Select Page

JOHOR BAHRU: Pusat Pendermaan Darah Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini merayu ihsan orang ramai untuk tampil menderma darah bagi menampung bekalan yang semakin berkurangan di hospital berkenaan sejak pandemik COVID-19 melanda negara ini.

Mengikut kenyataan di laman Facebook Jadual kempen Derma Darah Johor Bahru yang dikelolakan HSA, stok bekalan darah di situ semakin menyusut sejak awal bulan ini disebabkan permintaan penggunaan darah yang tinggi pada bulan ini.

“Penyusutan itu juga disebabkan peningkatan kes COVID-19 di negeri ini yang menyebabkan beberapa kempen derma darah berskala besar ditangguh atau dibatalkan.

“Situasi itu menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan stok bekalan darah pada kadar selamat dan optimum,” katanya.

Menurut kenyataan itu, stok bagi darah A, B dan AB berada pada paras selamat tetapi sukar untuk menentukan adakah ia akan terus pada paras selamat untuk hari seterusnya sementara bekalan darah O adalah yang paling sedikit.

Justeru, orang ramai dirayu tampil menderma darah ke Pusat Pendermaan Darah HSA bagi meningkatkan kembali stok darah ke paras selamat dan optimum.

Sumber berita : Berita Harian – HSA rayu orang ramai derma darah