PENTADBIRAN AGAMA ISLAM DAN PERUNDANGAN ISLAM
NEGERI JOHOR
PENGENALAN
Pentadbiran agama Islam negeri Johor telah ditubuhkan secara sistematiknya seiring dengan pewartaan Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895 melalui penubuhan Jabatan Agama dan Pelajaran Johor. Penubuhannya juga selaras dengan penubuhan jabatan-jabatan lain untuk membentuk pentadbiran negeri berteraskan pentadbiran yang maju dan sistematik.[1] Penubuhan Jabatan Agama dan Pelajaran Johor ini adalah selaras dengan peruntukan dalam fasal 28 yang menyebutkan bahawa “Adalah menteri-menteri itu iaitu dijadikan daripada pegawai-pegawai besar kerajaan dan adalah termaklum hak baginya terjumlah menjadi ahli-ahli mesyuarat kerajaan maka tiap-tiap pegawai yang termaklum ada kedudukannya menjadi menteri itu hendak ada titah perintah raja menyebut dan menerangkan yang demikian itu supaya mengesahkan hak-haknya dan pangkatnya.”[2]
Oleh yang demikian, penubuhan Jabatan Agama Johor dan Pelajaran telah dilaksanakan dengan melantik Ungku Mohamad Khalid sebagai Yang Dipertua Jabatan Agama dan Pelajaran[3], dan beliau telah dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri. Jawatan Setiausaha Jabatan Agama dan Pelajaran Johor diberikan tanggungjawab kepada Mohamad Khalid bin Haji Abdullah Munsyi.[4] Namun, pada tahun 1906, bahagian Agama telah dipisahkan dari bahagian pelajaran dan Jabatan Agama Johor telah berdiri sendiri dengan membentuk organisasi yang semakin jelas dari semasa ke semasa.[5]
PENTADBIRAN AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR
Pentadbiran agama Islam negeri Johor mendapat dokongan padu tiga bahagian pentadbiran iaitu Jabatan Agama, Pejabat Mufti Negeri dan Pejabat Kadi Besar. Oleh itu, dalam perbincangan ini pengkaji mengetengahkan peranan tiga bahagian pentadbiran ini secara umum dalam segenap ruang lingkup pentadbiran Islam serta turut menjelaskan peranan khusus yang melibatkan isu murtad yang menjadi dasar perbincangan kajian ini.
Pentadbiran Jabatan Agama
Institusi ini dikenali sebagai Jabatan Agama Johor sehingga tahun 1960. Setelah itu, mulai bulan Julai 1960, institusi ini dikenali sebagai Jabatan Agama Islam Negeri Johor.[6] Hakikatnya, pentadbiran yang sistematik dapat dilihat melalui struktur pentadbiran jabatan yang dipimpin Yang Dipertua Jabatan Agama dan Setiausaha Jabatan Agama yang bertanggungjawab terhadap semua hal ehwal pentadbiran dengan Pejabat Mufti dan Pejabat Kadi Besar.[7] Yang Dipertua Jabatan Agama memikul tanggugjawab yang berat kerana perlu mengambil tahu tentang semua perkara yang bersangkutan dan agama Islam negeri. Segala bentuk permasalahan seharusnya dirujukkan kepada Yang Dipertua Jabatan Agama untuk difikirkan dan diambil keputusan sama ada untuk disalurkan pada bahagian-bahagian yang berkenaan atau untuk segera diselesaikan sendiri oleh Yang Dipertua Jabatan Agama. Hakikatnya, Yang Dipertua Jabatan Agama ini merupakan individu yang paling penting dalam pentadbiran agama Islam negeri Johor kerana menduduki kedudukan ke 11 dalam susunan bagi Orang-orang Ternama Negeri Johor.[8]
Peranan pentadbiran Jabatan Agama umumnya adalah mengeluarkan pekeliling, pemberitahuan, peringatan dan pengisytiharan tentang perkara-perkara seperti bidang tugas para pegawai agar menjalankan tugas dengan cekap, zakat, seruan untuk berderma, tegahan pegawai dari berhutang, ketetapan bulan-bulan Islam dan sambutan-sambutan penting dalam Islam, kewajipan solat Jumaat, tanggungjawab menjaga waktu bekerja pejabat, peperiksaan pegawai dan skim gaji dan larangan menyebarkan risalah agama tanpa kebenaran.[9] Pekeliling juga menjadi medium yang penting bagi Yang Dipertua Jabatan Agama dan Pegawai Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama Johor bagi menyampaikan perkara-perkara serta arahan-arahan penting kepada guru-guru dan para pelajar sekolah agama agar sentiasa berada pada landasan yang betul dalam usaha menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Manakala, secara khususnya, pentadbiran ini turut memberi tumpuan kepada usaha untuk mengeluarkan pekeliling, pemberitahuan, peringatan dan pengisytiharan terhadap hal-hal yang berkaitan dengan kesalahan orang-orang Islam, ketetapan bayaran mahkamah, peringatan terhadap isu penyebaran fahaman atau ajaran songsang serta pemberitahuan dan pengisytiharan orang-orang murtad.[10]
Pentadbiran pengurusan hal ehwal haji juga sentiasa mendapat perhatian daripada pihak Jabatan Agama Johor berikutan tuntutan mengerjakan haji merupakan rukun Islam yang sememangnya wajib diurus dengan baik dan sempurna bagi memberi peluang masyarakat Islam menunaikan kewajipan ini. Rekod-rekod awal menemui bahawa kerajaan Johor mempunyai peruntukan kewangan untuk membantu jemaah haji yang terdiri daripada rakyat, pegawai dan kakitangan kerajaan untuk mendapatkan tambang mahupun bantuan kewangan serta kemudahan cuti untuk menunaikan haji. Perkara ini dapat dibuktikan dengan Pekeliling Kerajaan Johor yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Johor bertarikh 18 Disember 1948, yang menyatakan bahawa permohonan bagi tambang pergi dan balik bagi mengerjakan haji bagi tahun 1949 telah dibuka permohonannya kepada umum. Bagi pegawai dan kakitangan Jabatan Agama, mereka boleh membuat permohonan kepada kerajaan melalui Yang Dipertua Jabatan Agama Johor.[11] Hal ini memperlihatkan kerajaan negeri Johor serta pihak Jabatan Agama begitu menyokong serta mengambil berat tentang kebajikan para pegawai yang ingin menunaikan fardhu haji. Seterusnya, pada tahun 1950an dan 1960an, pentadbiran haji semakin mantap melalui penemuan rekod-rekod yang memperlihatkan Jabatan Agama Johor bersama dengan kerajaan negeri Johor serta kerajaan pusat menggembleng tenaga dan idea bagi memantapkan pengurusan haji.[12]
Pentadbiran tanah kubur merupakan organisasi umum yang penting dalam Jabatan Agama kerana isu tanah merupakan isu yang sering menjadi persoalan. Tanah merupakan elemen yang menjadi rebutan dan kesukaan manusia kerana ia melambangkan status dan kekayaan. Namun, tanah kubur merupakan tuntutan yang mustahak kerana pengurusan untuk menempatkan jenazah adalah tanggungjawab manusia yang masih bernyawa. Justeru, pihak penguasa agama negeri Johor memberi penekanan terhadap isu ini agar tanah perkuburan masyarakat Islam di tanah air sendiri mendapat perhatian dan dipelihara kebajikannya. Rekod yang ditemui menunjukkan Jabatan Agama Johor begitu mengambil berat tentang tanah perkuburan, contohnya ialah penyelesaian bagi isu tanah perkuburan Islam di daerah Segamat iaitu perkuburan lama yang hendak dibangunkan kuarters polis. Pihak Kadi Segamat telah melaporkan kepada Kadi Besar Johor bahawa Penolong Penasihat Inggeris Daerah Segamat meminta supaya kubur-kubur lama tersebut dipindahkan. Pihak Kadi Besar memaklumkan bahawa sekiranya tanah perkuburan itu dilingkungi pagar bermakna kawasan kubur tersebut di bawah jagaan penguasa agama dan tidak boleh dibongkar atau dipindahkan sewenang-wenangnya.[13] Hal ini memperlihatkan bahawa Jabatan Agama Johor begitu mengambil berat soal pemilikan dan pemeliharaan tanah perkuburan bagi memastikan kebajikan masyarakat Islam terpelihara dan terjamin.
Pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Pemeriksa Agama adalah organisasi khusus yang sangat penting kerana ia berkait dengan pengawalan terhadap tingkahlaku masyarakat Islam yang melakukan pelbagai pelanggaran terhadap undang-undang Islam serta pengawalan terhadap penyebaran dakyah-dakyah merbahaya yang boleh mempengaruhi akidah dan kelakuan masyarakat Islam. Pada tahun 1924, pihak Jabatan Agama Johor mengusulkan untuk mewujudkan jawatan Pemeriksa Pengetahuan Agama Kerajaan. Pegawai ini berperanan membantu pihak Jabatan Agama menjalankan sebarang pemeriksaan dan siasatan berhubung sebarang kes salahlaku dan penyelewengan terhadap syariat Islam. Sebelum ini, imam-imam masjid bertanggungjawab untuk melakukan penyiasatan dan pemeriksaan terhadap kes-kes sebegini. Namun, akibat kekangan tugas-tugas imam yang sudah sedia berat di masjid serta pengawasan terhadap kawasan dan kampung masing-masing, maka pelaksanaannya kelihatan kurang berkesan.[14]
Hakikatnya, kelihatan bahawa jawatan Pegawai Pemeriksa Kerajaan ini merupakan jawatan yang berada pada kelas yang terbaik apabila terdapat rekod yang memperlihatkan individu dari jawatan Pegawai Pemeriksa Hal-hal Agama boleh dinaikkan pangkat menjadi Kadi Daerah.[15] Malah, terdapat individu yang memohon untuk menjadi Pegawai Pemeriksa Kerajaan pada tahun 1934 melalui Kadi Besar Johor dengan menulis surat kepada Yang Dipertua Jabatan Agama. Kadi Besar mengenalpasti individu yang bernama Sayid Ahmad Husin Dahlan dari Singapura. Namun, permohonannya tidak dapat diterima kerana Jabatan Agama Johor mendahulukan permohonan dari kalangan anak tempatan.[16] Jawatan Pegawai Pemeriksa Pengetahuan Agama Kerajaan ini telah ditukar kepada Pegawai Pemeriksa Hal-hal Agama pada tahun 1934 yang berkuatkuasa pada 1 November 1934.[17] Pada tahun 1935 telah ditemui laporan Pegawai Pemeriksa Hal-hal Agama yang memperlihatkan wujud seorang pegawai bernama Sayid Idrus bin Abdullah al-Khubsi yang membuktikan bahawa jawatan ini telah menjadi jawatan kerajaan yang penting dalam pembangunan Islam di negeri ini.[18] Seterusnya, pada tahun 1937, Kadi Besar Johor telah mengesyorkan agar diwujudkan peraturan kerja bagi Pegawai Pemeriksa Hal-hal Agama agar dapat melaksanakan pemeriksaan dan penyiasatan ke atas guru-guru agama yang diberikan kebenaran untuk mengajar. Jawatan ini seharusnya dihubung terus dengan Kadi Daerah masing-masing agar kerjanya sentiasa dipantau dan melaksanakan kerja sebaiknya. Justeru, Kadi Besar Johor mencadangkan agar Jabatan Agama Johor mengadakan panduan kerja yang teratur bagi melancarkan kerja Pegawai Pemeriksa Hal-hal Agama.[19]
Berdasarkan cadangan ini maka telah ditemui rekod yang memperlihatkan Panduan Kerja bagi Pegawai Pemeriksa Hal-hal Agama Johor yang boleh diteliti dan difahami. Terdapat penjelasan mengenai tanggungjawab pegawai ini iaitu untuk memeriksa semua perkara yang berkaitan dengan agama Islam sama ada di bandar mahupun di kampung, memeriksa dan menyiasat orang-orang Islam yang menyalahi syariat agama Islam serta menasihati orang-orang yang melakukan maksiat.[20] Hakikatnya, jawatan ini juga boleh ditukarkan dari satu daerah ke satu daerah yang lain mengikut kesesuaian serta keperluan bagi membantu memperkukuhkan pemeriksaan dan penyiasatan dari semasa ke semasa.[21] Pada tahun 1961, pangkat Pegawai Pemeriksa Hal-hal Agama Peringkat Khas diwujudkan bagi memenuhi tuntutan perundangan yang semakin mencabar apabila Undang-undang Mahkamah Syariah telah diluluskan. Justeru, pegawai ini boleh melaksanakan tanggungjawab menjalankan pendakwaan di bawah undang-undang Mahkamah Syariah serta menjadi ketua bagi Pegawai Pemeriksa Hal-hal Agama di bawah seliaannya.[22]
Pentadbiran Undang-undang Kawalan Kelakuan Masyarakat Islam ini secara khususnya sangat berkait rapat dengan percubaan murtad. Negeri Johor mempunyai sejarah yang cukup panjang dan berkembang dari satu tahap ke satu tahap apabila adanya golongan pentadbir agama Islam negeri yang begitu rajin, tekun dan bersungguh-sungguh untuk sentiasa berusaha bagi mempertingkatkan kualiti pentadbiran perundangan Islam negeri. Hakikatnya, setiap bahagian pentadbiran Jabatan Agama Johor ditadbir melalui undang-undang dan peraturan yang tersendiri bagi mengawal selia setiap isu dan memastikan pentadbiran berjalan lancar. Oleh itu, pengawalan terhadap undang-undang Islam yang berkaitan dengan akhlak dan kelakuan masyarakat Islam merupakan elemen yang penting untuk dikawal agar masyarakat Islam tidak melakukan aktiviti yang melanggar syariat Islam dan jika berbuat salah, hukuman yang sewajarnya akan dikenakan.
