Sejarah UTM

Sejarah pendidikan teknikal di Malaysia telah pun menjejak usia seratus tahun. Penubuhan institusi pengajian teknikal bermula pada tahun 1904 apabila Sekolah Teknik Treacher memulakan operasinya di Weld Road (kini Jalan Raja Chulan) untuk melatih pembantu teknik di Jabatan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Keretapi dan Jabatan Ukur. Pada ketika itu, pelatih mengikuti kelas secara separuh masa sambil mengikuti program latihan mengikut keperluan teknikal jabatan masing-masing.

Pada tahun 1941, terdapat cadangan daripada Jawatankuasa Penasihat Sekolah Teknik dan Jabatan Pendidikan untuk menaik taraf Sekolah Teknik kepada kolej atau maktab. Di samping itu juga, suatu cadangan dikemukakan agar kerajaan mencari tapak yang sesuai untuk pembinaan maktab tersebut. Cadangan tersebut telah diterima dan sebidang tanah seluas 47 ekar telah diperuntukkan di Jalan Gurney bagi menempatkan maktab teknik yang baru itu. Namun, perancangan dan pembinaan maktab itu tertangguh disebabkan Perang Dunia Kedua. Pembinaan institusi ini akhirnya selesai juga, dan pada tarikh 1hb Mac 1955, Maktab Teknik telah dirasmikan sepenuhnya oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray.

Sekolah Teknik Treacher di Weld Road, Kuala Lumpur pada tahun 1904.

Pada awal penubuhannya, Maktab Teknik menawarkan kursus kejuruteraan di peringkat diploma dalam bidang Kejuruteraan Awam, Mekanik, Elektrik dan Radio serta diploma dalam bidang Ukur, Seni Bina Bangunan dan Ukur Bahan. Kursus Kejuruteraan Automobil turut ditawarkan khusus kepada Pegawai Pengangkutan. Pengambilan pelajar pada sesi pengajian 1958/1959 berjumlah seramai 320 orang.

Seterusnya pada tahun 1960, Maktab Teknik membuka lembaran baru apabila mula menawarkan kursus kejuruteraan di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Para pelajar Maktab Teknik yang mengikuti kursus di peringkat ini berpeluang menduduki peperiksaan profesional yang dikendalikan oleh Institut Jurutera Awam dan Institut Mekanikal dari United Kingdom. Pelajar juga boleh mendaftar untuk menduduki peperiksaan di Royal Institute of Chartened Surveyors. Pelajar yang mendaftar untuk kursus profesional ini kebanyakkannya adalah kakitangan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo dan Brunei. Syarat kelayakan minimum bagi kursus-kursus di Maktab Teknik ketika itu adalah Gred I dan Gred II Sijil Persekolahan Cambridge atau Sijil Persekolahan Malaya dengan mendapat kredit dalam Bahasa Inggeris dan Matematik Asas. Keutamaan diberi kepada pelajar yang mendapat kredit dalam mata pelajaran Sains.

Maktab Teknik, 1946.

Pada sesi akademik 1965/1966, terdapat seramai 682 pelajar yang mengikuti pengajian sepenuh masa di Maktab Teknik. Pertambahan kemasukan pelajar adalah berkaitan langsung dengan perubahan dasar kerajaan yang menumpukan kepada aspek pembangunan ekonomi yang menekankan penggunaan teknologi. Selaras dengan perubahan ini, permintaan sumber manusia dalam bidang teknikal telah meningkat dengan mendadak. Maktab Teknik mula menjadi pilihan utama untuk melanjutkan pelajaran, lebih-lebih lagi dengan adanya pelbagai kemudahan pembelajaran yang moden dan lengkap. Pada tahun 1969, sebanyak 1300 permohonan kemasukan diterima tetapi hanya 280 tempat sahaja yang ditawarkan yang menjadikan jumlah enrolmen seramai 872 orang pelajar yang mengikuti pengajian sepenuh masa.

Pada awal tahun 1971, Kementerian Pelajaran telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji rancangan menjadikan Maktab Teknik sebagai sebuah institusi teknologi bertaraf universiti. Jawatankuasa tersebut telah memperakukan penubuhan sebuah universiti dalam bidang teknologi yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar. Pada 14 Mac 1972, DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong telah mengisytiharkan penubuhan Institusi Teknologi Kebangsaan (ITK) di bawah seksyen 6(1) Akta Universiti dan Kolej Universiti, 1971. ITK telah mewarisi semua prasarana pendidikan dan pentadbiran Maktab Teknik di kampus Jalan Gurney. Encik Ainuddin Abdul Wahid yang sebelum ini menjadi Pengetua Maktab Teknik telah dilantik sebagai Rektor ITK yang pertama. Selaras dengan perubahan statusnya, satu Majlis Sementara telah ditubuhkan untuk menggubal dasar-dasar utama pendidikan di ITK. Tiga jawatan utama juga diwujudkan, iaitu jawatan Pendaftar, Bendahari dan Ketua Pustakawan.

Institusi Teknik Kebangsaan di Jalan Gurney, Kuala Lumpur, 1972.

