Saban tahun saya berjanji kepada diri sendiri dengan berdoa kepada Allah yang maha Mendengar :
 
Ya Allah..Berikanlah daku serta zuriat keturunanku kekuatan untuk terus bangun malam – tunduk sujud dan berdoa memohon keampunanMu.
 
Jadikan kami hambaMu yang bersembahyang dan bersyukur dengan segala nikmat kurniaanMu sepanjang hidup kami.
 
Berikanlah daku serta zuriat keturunanku kekuatan untuk membaca quran serta memahami terjemahannya.
 
Tambahkan hafalan surah-surah kalam suciMu dari tahun ke tahun. Ingatkanlah apa yang telah kami lupa dan kekalkanlah apa yang telah kami hafal. Jadikan ayat-ayat kalam suciMu di dadaku serta zuriat keturunanKu.
 
Wahai Tuhanku..Berikanlah daku serta zuriat keturunanku kekuatan untuk melakukan amalan-amalan sunat serta amal kebaikan soleh yang diredhaiMu.
 
Basahkan lidah kami dengan zikirMu – sepanjang siang dan malam. Sibukkan hati kami untuk mengingatiMu – ketika duduk, berdiri, berjalan dan berbaring.
 
Ya Rabb..Takdirkan diriku serta zuriat keturunanku untuk mendapat husnul khatimah ketika dipanggil menghadapMu. Takdirkan kami dapat bangkit bersama RasulMu.
 
Lepaskan kami dari azab kuburMu. Terangkan dan lapangkan kubur kami. Bangkitkan kami dengan wajah tenang, riang gembira untuk ke padang MahsyarMu.
 
Berikanlah kami perlindungan di bawah ArasyMu yang Agung di hari manusia tunduk gerun gentar menghadap mahkamahMu.
 
Ya Rahman..Percepatkan hari pengadilan dan berikanlah buku amal kami di tangan kanan.
 
Takdirkan kami termasuk dari kalangan hambaMu yang mendapat syafaat Rasulullah SAW dengan RahmatMu.
 
Tetapkan kaki kami tika meniti titian sirratulmustaqim. Masukkanlah kami ke syurga Firdaus dengan RahmatMu. Temukanlah dengan mereka yang kami sayangi di syurgaMu.
 
Semuga amalan soleh kami pada hari ini lebih baik dari semalam. Esok, dengan izinMu, lebih baik dari hari ini.
 
Wahai Tuhan yang menciptakan kami serta seluruh alam ini, serta menjadikan alam akhirat kekal abadi.
 
Sesungguhnya Allah al- Khaliq maha berkuasa di atas segalanya.. Perkenankanlah!
 
Kredit: Roza Roslan