Pentadbiran perundangan masyarakat ini dimulakan dengan mewujudkan Undang-undang Kesalahan Orang-orang Islam Bilangan (25) Tahun 1919 dan kemudiannya mengalami pindaan pada tahun 1939 dan 1942. Perundangan ini berkisar tentang perkara-perkara penting yang berkaitan dengan kelakuan masyarakat Islam iaitu pengajaran agama Islam tanpa kebenaran, pengajaran ajaran sesat, mencetak dan menyebarkan risalah palsu dan bertentangan dengan ajaran Islam, mentaati pemberitahuan Jabatan Agama, muallaf, kelakuan biadap terhadap mahkamah kadi, solat Jumaat, puasa bulan Ramadhan, zakat, pengurusan wang khairat, arak, bersekedudukan, cerai, hal ehwal nikah, berzina bukan mahram dan berzina dengan mahram. Seterusnya, Undang-undang ini memperuntukkan bentuk-bentuk hukuman yang dikenakan bagi pesalah-pesalah serta kaedah yang digunakan untuk membawa pesalah ke muka pengadilan.[23]
Perundangan ini menjadi perundangan penting dalam menangani permasalahan masyarakat yang pelbagai ragam. Malah, apabila berhadapan dengan kelakuan masyarakat, pihak polis sememangnya diperlukan namun berdasarkan perundangan ini pihak polis tidak dibenarkan untuk membuat tangkapan sebaliknya hanya mengeluarkan saman dengan permintaan Kadi Daerah yang berkenaan.[24] Hakikatnya, Jabatan Agama Johor telah melaksanakan sepenuhnya perundangan ini terhadap pesalah-pesalah yang melanggar undang-undang ini. Justeru, dalam perbincangan ini beberapa contoh dikemukakan agar dapat lebih difahami tentang kaedah dan pelaksanaan hukuman terhadap pesalah. Sebagai contoh, sepanjang tempoh pelaksanaannya terdapat banyak penemuan kes-kes yang memperlihatkan perundangan ini digunakan. Kes-kes yang begitu banyak ditangani adalah kes-kes yang berkaitan dengan bersekedudukan. Kes yang ingin diketengahkan sebagai contoh merupakan kes bersekedudukan antara menantu dan mertuanya iaitu seorang menantu lelaki telah berkahwin dengan mentua perempuannya dan kesalahan ini telah dianggap sebagai sekedudukan dengan mahramnya dan pernikahan tidak sah. Justeru, kes ini telah ditangani dengan perundangan apabila kedua-dua pesalah telah dihadapkan ke mahkamah mengikut Undang-undang Kesalahan Orang-orang Islam.[25]
Seterusnya, perundangan ini telah dipinda dan dikemaskini lagi bagi tujuan pemantapan pentadbiran undang-undang untuk mengawal kelakuan masyarakat Islam pada tahun 1969 dan tahun 1976 yang memperlihatkan perundangan ini dijelaskan secara lebih teliti dan mendalam. Undang-undang yang diteliti pada tahun 1969 itu telah dikenali sebagai Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Johor.[26] Malah, perundangan ini dikemaskini kali terakhir sehingga melahirkan perundangan Islam terkini yang digunakan di negeri Johor serta dikuatkuasakan pada tahun 1978.
Pentadbiran pendidikan pelajaran agama merupakan organisasi umum yang penting kerana pendidikan Islam akan melahirkan golongan cerdik pandai Islam yang menyambung pentadbiran negeri serta pembangunan masyarakat Islam. Bagi menyokong usaha untuk memartabatkan pendidikan Islam di negeri Johor maka Jawatankuasa Mesyuarat Pelajaran yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Agama Johor telah menjadi medan penting untuk membincangkan dasar bagi menentukan halatuju pendidikan agama Islam di negeri ini.[27] Manakala dari segi pentadbiran, kerajaan negeri Johor telah mewujudkan jawatan Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama Johor yang dibantu oleh Penolong Pemeriksa Sekolah Agama Johor Selatan. Seterusnya, di peringkat daerah diketuai oleh Guru Pasukan untuk menyelia guru-guru agama di peringkat daerah masing-masing.[28]
Bermula 1 Julai 1947, Jabatan Agama Johor telah mengambil alih secara rasmi pentadbiran Sekolah Agama Johor. Namun begitu, urusan bayaran gaji guru-guru dan wang perbelanjaan pentadbiran sekolah diambil oleh Jabatan Agama Johor sehingga penghujung tahun 1948.[29] Kerajaan Johor memiliki dasar yang sangat baik untuk mentadbir sekolah agama. Hal ini dibuktikan melalui susunan pertukaran sesi persekolahan, iaitu para pelajar sesi persekolahan pagi akan belajar pula pada waktu petang di sekolah Agama. Tujuannya adalah bagi memastikan para pelajar ini tidak ketinggalan diberi didikan agama. Kecekapan dalam pentadbiran sekolah agama dapat dikesan dalam menangani masalah bagi pelajar yang bersekolah di Sekolah Inggeris yang dikhuatiri tidak berpeluang belajar di Sekolah Agama pada waktu petang. Yang Dipertua Jabatan Agama telah mengarahkan sidang persekolahan Sekolah Agama diadakan juga pada waktu pagi agar para pelajar berkenaan mendapat pendidikan agama yang sewajarnya.[30] Malah, Jabatan Agama Johor sentiasa berusaha untuk memastikan pelajaran agama tersebar ke segenap kampung dan memastikan bilangan guru mencukupi dan berwibawa untuk mengajar di Sekolah Agama yang baru dibuka.[31] Jabatan Agama Johor begitu mengambil berat tentang pengeluaran bahan pengajaran Sekolah Agama agar bahan yang dikeluarkan adalah bahan yang benar dan menepati kualiti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa serta memilih syarikat percetakan yang berkualiti untuk mencetak bahan pelajaran dengan bayaran yang berpatutan.[32]
