Adab

Kamarul Azmi Jasmi 09/16/15

Perkataan adab daripada kalimah bahasa Arab, iaitu Ta’dib. Kalimah ini pula berasal daripada dua kata akar, iaitu (أَدُبَ يَأْدُبُ أَدَبًا)  yang bererti santun, beradab, dan sopan. Sedangkan kata akar yang lain pula ialah (أَدَبَ يَأْدِبُ أُدْبًا)  atau(آدَبَ يُؤَادِبُ إِيْدَابًا)  kedua-dua perkataan ini bermaksud memperbuat jamuan (makanan) (Ibn Manzur, 1997; Al-Marbawi, 1935; Duzi, 2000; ‘Umar, 2008; Abu Habib, 1993). Kedua-dua kata akar ini membentuk perkataan (أَدَّبَ يُؤَدِّبُ تَأْدِيْبًا)  yang bermakna mengajar beradab, melatih, dan menyiksa. Perkaitan antara perkataan ta’dib diambil daripada perkataan kata akar yang bermaksud memperbuat jamuan makanan dilihat sangat jauh perkaitan. Namun jika diamati secara mendalam sebenarnya kedua-dua perkataan tetap menjurus kepada budi pekerti yang baik dan sopan. Hal ini kerana jamuan kenduri makan atau seumpamanya mempunyai peraturan dan protokol yang dihayati oleh manusia. Oleh itu, bertepatan makna adab pada asalnya sebagai mengajak kepada pembentukan adab dalam kalangan manusia (Jasmi, 2010).

Pada istilah pula menurut Ibn Al-‘Imad (1987) ialah sekumpulan adab, iaitu himpunan akhlak yang baik dan kebiasaan yang baik. Manakala bagi ‘Umar (2008), beliau mendefinsikan adab dengan lebih luas skopnya, iaitu sejumlah pengetahuan kemanusiaan yang dikhususkan untuk pembentukan perkembangan kebiasaan diri diri dan kebiasaan sifat yang lahir dan terbit secara rapat dengan sejarah, budaya setempat, ilmu bahasa dan falsafah, serta lain-lain ilmu yang berkaitan dengan kemasyarakatan. Paradigma Imam Al-Nawawi (2007) tentang makna adab ini mempunyai maksud yang lebih kurang sama dengan ahli bahasa dan istilah seperti yang dibincangkan. Beliau membahagikan jenis adab dari segi maksud kepada dua, iaitu sifat orang beradab dan tatacara kehidupan orang beradab.

 

Rujukan

‘Umar, Ahmad Mukhtar. 2008. Mu‘jam al-Lughah al-‘Arabiyyah al-Mu‘asirah. Beirut: ‘Alim al-Kutub.

Abu Habib, Sa‘diyy. 1993. Al-Qamus al-Fiqhiyy Lughatan wa Istilahan. Damsyiq, Surriyyah: Dar al-Fikr.

Al-Marbawi, Idris. 1935. Qamus al-Marbawi. Jld. 1-2. Mesr: Mustafa al-Babi al-Halabi wa Auladuhu.

Al-Nawawi, Mahyuddin. 2007. Riyad al-Salihin. Mahir Yasin Al-Fahl (Ed.). Beirut: Dar al-Fikr al-Mu‘asir.

Duzi, Renold Betrand. 2000. Takmilah al-Ma‘ajim al-‘Arabiyyah. Muhammad Salim al-Nu‘aymiyy & Jamal Al-Khiat (Ed.). Al-Jumhuriyyah al-‘Iraqiyyah: Wazarat al-Thaqafah wa al-I‘lam.

Ibn Al-‘Imad, Ahmad. 1987. Adab al-Akl. ‘Abd Al-Ghaffar Sulayman Al-Bandariyy & Abu Hajar Muhammad Al-Sa‘id bin Bisiyuni Zaglul (Ed.). Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

Ibn Manzur, Jamaluddin. 1997. Lisan al-‘Arab. Beirut: Dar al-Fikr.

Jasmi, Kamarul Azmi. 2010. Guru Cemerlang Pendidikan Islam Sekolah Menengah di Malaysia: Satu Kajian Kes. (PhD), Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

This entry was posted in A. Bookmark the permalink.