Rata-rata rakyat di seluruh negara ternanti-nanti hari bersejarah itu yang akan menyaksikan Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menaiki takhta negara. – Gambar fail/BERNAMA

 

KUALA LUMPUR: Hari ini, Malaysia sekali lagi akan menjadi tumpuan rakyat dan masyarakat luar negara apabila berlangsungnya Istiadat Pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Istiadat yang akan berlangsung di Istana Negara itu secara rasminya menandakan permulaan pemerintahan Sultan Abdullah sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menjelang upacara penting itu, pelbagai persiapan diatur teliti bagi memastikan istiadat yang bakal menyingkap kebesaran raja-raja Melayu itu berlangsung sempurna.

Rata-rata rakyat di seluruh negara ternanti-nanti hari bersejarah itu yang akan menyaksikan Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menaiki takhta negara.

Tinjauan Bernama di sekitar ibu negara hari ini mendapati sekitar laluan menuju ke pintu-pintu masuk Istana Negara telah dihiasi dengan poster dan kain rentang yang memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bagi menguar-uarkan kepada rakyat mengenai istiadat itu.

Antara kawasan berkenaan ialah di Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Cangkat Semantan dan Jalan Sri Hartamas.