Pada dasarnya, Sekolah Agama Johor mempunyai tiga jenis sekolah iaitu Sekolah Agama Kerajaan, Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Arab. Pada tahun 1933 Majlis Agama Johor membincangkan kedudukan pelajaran agama di kalangan anak-anak orang Islam yang bersekolah di Sekolah Melayu bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan agar diarahkan untuk mendapat pendidikan di Sekolah Agama Johor.[33] Hal ini dapat dibuktikan dengan penemuan dokumen yang memperlihatkan Jabatan Agama begitu mengambil berat isu pendidikan Islam di kalangan anak tempatan yang bersekolah di Sekolah Inggeris di Johor Bahru dengan meletakkan seorang tenaga pengajar bagi mengajar agama kepada para pelajar.[34] Malah kerajaan Johor menetapkan bahawa para pelajar Sekolah Inggeris harus menghadiri Sekolah Agama pada sebelah petang untuk memastikan pelajar muslim benar-benar memahami agama Islam.[35]
Pihak Sekolah Agama juga memantau perkhidmatan guru-guru agama dengan memberi perhatian dan mentauliahkan guru-guru agama agar mendapat pengiktirafan.[36] Jabatan Agama Johor telah mengeluarkan Peraturan Sekolah-sekolah Agama Kerajaan Johor dan Ketetapan Kerja-kerja Pegawai dan Guru-guru Agama yang dikuatkuasakan pada 21 Oktober 1962.[37] Malah, pentadbiran Jabatan Agama Johor telah mengarahkan Pegawai-pegawai Agama, Imam-imam dan Naib-naib Kadi supaya berbincang dan bertukar-tukar ilmu dengan guru-guru agama. Arahan Yang Dipertua Jabatan ini untuk memastikan agar percambahan ilmu berlaku dan guru-guru agama juga digalakkan memberi ceramah dan mengajar di masjid-masjid tentang pendidikan anak-anak di negeri ini.[38] Jabatan Agama Johor turut mengambil berat tentang kebajikan masyarakat yang miskin dengan memastikan keperluan sekolah anak-anak mereka mencukupi.[39]
Sekolah Agama Rakyat tumbuh seiring dengan sikap masyarakat Islam di negeri ini yang semakin ramai terbuka hati mahukan pendidikan Islam diberikan kepada anak-anak mereka namun Jabatan Agama Johor tidak berkemampuan untuk menanggung keseluruhan Sekolah Agama yang ditubuhkan di negeri ini. Menjelang pertengahan 1950an semakin banyak Sekolah Agama baru dibuka di seluruh daerah dalam negeri ini membukti bahawa kerajaan dan masyarakat menyedari betapa pentingnya pendidikan agama Islam di kalangan generasi muda negeri ini. Namun, pertambahan Sekolah Agama ini telah menyebabkan bertambahnya kos bagi pembayaran gaji guru-guru yang mengajar di Sekolah Agama yang baru dibuka itu. Walau bagaimanapun, terdapat sekolah yang telah dibuka sejak tahun 1947 yang penduduk kampungnya bersatu hati membayar gaji guru-guru. Justeru, Penolong-penolong Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama telah melaksanakan langkah yang baik dengan meneliti pembukaan sekolah-sekolah baru serta memberi laporan kepada Jabatan Agama Johor tentang kedudukan sekolah berkenaan terutamanya isu gaji.[40] Isu bayaran gaji sentiasa mendapat perhatian Jabatan Agama Johor dari semasa ke semasa dengan memberi pertimbangan agar semua pihak memperolehi manfaat dari penubuhan Sekolah Agama ini.[41] Malah, menjelang tahun 1960an guru-guru Sekolah Agama Rakyat mula memohon untuk menjadi guru tetap dengan gajinya dibayar oleh kerajaan.[42]
Manakala, pada tahun 1948 Sekolah Arab di negeri Johor telah mendapat perhatian daripada Sultan Johor yang mengarahkan sekolah ini diberi bantuan yang sewajarnya.[43] Malah, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memeriksa kualiti pengajaran dan pembelajaran Sekolah Arab dengan menghantar Pemeriksa Sekolah-sekolah Arab Johor bagi meneliti segala aspek yang penting baik dari sudut pelajarannya, kebersihan, kedatangan murid-murid, dan kualiti guru-guru. Inisiatif ini penting untuk memastikan Sekolah Arab ini menjadi pemangkin dalam usaha memartabatkan keilmuan Islam serta menambah golongan cerdik pandai Islam di negeri Johor.[44] Penubuhan Sekolah Arab diberi kebenaran dan dipantau dengan baik bagi memberi peluang kepada masyarakat Islam negeri ini mempunyai medan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama Islam ke peringkat yang lebih tinggi untuk kerjaya dan kehidupan yang lebih baik. Pada tahun 1963 Jabatan Agama Johor telah mengeluarkan Peraturan Bagi Membuka Sekolah Arab atau Sekolah Agama Rakyat Negeri Johor sebagai panduan kepada individu dan pertubuhan yang ingin membina sekolah-sekolah Arab yang dikuatkuasakan pada 24 September 1963.[45]
Jabatan Agama Johor telah mentadbir dan melaksanakan beberapa langkah yang terbaik untuk menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang efektif di Sekolah Agama Kerajaan, Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Arab. Pertama, Jabatan Agama Johor telah memberi latihan kepada para guru yang dijalankan untuk melahirkan guru yang berwibawa dan fasih menyampaikan ilmu dalam mendidik anak-anak muslim. Sebagai contoh, pada tahun 1934, telah dianjurkan kelas untuk guru-guru perempuan sekolah perempuan bertujuan memantapkan ilmu dan sebagai pengisian jiwa. Perkara ini penting bagi melahirkan guru yang cekap membahaskan segala persoalan ilmu agama.[46] Kedua, pihak Agama Johor juga menitikberatkan pengurusan peperiksaan Sekolah Agama Johor dengan mengeluarkan Peraturan Peperiksaan Murid-Murid Sekolah Agama Laki-Laki dan Perempuan Johor yang berkuatkuasa pada 18 September 1949.[47] Usaha ini bertujuan memastikan sistem peperiksaan sekolah berjalan lancar serta prestasi pelajar dapat diukur dengan kaedah yang berkesan untuk melihat keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Sekolah Agama Negeri Johor.