ITK mempunyai tiga buah fakulti yang utama, iaitu Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Seni Bina dan Fakulti Ukur dan Pusat Pengajian Sains dan Kemanusiaan. Setiap fakulti diketuai oleh Dekan, manakala Pusat Pengajian diketuai oleh pengerusi. Fakulti Kejuruteraan merupakan fakulti yang terbesar pada ketika itu dengan mempunyai tiga jabatan; Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Jentera dan Jabatan Kejuruteraan Elektrik. Pusat Pengajian Sains dan Kemanusiaan pula mewujudkan empat buat jabatan; Jabatan Fizik, Kimia, Hisab (Matematik) dan Bahagian Kemanusiaan yang kemudiannya berpisah secara rasmi menjadi Pusat Pengajian Kemanusiaan pada 1 julai 1973. Pada tahun akademik 1972/1973, ITK mempunyai 130 orang staf pentadbiran, 98 staf akademik (termasuk 37 orang pensyarah sambilan) dan sejumlah 1467 orang pelajar sepenuh masa.

ITK terus berkembang pesat pada tahun 1975. Tarikh 1 April 1975 merupakan tarikh keramat dalam sejarah institusi ini apabila namanya bertukar secara rasmi kepada UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (UTM). Sehubungan dengan itu, jawatan Rektor ITK juga telah dinaikkan taraf kepada Naib Canselor dan seorang Timbalan Naib Canselor telah dilantik yang bertanggungjawab kepada hal ehwal pelajar. Pada tahun 1976, kerajaan telah meluluskan Perlembagaan Universiti, Senat dan Majlis Universiti.

Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.

Sejajar dengan perubahan statusnya sebagai universiti, UTM mula memberi fokus kepada perkembangan akademik. Bermula pada sesi pengajian 1975/1976, Fakulti Kejuruteraan telah berpecah kepada tiga fakulti; Fakulti Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Jentera dan Kejuruteraan Elektrik. Ketiga-tiga fakulti kejuruteraan ini bersama-sama Fakulti Alam Bina, Fakulti Ukur, Pusat Pengajian Sains dan Pusat Pengajian Kemanusiaan menerajui sebahagian besar daripada program akademik yang terdapat di UTM sehingga hari ini. Dalam tahun 1976, jumlah pelajar UTM telah meningkat kepada 2593 orang; 1745 daripadanya mengikuti program diploma, manakala 607 mengikuti program ijazah dan 241 lagi program integrasi. Pada 3 Disember 1977, UTM telah menghasilkan 65 graduat sulungnya yang menerima ijazah daripada Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, Canselor UTM yang pertama.

UTM terus menambah bilangan pelajar fakulti di mana Pusat Pengajian Sains telah dikenali sebagai Fakulti Sains pada bulan Jun 1981; Jabatan Petroleum dan Gas Asli yang asalnya bernaung di bawah Fakulti Kejuruteraan Jentera telah dinaik taraf menjadi Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli pada Mac 1983. Institusi Komputer Sains yang bermula di Fakulti Sains secara rasmi dinaik taraf menjadi fakulti pada tahun 1984. Penubuhan fakulti-fakulti baru juga membawa kepada pertambahan program-program akademik, pelajar, staf dan keperluan prasarana pembelajaran. Pertumbuhan pesat Universiti ini menjadikan kampus Jalan Gurney tidak dapat menampung keperluan ruang dan kemudahan-kemudahan lain. Dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ismail, Sultan Johor, Universiti telah membina kampus baru di Skudai yang meliputi kawasan seluas 2400 ekar. Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada tahun 1978.

Kampus baru yang bernilai lebih satu billion ringgit Malaysia telah di rasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail juga selaku Canselor UTM yang kedua pada 16 September 1985. Pusat Pengajian Kemanusiaan ditukar menjadi Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia pada Januari 1991. Manakala, Jabatan Pengajian Islam dinaik taraf sebagai Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial dan Fakulti Pendidikan pula ditubuhkan pada Januari 1994. Sejajar dengan perkembangan dunia akademik, fakulti-fakulti telah menambahkan program-program akademik peringkat pasca siswazah di samping penubuhan pusat-pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembelajaran.

Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor, Malaysia.

Ternyata sejarah pendidikan yang diwarisi oleh UTM hari ini telah pun menjangkau seabad usia. Seratus tahun yang berlalu telah ditempuhi dengan pelbagai masalah, liku dan ranjau, terutamanya pada peringkat awal penubuhan. Namun, iltizam yang kuat tidak mematahkan semangat juang UTM. Kesungguhan barisan pemimpinnya telah memungkinkan UTM berkembang pesat dan terus matang sebagai sebuah universiti yang memiliki reputasi yang baik dan tersohor di rantau ini. Kesungguhan dan dedikasi stafnya telah menempatkan nama UTM di persada dunia khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Nama penyelidik dan pelajar UTM sentiasa mencatat rekod kejayaan dan sekali gus mengharumkan nama negara. Setelah seabad lamanya, UTM akan terus sinonim dengan kemajuan dan pembangunan sains dan teknologi di Malaysia.