Petikan dari FB Ahmad Saifuddin Yusuf (20 Sept 2019)

Kesepian Diri yang Sangat Sunyi
 
Seorang sahabat mengadu bahawa dirinya rasa sunyi, berkahwin atau tidak tetap terasa sunyi. Katanya, apabila usia semakin meningkat, kawan-kawan pun semakin menjauh memandangkan masing-masing ada komitmen kepada keluarga. Beliau kata terasa sangat sunyi. Betul-betul sunyi.
 
Saya hanya dengar sahaja. Dalam hati sangat memahami. Sangat memahami. Apabila kita kehilangan atau semakin jauh hubungan dengan orang yang kita sayang sejak kecil. Kita akan terasa sangat sunyi. Hati kita terasa sangat sunyi.
 
Walaupun kita ada anak-anak yang banyak bercakap setiap hari, ia tidak sama. Memandang kesunyian diri hanya boleh diubati apabila kita dapat bersama orang yang pernah bersama kita sejak kecil.
 
Walaupun pasangan sendiri sekali pun. Jika pasangan tidak memainkan peranan, hidupnya akan terasa seperti sahabat saya itu.
 
Teringat sewaktu saya mula di sekolah menengah. Waktu itu sudah akil baligh. Waktu itu sudah boleh naik bas seorang diri ke mana-mana dalam radius 50km. Saya tinggal bersama ayah yang sudah tua. Waktu itu ayahanda sudah lewat 60an. Adik beradik lain bekerja dan belajar jauh dari rumah. Ibu sudah pergi sewaktu usia 5 tahun.
 
Setiap hari, hanya menguruskan rumah, memasak, basuh pinggan, kemas apa yang patut. Mengemas cara remaja lelaki. Sunyi atau tidak? Ya, sangat sunyi. Hanya berbual dengan ayahanda yang sudah lanjut usia. Dalam hati, tidak mahu membebankan ayahanda dengan masalah kita yang remaja ini. Biarlah ayahanda berfikir apa sesuai untuk usianya ketika itu.
 
Mengapa saya ceritakan kisah ini? Realiti kesunyian itu begitulah, apabila kematian ibu sedari kecil. Kita akan kehilangan sesuatu dalam hati yang paling dalam.
 
Waktu itu, kesukaan saya pergi ke masjid. Selain solat, rumah kawan sekampung di sebelah masjid sahaja. Tempat melepak selepas solat.
 
Walaupun berbeza sekolah, suka melihat gelagat kawan-kawan. Masa lapang pergi ke sungai, main badminton, main bola dan macam-macam. Bulan Ramadan lagi meriah main mercun.
 
Namun jauh di sudut hati yang dalam, hati sangat sunyi. Tidak ada sesiapa untuk kita berkongsi rasa hati. Hanya Allah tempat kita mengadu. Ada kalanya, di tepi jalan menunggu bas, saya akan ‘bercakap-cakap’ dengan Allah. Sesi bercakap begini berlaku di mana-mana apabila bersendirian.
 
Mengadu kelemahan diri. Mengadu kekurangan hidup. Melalui cara itu, kita akan rasa Allah hidup bersama kita.
 
Bagaimanalah hidup Nabi Muhammad Sollahu ‘Alayhi wa Sallam sewaktu remaja ketika itu. Tinggal bersama bapa saudara, sepupu sepapat penuh di rumah.
 
Saya kongsikan kepada sahabat apa saya buat waktu dulu. Cari hobi, cari kawan, lihat gelagat manusia. Rasai ‘kehadiran’ Allah dalam hidup kita.
 
Menangis di hadapan Allah pada waktu malam. Kita akan tersenyum di siang hari melihat gelagat manusia. Berdamailah dengan diri dan terima taqdir Ilahi.
 
Jika kesunyian itu membawa kita dekat dengan Allah, maka pilihlah kesunyian, di situ ada bahagia.
 
Saifuddin Yusof
Sepi itu indah, sunyi itu bahagia.