Ketiga, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Agama Johor telah menguatkuasakan Peraturan Sukatan Pelajaran Sekolah Agama Johor dan Daerahnya pada 10 Mac 1941.[48] Pelaksanaan peraturan ini bertujuan menentukan hala tuju yang baik dalam usaha memberi pengisian jiwa serta ilmu agama kepada masyarakat muslim agar melahirkan masyarakat yang tahu selok belok hukum agama. Pada tahun 1953, Jabatan Agama Johor telah mengeluarkan Pedoman Mengajar bagi panduan guru-guru Sekolah Agama Johor agar dapat menyampaikan pengajaran yang seragam.[49] Selain itu, Jabatan Agama Johor turut mengeluarkan pekeliling kepada guru-guru Sekolah Agama supaya mengambil berat tentang pengurusan kelas agar menjadi lebih menarik dan sistematik. Para pelajar juga ditekankan agar pandai membaca dan menulis jawi bagi menghasilkan pelajar yang berkualiti dan mempunyai prestasi yang cemerlang.[50]
Keempat, tanggal 8 November 1949, Pekeliling Bilangan 70 telah dikuatkuasakan untuk memberitahu tatacara pemakaian para guru dan pelajar Seolah Agama Johor. Para guru dan pelajar perempuan dikehendaki memakai baju yang menutup aurat, bertudung, tidak dibenarkan bergincu dan dilarang memakai pewarna kuku. Manakala, bagi guru dan pelajar lelaki, tidak dibenarkan memakai seluar pendek. Semua guru dan pelajar diwajibkan memakai baju berwarna putih.[51] Pada tarikh 26 Mac 1961, Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama Johor telah mengeluarkan peringatan kepada Guru-guru Pasukan agar memberi nasihat kepada guru-guru Sekolah Agama Johor supaya menjaga nama baik, maruah, menjaga adab dan memiliki tingkahlaku yang terpuji untuk dijadikan tauladan kepada masyarakat Islam.[52]
Kelima, para pemimpin jabatan dan guru-guru agama negeri Johor juga mengadakan mesyuarat sekiranya ada perkara yang perlu dibincangkan sama ada berkenaan dengan sebarang permasalahan yang timbul bagi memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran di Sekolah Agama negeri Johor. Sebagai contoh, pada tahun 1953 diadakan Mesyuarat Pegawai-pegawai Sekolah-sekolah Agama Laki-laki dan Perempuan yang dihadiri oleh Yang Dipertua Jabatan Agama, Pegawai Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama Johor, Penolong-penolong Pemeriksa Laki-laki Sekolah-sekolah Agama Johor, Penolong-penolong Pemeriksa Perempuan Sekolah-sekolah Agama Johor, Guru-guru Pasukan Laki-laki Sekolah-sekolah Agama Johor dan Guru-guru Pasukan Perempuan Sekolah-sekolah Agama Johor.[53] Namun, pada tahun 1954, gelaran Guru Pasukan telah ditukar kepada Guru Pelawat bertujuan bagi memantapkan lagi pemantauan terhadap kerja-kerja guru agama dan membawa usul-usul yang berguna ke dalam mesyuarat untuk memajukan lagi sekolah agama di negeri ini.[54]
Pentadbiran biasiswa pelajaran baik bagi penuntut dalam dan luar negara juga merupakan organisasi umum Jabatan Agama Johor bagi memastikan para pelajar negeri Johor berkembang menjadi sumber tenaga manusia yang berpendidikan tinggi dan berkualiti. Bagi pengajian dalam negara, Jabatan Agama Johor telah memilih untuk menghantar para pelajar menuntut ilmu ke Kolej Islam Malaya di Klang. Para pelajar ini telah diberi peringatan agar belajar dengan bersungguh-sungguh serta menjaga disiplin dan akhlak.[55] Jabatan Agama Johor begitu mengambil berat isu pendidikan tinggi luar negara yang dikenalpasti mampu melahirkan cerdik pandai agama bagi mentadbir negeri serta memantapkan sistem pendidikan Islam pada masa hadapan. Jabatan Agama Johor telah mengambil keputusan untuk menghantar para pelajar yang layak melanjutkan pelajaran ke Mesir dan Mekah. Sebenarnya, sejak tahun 1930an lagi telah didapati terdapat rekod-rekod perbincangan Majlis Agama Johor berkenaan dengan dasar serta permohonan para penuntut dan juga keluarga masing-masing yang berminat untuk menghantar anak mereka menuntut ilmu ke luar negara.[56]
Jabatan Agama Johor turut menyalurkan biasiswa yang ditawarkan oleh negara atau universiti luar seperti biasiswa untuk para pelajar yang layak dan berminat untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar di Mesir. Yang Dipertua Jabatan Agama mengeluarkan surat kepada para pelajar yang layak dan berminat dengan meminta khidmat pegawai untuk menyampaikan tawaran tersebut.[57] Malah, bagi penuntut luar negara yang tidak mendapat sebarang biasiswa, Jabatan Agama Johor menyalurkan bantuan supaya dapat meneruskan pengajian sehingga tamat dan berjaya.[58] Begitu juga saluran bantuan bagi para pelajar persendirian yang tidak mendapat biasiswa diuruskan dengan baik bagi memastikan para pelajar dapat belajar dalam keadaan baik dan cemerlang.[59] Jabatan Agama Johor sentiasa mengambil berat soal kebajikan atau permintaan para pelajar yang berkait dengan pelajaran mereka. Sebagai contoh, Jabatan Agama Johor menerima permohonan penuntut-penuntut negeri Johor yang belajar di Mesir supaya dinaikkan jumlah biasiswa. Permohonan ini dibuat berdasarkan keperluan belajar, namun pihak Jabatan Agama Johor turut mengambil berat pencapaian akademik mereka. Tujuannya adalah untuk memastikan para pelajar yang dibiayai memberikan pencapaian yang terbaik.[60]
Pentadbiran berkenaan pelantikan jawatan pegawai dan kakitangan Jabatan Agama Johor adalah perkara yang penting bagi memastikan pegawai dan kakitangan yang dipilih adalah individu yang memberikan komitmen terbaik serta berdisiplin dalam melaksanakan tugas. Buktinya, Yang Dipertua Jabatan Agama telah melaporkan mengenai perjawatan tiga pegawai yang ada dalam senarai pegawai serta bidang tugas masing-masing, serta mengiklankan dua jawatan kosong.[61] Oleh itu, Jabatan Agama Johor mengadakan sistem yang lengkap bagi memastikan kualiti kerja jabatan sentiasa berada pada tahap yang terbaik.
Pertama, Jabatan Agama Johor mengawal ketat pemilihan para pegawai dan kakitangan. Tujuannya memastikan pegawai yang dipilih betul-betul berminat dan bersedia untuk melaksanakan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab. Sebagai contoh, seorang yang bernama Haji Ahmad bin Haji Mahat telah dipilih dan dilantik oleh Yang Dipertua Jabatan Agama sebagai Naib Kadi atau Imam Kukup berkuatkuasa pada 27 Disember 1933 setelah lulus peperiksaan dan pihak Kadi Besar telah memberi arahan agar Kadi Kukup memberi tumpuan untuk mengajar dan melatih beliau agar mahir dengan kerja dan tanggungjawabnya.[62]
Kedua, sistem peperiksaan digunakan untuk menentukan kelayakan untuk dinaikkan pangkat para pegawai dan kakitangan Jabatan Agama Johor termasuk staf sokongan seperti Naib Kadi, imam, guru agama, dan kerani. Contohnya, Abdul Ghani bin Usman yang memegang jawatan imam dan juga merangkap Naib Kadi Tangkak memohon menduduki peperiksaaan pada 22 hingga 23 Novembr 1933 untuk tujuan kenaikan pangkat.[63] Didapati terdapat juga surat arahan daripada Kadi Besar kepada Kadi-kadi daerah agar membawa Naib-naib Kadi atau imam-imam dan guru-guru agama yang bersedia untuk mengambil peperiksaan dan menghantar permohonan 15 hari lebih awal dari tarikh peperiksaan.[64] Kenaikan pangkat Lebai Jidun yang dipilih dan dilantik menjadi bilal menggantikan Abdul Ghani yang telah pada berpencen membuktikan keberkesanan sistem ini.[65] Pada tahun 1936, Jabatan Agama Johor mengeluarkan peringatan kepada Naib-naib Kadi yang ingin memohon jawatan Kadi supaya mengetahui tentang Ahkam Syariah dan Panduan Kerja Jabatan.[66]
Sistem peperiksaan Jabatan Agama Johor ini telah dipertingkatkan pada tahun 1949 apabila ditemui rekod yang memperlihatkan Yang Dipertua Jabatan Agama telah mengeluarkan Pemberitahuan Sukatan Menerima Jawatan Pegawai Agama, Kakitangan Agama dan Guru-guru Agama yang dikeluarkan pada 30 Ogos 1949. Sukatan ini memperjelaskan lagi kelayakan jawatan iaitu bagi jawatan Mufti, Penolong Mufti, Kadi, Pegawai-pegawai Agama, Naib-naib Kadi yang tiada bergaji (Naib Kadi Kampung), Imam-imam yang tiada bergaji (Imam-imam kampung), Imam kerajaan (yang bergaji), Pemeriksa Perkara-perkara Agama, Kerani Arab, Bilal, guru-guru Agama dan guru-guru pelatih serta bidang-bidang yang harus diteliti untuk memasuki peperiksaan.[67] Bidang perguruan juga turut melalui peraturan sekatan peperiksaan untuk menentukan kenaikan gaji dan pangkat.[68] Hal ini memperlihatkan bahawa sistem peperiksaan dipraktikkan dalam setiap bidang pekerjaan.
