cuma satu daripada banyak perkara yang perlu dibentuk. Adab dan etika yang akan menentukan ke mana ‘pandai’ itu membawa kita, membentuk peribadi kita seperti yang dilihat orang ramai. Bagi seorang pendidik yang kerjanya melibatkan interaksi bersama pelajar, para penyelidik, rakan sekerja, majikan, kontraktor, tukang cuci, murid-murid di sekolah, ibu bapa pelajar, komuniti, dan industri adab dan etika sangatlah penting.
Adab dan etika lah yang menentukan gaya bahasa apa yang akan dilontarkan, raut wajah apa yang akan dipertontonkan, perangai apa yang akan ditonjolkan, dan penampilan apa yang akan dipersembahkan. Ia menjadi penentu kepada baik atau tidaknya hubungan kita sebagai ahli akademik dengan orang lain, khususnya pelajar dan rakan sekerja. Ia menjadi penentu kepada keharmonian kelas dan tempat kerja.
Sebagai seorang pendidik khusunya pensyarah, kita mempunyai tanggungjawab dalam membentuk pelajar. Merekalah modal insan yang akan meneraju masa hadapan negara, beberapa daripada mereka juga mungkin akan menjadi ‘someone’, memegang jawatan tertinggi yang boleh menentukan hala tuju masa hadapan orang lain, ataupun wakil rakyat yang dapat membela atau menyuarakan suara rakyat atau komuniti yang dipimpin. Tanggungjawab pensyarah bukanlah sekadar mengajar, malah menunjukkan juga adab dan etika yang baik sebagai contoh kepada mereka.
Pada waktu di mana teori-teori dan formula-formula sudah mula dilupakan, adab dan etika yang ditunjukkan, diperlihatkan, dan dipercontohkan sepanjang 4 tahun atau lebih itulah yang mereka akan bawa usainya mereka belajar di universiti. Contohnya, kalau pensyarah sendiri datang lambat ke kelas, pelajar akan fikir lambat tu tak apa. Apabila mereka kerja, perangai yang sama dibawa ke tempat kerja dengan alasan ‘biasalah janji Melayu, kata pukul 8 maksudnya 8 setengah’, memburukkan nama Melayu, membuang masa dan menyusahkan kerja orang lain.
Seorang pensyarah yang mempunyai adab dan etika yang baik akan mahukan adab dan etika yang baik buat pelajar mereka juga, mereka ni tak lokek mengambil berat dan memberi nasihat. Satu perkara yang penulis fikir agak serius ialah masalah meniru dikalangan pelajar, selalunya disebabkan oleh tekanan untuk menjaga gred atas faktor keluarga, rakan-rakan, atau biasiswa. Seorang pensyarah yang beradab dan beretika akan mendorong pelajarnya untuk tidak meniru kerana rasa hormatnya mereka kepada pensyarah yang mengajar. Kalau ada yang meniru, adabnya seorang pensyarah akan memastikan tegurannya itu mudah diterima untuk membawa perubahan dan bukannya benci daripada seorang pelajar.
Adab dan etika menentukan intonasi dan gaya bahasa yang digunakan apabila bersama orang lain. Selalunya, ia berbeza mengikut orang dan keadaan — dengan pelajar lain, dengan rakan sekerja lain, dengan orang tua lain. Dengan pelajar di dalam kelas lain, dengan pelajar di luar kelas juga lain, menjadikan seorang pensyarah lebih mudah didekati, dihormati, dan mesra pelajar di dalam dan luar waktu kelas. Samalah dengan hubungan bersama rakan sekerja, ketika bekerja lain, dan ketika berehat lain. Kebolehupayaan mengubah diri mengikut keadaan ini menjadi kayu ukur profesionalisme seorang pensyarah.
Penulis percaya, banyak cabaran dan dugaan sebagai seorang pensyarah. Dalam beberapa tahun ni kita pun dah diperdengarkan dengan beberapa isu berkaitan pemalsuan dokumen, gangguan seksual, dan tuntutan palsu. Terlalu banyak ruang salah laku seorang pensyarah, dia boleh menggagalkan seorang pelajar yang tak sepatutnya gagal, dia boleh bermain dengan harga pada cadangan geran, dia boleh meminta wang geran yang digajikan kepada pelajar untuk kegunaan sendiri menggunakan ugutan, dan dia juga boleh memberikan projek atau tender secara terus kepada ahli keluarga terdekat. Inilah yang terjadi apabila pandai tapi tak beradab dan beretika.
Selalunya, ia terjadi disebabkan oleh tekanan kewangan atau keluarga. Mungkin terlalu banyak hutang, atau ada ahli keluarga sendiri yang mengugut hendak putus hubungan kalau projek atau tender tak diberikan kepada mereka. Inilah dugaan yang menyukarkan, namun kalau tak dibendung akan menjadi sesuatu yang zalim, meragut sesuatu daripada orang lain yang sebenarnya lebih layak. Kalau dijadikan kebiasaan dan dibenarkan, akan ada orang lain yang ikut sama tapi tak akan dilaporkan sebab yang tahu pun pernah buat perkara yang sama, sampai satu masa menjadi penyakit yang sukar dibendung.
Dalam penyelidikan pula, akan ada ruang untuk memalsukan data yang belum cukup atau tak pernah dicari, atau melakukan plagiat dengan mengambil hasil kerja orang lain untuk dijadikan hasil kerja sendiri. Etika seorang pensyarah akan menentukan sama ada perkara tersebut boleh dilakukan atau tidak, tapi malangnya sentiasa ada berita tentang manuskrip-manuskrip yang ditarik balik daripada jurnal disebabkan isu tersebut. Pensyarah yang beretika akan menjauhkan diri daripada melakukan perkara tadi dan tidak menerbitkan manuskrip dalam jurnal predatori semata-mata untuk mengejar KPI.
Sebagai seorang pendidik dan pensyarah, penulis perlu menjaga hubungan dengan pelajar dan rakan sekerja. Penulis percaya, konflik antara “menjaga hati pelajar dan rakan sekerja” dan “menasihati salah laku pelajar dan rakan sekerja” akan berlaku. Penulis juga percaya, tak mustahil penulis sendiri akan diduga dengan masalah-masalah seperti kewangan dan penerbitan yang boleh mendorong kepada salah laku. Jadi, penulis beranggapan adalah penting untuk menjadi pensyarah yang sentiasa menambah baik adab dan etika untuk sebuah pegangan yang lebih kuat yang akan diperlukan suatu hari nanti.
Adalah penting untuk berasa cukup, sentiasa cuba untuk memberi balik kepada orang lain, dan menghormati orang lain. Penulis pernah dengar, kemiskinan itu boleh membawa kepada fasiq. Miskin itu bermacam jenis miskin, bukan sahaja miskin wang, malah boleh jadi miskin adab dan miskin etika juga. Miskin wang boleh jadikan orang mencuri, miskin adab boleh jadikan orang biadap, miskin etika pula boleh jadikan orang keliru baik dan buruk sesuatu.