Dr Ezairy M.Sallih

“Doktor, tolong saya… doktor. Kepala saya pening sangat. Sampai rasa seluruh bilik saya berpusing. Dari semalam tak boleh bangun, ini pun anak yang tolong bawa ke sini…”

Pernahkah anda mengalami simptom pening sehingga merasakan persekitaran anda berpusing-pusing?

Vertigo adalah suatu keadaan di mana diri sendiri, persekitaran, atau kedua-duanya bergerak atau berpusing, biasanya disertai dengan loya dan hilang keseimbangan.

Apakah punca-punca vertigo? Mengapa ia boleh berlaku?

Vertigo boleh berlaku disebabkan punca periferal atau central atau kedua-duanya sekali.

Vertigo disebabkan oleh masalah periferal ialah akibat daripada gangguan telinga dalam atau sistem vestibular.

Manakala vertigo yang disebabkan oleh masalah central ialah akibat daripada kecederaan atau apa apa masalah pada brainstem, cerebellum atau mana-mana bahagian otak.

Apakah simptom-simptom utama bagi pesakit vertigo?

1. Rasa berpusing
2. Pening kepala
3. Loya dan muntah
4. Ketidakseimbangan tubuh
5. Penglihatan kabur

Walaubagaimanapun, Ramai yang tidak sedar bahawa rawatan fisioterapi sebenarnya boleh membantu ramai pesakit vertigo untuk sekurang-kurangnya menjalani kehidupan normal.

Apa tujuan fisioterapi dilakukan kepada pesakit yang mengalami vertigo? Tujuan rawatan fisioterapi adalah untuk:

1. Mengurangkan pening yang disebabkan pergerakan kepala.

2. Meningkatkan kestabilan pandangan pesakit.

3. Membantu meningkatkan keseimbangan pesakit untuk berjalan

4. Mengurangkan risiko untuk pesakit jatuh ketika melakukan aktiviti harian

5. Meningkatkan tahap aktiviti umum pesakit.

Sekiranya anda mempunyai simptom yang saya sebutkan tadi, boleh dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Setelah kami melakukan pemeriksaan, doktor akan merujuk pesakit untuk rawatan fisioterapi disamping bantuan ubat-ubatan untuk melegakan simptom.

Dr Ezairy M.Sallih