Gaji merupakan perkara utama dalam mendorong individu gigih dan giat bekerja untuk menyara hidup. Skim gaji melalui sistem peperiksaan gaji yang digunakan oleh Jabatan Agama Johor adalah selaras dengan kelayakan pegawai dan kakitangan. Sebagai contoh, bagi jawatan Kadi, sekatan kelayakan gajinya adalah dari $200 hingga $210 manakala bagi sekatan peperiksaan gaji meningkat kepada $300 hingga $320 serta boleh juga meningkat pada tingkat gaji $400 hingga $430.[69]
Ketiga, aturan kerja dan disiplin kakitangan juga diberi penekanan, buktinya, pada 1 Januari 1946, Yang Dipertua Jabatan Agama telah mengeluarkan arahan yang dikenali sebagai Ketentuan Kerja-kerja Pegawai Jabatan Agama yang menetapkan bidang tugas pegawai-pegawai bermula dari Setiausaha Yang Dipertua, Kerani Besar, Kerani Wang, Kerani II, Kerani III, Kerani Memeriksa, kerani-kerani dan kakitangan pejabat, Pemeriksa Pelajaran Agama di sekolah, Pemeriksa Hal-hal Agama, Jurujaga Tanah Perkuburan, Pendaftar Tanah Wakaf, Masjid dan Perkuburan atau lain-lain, Pendaftar Nikah dan Cerai, Penterjemah Tafsir Kitab-kitab Arab, Penterjemah Tafsir Quran, Baitulmal dan Setiausaha Majlis Agama dan Pendaftar Ulangbicara Perkara Hukum Syarak.[70] Pihak Jabatan Agama sentiasa berusaha untuk melengkapkan dan memperbaiki panduan kerja bagi melancarkan kerja para pegawai di setiap bahagian.[71] Pada tahun 1947 pula terdapat aturan kerja yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Johor melalui Setiausaha Jabatan iaitu Aturan Kerja Kerani-kerani di Pejabat Agama Johor yang berkuatkuasa mulai 1 Oktober 1947. Tujuannya untuk mengkelaskan kerani dan mengatur bidang tugasnya.[72]
Yang Dipertua Jabatan begitu mengambil berat tentang kualiti kerja dan disiplin para pegawai dan kakitangan. Perkara ini dibuktikan dengan tindakan Yang Dipertua Jabatan Agama mengeluarkan Pekeliling Kerja Pegawai-pegawai dan Kakitangan Masjid 1932 bagi memastikan para imam, bilal dan noja melaksanakan tugas dengan baik di semua masjid kerajaan. Penolong Kadi diarahkan memeriksa buku kedatangan imam masjid terutamanya Masjid Abu Bakar iaitu masjid utama dalam negeri Johor.[73] Yang Dipertua Jabatan Agama mengeluarkan pekeliling bertarikh 20 Mei 1964 dan surat bertarikh 20 Oktober 1964 memerintahkan agar pegawai-pegawai tidak meninggalkan daerah sewenang-wenangnya. Jika terdapat keperluan untuk meninggalkan daerah maka perlu meminta kebenaran ketua masing-masing. Bagi Kadi-kadi, Mufti dan Kadi Besar hanya boleh meminta kebenaran daripada Yang Dipertua Jabatan Agama sahaja.[74] Tindakan disiplin dikenakan kepada kakitangan yang melanggar disiplin sepertimana yang dibuktikan melalui kes seorang Naib Kadi mengambil upah berlebihan daripada harga upah yang telah ditetapkan dalam urusan nikah. Beliau telah diberi amaran dan sekiranya mengulangi kesalahan itu, maka tauliahnya akan ditarik.[75]
Keempat, Jabatan Agama Johor turut mengambil berat tentang cuti pekerja. Hal ehwal meluluskan cuti ini merupakan satu kebajikan yang perlu dijaga kerana ianya penting untuk memberi peluang kepada pekerja menguruskan hal peribadi[76] atau keluarga serta mendapat rehat jika mengalami persoalan kesihatan seperti cuti bersalin.[77] Begitu juga dengan cuti yang dipohon oleh kakitangan yang berhajat untuk menunaikan fardhu haji ke Mekah juga amat dititikberatkan.[78] Selain itu, had umur persaraan bagi kakitangan kerajaan juga menjadi dasar pentadbiran negeri melalui arahan yang dinyatakan oleh Pengurus Pegawai Wang Johor. Pada 11 Disember 1945, satu pekeliling telah dikeluarkan yang menyatakan bahawa kakitangan kerajaan yang mencapai had umur berpencen atau yang mendapat akuan doktor boleh memohon untuk bersara mengikut aturan yang ditetapkan.[79] Jabatan Agama Johor turut memberikan status berpencen kepada para pegawai, kakitangan serta guru-guru Sekolah Agama Johor sebagaimana contoh pada tahun 1949 telah dikeluarkan peringatan bagi guru-guru agama yang telah dipersetujui supaya masuk ke dalam jawatan berpencen.[80] Pegawai dan kakitangan kerajaan dikurniakan status berpencen pada usia 55 tahun dan terdapat juga kakitangan yang memohon cuti sebelum memulakan persaraan.[81]
Jabatan Agama Johor turut menjaga kebajikan tempat tinggal pegawai dan kakitangan jabatan. Hal ini terbukti melalui pemberian elaun kepada guru-guru agama untuk penyewaan rumah yang berdekatan dengan sekolah[82] dan penyediaan rumah kerajaan untuk pegawai kerajaan seperti kadi-kadi. Kadi-kadi kebanyakannya diberikan rumah kerajaan untuk penginapan.[83]
Kelima, pentadbiran pertukaran pegawai dan kakitangan jabatan turut dititikberatkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor. Semua ketua jabatan perlu memohon peruntukan dan mendapatkan kebenaran menguruskan pertukaran pegawai. Pertukaran kakitangan sebenarnya berlaku daripada peringkat tinggi ke peringkat rendah kecuali pekerja am, contohnya pertukaran antara imam Masjid Jamek Telok Belanga dengan Masjid Jamek Pasir Pelangi.[84] Begitu juga bagi para guru Sekolah Agama Kerajaan Johor yang diarahkan berpindah ke daerah lain atau sekolah lain maka guru-guru terbabit boleh memohon elaun bertukar.[85] Pertukaran kakitangan jabatan boleh sahaja berlaku apabila terdapat pegawai yang mempunyai rekod aduan dari orang awam dan dianggap kurang disiplin dan berhemah maka pegawai berkenaan akan dikenakan tindakan pertukaran ke daerah lain sebagai contoh Kadi Batu Pahat telah ditukarkan ke Pejabat Kadi Kluang berkuatkuasa 1 April 1947.[86] Pertukaran kakitangan ini dapat memberi suasana baru kepada organisasi dan yang paling penting adalah menjaga mutu kerja kakitangan jabatan ini.
Pengurusan khairat dan juga derma merupakan organisasi umum dan tanggungjawab sosial Jabatan Agama untuk tujuan memudahkan pemberian sebarang bantuan kemasyarakatan dan kemanusiaan kepada pihak yang memerlukan. Sebagai contoh, pada tahun 1949 telah Yang Dipertua Jabatan Agama Johor telah mengeluarkan surat arahan kepada Kadi-kadi Daerah agar memungut derma bagi membantu rakyat Palestin. Malah, Yang Dipertua Jabatan Agama turut mengeluarkan Pemberitahuan bertarikh 10 Mac 1949 kepada masyarakat Islam agar bersama-sama menjayakan pungutan derma untuk masyarakat Palestin.[87]
Pentadbiran pemeriksaan buku-buku, kitab-kitab dan risalah-risalah merupakan organisasi khusus yang berkait rapat dengan fenomena murtad kerana Jabatan Agama Johor begitu mengambil berat serta berhati-hati terhadap sebarang pengedaran dan penyebaran buku-buku, kitab-kitab dan risalah-risalah yang berkaitan dengan agama Islam. Usaha ini bertujuan untuk memastikan masyarakat Islam di negeri ini tidak terdedah kepada bahan bacaan yang boleh menggugat akidah serta kefahaman.[88] Sebagai contoh, Jabatan Agama Johor melalui Yang Dipertua Jabatan telah mengeluarkan pemberitahuan yang bertarikh 1 November 1949 berkenaan larangan mengedarkan risalah yang membincangkan berkenaan hal-hal keramat dan wali-wali Allah. Pemberitahuan ini dikeluarkan supaya semua pegawai memberi kerjasama membuat laporan jika terjumpa naskhah yang mempunyai unsur-unsur agama tetapi tiada kebenaran Jabatan Agama Johor.[89]
Pentadbiran bahagian penerangan Jabatan Agama Johor adalah salah satu organisasi khusus berperanan memberi penerangan agama ke seluruh masyarakat Islam negeri Johor dan menyampaikan dakwah kepada masyarakat bukan Islam. Buktinya, aktiviti mendakwah masyarakat Orang Asli telah dilaksanakan pada tahun 1963 agar masyarakat Orang Asli mendapat penerangan dan kefahaman yang jelas berkenaan dengan agama Islam.[90]
[1]Salinan Surat-surat Dato’ Menteri dan Setiausaha Kerajaan Johor 1891-1899 (Jilid 1) yang bertarikh 2hb. Oktober 1895 yang menyatakan jemputannya terhadap Paduka Kekanda Engku Sulaiman untuk datang ke Johor dan memegang jawatan dalam Jemaah Menteri, begitu juga jemputan terhadap Paduka Ayahanda Engku Mohamad Khalid. Begitu juga salinan surat dari Dato’ Seri Amar Di Raja Dato’ Abdullah Rahman yang menyatakan jemputan untuk mengadakan menteri-menteri mengadakan persidangan melalui surat yang bertarikh 4hb. Disember 1895.
[2]Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (1312) 1895, hlm. 13.
[3]Salinan Surat-surat Dato’ Menteri dan Setiausaha Kerajaan Johor 1891-1899 (Jilid 1) yang bertarikh 5hb. November 1895 iaitu surat yang ditulis Dato’ Menteri Johor iaitu Dato’ Jaafar bin Haji Mohamad yang menjemput Engku Mohamad Khalid untuk menjawat jawatan Yang Dipertua Jabatan Agama dan Pelajaran.
[4]Salinan Surat-surat Dato’ Menteri dan Setiausaha Kerajaan Johor 1891-1899 (Jilid 1) yang bertarikh 7 Jun 1896 yang menyatakan Mohamad Khalid bin Haji Abdullah Munshi sebagai Setiausaha Jabatan Agama dan Pelajaran.
[5]Fawzi Basri dan Hasrom Haron, Sejarah Johor Moden 1855-1940 : Satu Perbincangan Dari Pelbagai Aspek, Muzium Negara Malaysia, Kuala Lumpur, 1978, hlm. 178.
[6]J/UG7 1568, Meminda nama Pejabat Agama Johor kepada Jabatan Agama Islam Johor.
[7]J/UG7 21/30, Penyata Jabatan Agama bagi Tahun 1929, J/UG7 259/30, Repot Jabatan Agama bagi tahun 1930.
[8]Jabatan Agama Johor 2288, Susunan keutamaan bagi orang-orang ternama negeri Johor.
[9]J/KAD2 (MG)1, Pekeliling dan pemberitahun Jabatan Agama tahun 1949, Jabatan Agama Johor (Pelajaran) 43/52, Pekeliling Jabatan Agama Johor.
[10]J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pelajaran) 14/53, Pekeliling Jabatan Agama Johor, J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pelajaran) 17/54 Kumpulan Pekeliling.
[11]J/KAD (MG)1 2/49 Cuti ke Mekah tahun 1949.
[12]Jabatan Agama Johor 1322, Syarat mendapatkan tambang kapal haji ke Mekah, Jabatan Agama Johor 1322 A Pt.II, Jawatankuasa Jemaah Haji Malaysia, Jabatan Agama Johor 2073, Cara pentadbiran bagi naik haji, J/UG7 2009A, Tabung haji, potongan gaji setiap bulan.
[13]J/KAD2 38/33, Kadi membawa pelan tanah kubur Segamat.
[14]J/UG7 1603/24, Hendak mengadakan seorang Pemeriksa Kerajaan.
[15]J/KAD2 169/33, Edaran Encik Masood bin Haji Zainal (Pemeriksa Agama 1) kepada Jawatan Kadi.
[16]J/KAD2 144/34, Mohon jawatan Pemeriksa Agama Johor.
[17]J/KAD2 455/34, Gelaran Pemeriksa Agama ditukar kepada gelaran Pemeriksa Hal-hal Agama.
[18]J/KAD2 366/35, Repot Pemeriksa Hal-hal Agama Johor.
[19]J/KAD2 62/37, Mengesyorkan peraturan kerja-kerja Pemeriksa Hal-hal Agama Johor, Jabatan Agama Johor 2000, Kuasa Jabatan Agama menangkap orang berkhalwat dan kuasa Pemeriksa Hal-hal Agama.
[20]Jabatan agama Johor 1048, Appointment of Inspector of Religious Affairs Johore.
[21]J/KAD2 7/52, Pertukaran Pemeriksa Hal-hal Agama, J/UG7 1429, Pertukaran Pemeriksa Hal-hal Agama.
[22]J/UG7 1779, Pangkat Khas Pemeriksa Hal-hal Agama Johor.
[23]J/UG7 Jabatan Agama Johor 91/48 Undang-undang Kawalan Orang -orang Islam tahun 1939 dan J/UG7 63/02, Menghaluskan Semula Rang Undang-undang Kawalan Orang Islam Johor.
[24]J/KAD2 51/33, Tanggungjawab polis berkenaan dengan undang-undang kesalahan orang Islam.
[25]J/KAD2 70/37, Kesan bin Alias sekedudukan dengan mertuanya.
[26]J/UG7 Jabatan Agama Johor 95C, Jawatankuasa Menyemak undang-undang agama Islam negeri Johor.
[27]J/KAD2 72/34, Rang keputusan Mesyuarat Pelajaran Agama yang telah diadakan pukul 11 pagi 6 Februari 1934 di Pejabat Agama Johor.
[28]Jabatan Agama Johor (Pelajaran) 5/48, Penyata Kemajuan Sekolah Agama Johor.
[29]J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pemeriksa Sekolah Agama) 65/47, Perpindahan Kelolaan sekolah-sekolah Agama Johor ke Pejabat Agama.
[30]J/UG7 Jabatan Agama Johor 2035, Dasar kerajaan berkenaan pelajaran agama.
[31]J/UG7 1543, Minta diadakan pelajaran dan guru-guru agama di sekolah kampung yang belum ada pelajaran dan guru agama.
[32]J/UG7 Jabatan Agama Johor 2235/B, Mengecap kitab-kitab pelajaran agama, mengarang dan menyusun kitab-kitab pelajaran agama.
[33]Majlis Agama 5/33, Pelajaran Agama bagi anak-anak orang Islam repot Pejabat Agama.
[34]J/UG7 68/27, Pelajaran agama di boarding Johor.
[35]J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pelajaran) 3/55, Murid-murid sekolah Inggeris kena belajar di sebelah petang.
[36]J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pemeriksa Sekolah Agama Johor Selatan) 41/49, Memberi tauliah kepada guru-guru agama mengajar di kampung-kampung.
[37]Peraturan Sekolah-sekolah Agama Kerajaan Johor dan Ketetapan Kerja-kerja Pegawai-pegawai dan Guru-guru Agama 1962.
[38]J/KAD2 153/33, Pegawai-pegawai agama, Imam-imam dan Naib-naib Kadi supaya bermuzakarah dengan guru-guru agama.
[39]J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pemeriksa Sekolah Agama) 148/47, Sekolah Kanak-kanak miskin, Jabatan Agama Johor (Pelajaran) 110/52, Murid-murid miskin yang dipohonkan pertolongan pakaian dan alatan-alatan pelajaran.
[40]J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pelajaran) 13/54, Membuka sekolah-sekolah Agama dengan gajinya dibayar oleh orang-orang kampong, J/UG 7 (Naqibul Zakat) 98/50, Mengadakan Skim Gaji Bagi Guru Agama Kampung.
[41]J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pelajaran) 11/54, Bantuan kerajaan kepada guru-guru kampung.
[42]J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pelajaran) 2/61, Guru agama yang bergaji dari bahagian zakat dan orang kampung dipohonkan jadi guru kerajaan.
[43]Menteri Besar Johor 44/48, Arab School in the state of Johore.
[44]J/UG7 Jabatan Agama Johor 1060A, Lawatan Pemeriksa Sekolah-sekolah Arab.
[45]Peraturan Bagi Membuka Sekolah Arab atau Sekolah Agama Rakyat Negeri Johor 1963.
[46]J/KAD2 36/34, Syor mengadakan pelajaran agama kepada guru-guru perempuan di sekolah perempuan Bandar Maharani dan Batu Pahat.
[47]J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pemeriksa Sekolah Agama) 167/49, Peraturan Peperiksaan Murid-murid Sekolah Agama Laki-laki dan Perempuan Johor.
[48]J/G7 Jabatan Agama Johor (Pemeriksa Sekolah Agama) 144/47, Minta Peraturan Sukatan Pelajaran Sekolah Agama Johor dan daerahnya.
[49]J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pelajaran) 28/53, Mengecap kitab ‘Pedoman Mengajar’.
[50]J/UG7 Jabatan Agama Johor 2035 A, Pekeliling pengurusan kelas dan kepandaian menulis Jawi bagi murid sekolah agama.
[51]J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pemeriksa Sekolah Agama) 202/49, Pakaian guru dan murid-murid Sekolah Agama Kerajaan Johor.
[52]J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pelajaran) 36/59, Akhlak guru-guru agama.
[53]J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pelajaran) 62/53, Mesyuarat negeri guru-guru agama Johor 1953, J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pelajaran) 59/54, Mesyuarat guru-guru agama, J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pelajaran) 32/57, Mesyuarat Pegawai Sekolah Agama Johor.
[54]J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pelajaran) 67/54, Pertukaran nama jawatan Guru Pasukan kepada nama Guru Pelawat.
[55]Jabatan Agama Johor 533, Biasiswa Jabatan Agama Johor.
[56]Majlis Agama 6/33, Permohonan belanja Khalid bin Ayub yang ada belajar masa ini di dalam Azhar Mesir, Majlis Agama 2/34, Dua orang anak Haji Yunus nama Abd. Rahim dan hasan ada dalam menuntut ilmu agama di dalam Azhar Mesir dan Majlis Agama 3/34, Hal-hal berkenaan dengan pelajaran dan kediaman Khalid bin Ayub dalam Azhar Mesir.
[57]J/UG7 1788, Hadiah lima biasiswa daripada Universiti Al Azhar.
[58]J/KAD2 (MG)1 69/46, Khairat bantuan anak-anak Johor yang belajar agama di Mekah, J/KAD2 (MG)1 27/49, Bantuan belanja penuntut Mekah dan Mesir, J/KAD2 (MG)1 24/49A, Derma pelajaran agama, J/UG7 30/53A, Derma rumah Melayu bagi penuntut-penuntut di Mesir dan J/UG7 2575, Bantuan kepada penuntut-penuntut yang tiada mendapat biasiswa.
[59]J/UG7 1553, Menghantar wang perbelanjaan kepada penuntut-penuntut persendirian yang belajar di luar negara.
[60]J/UG7 2499, Penuntut-penuntut Johor di Mesir mohon dinaikkan biasiswa dan J/UG7 Jabatan agama Johor 1140, Natijah peperiksaan penuntut-penuntut di Mesir.
[61]Jabatan Agama Johor 2236, Pentadbiran Jabatan Agama Johor.
[62]J/KAD2 43/33, Minta masuk dalam peperiksaan bagi jawatan imam.
[63]J/KAD2 161/33, Mohon masuk peperiksaan di bawah Pekeliling Jabatan Agama Bilangan 10/33.
[64]J/KAD2 194/33, Aturan pada menghantarkan Naib-naib kadi, imam-imam dan guru-guru agama ke dalam peperiksaan.
[65]J/KAD2 20/34, Memaklumkan ia telah masuk dalam peperiksaan bilal dan mohon jika ada kerja kosong.
[66]J/KAD2/36, Peperiksaan Naib Kadi yang akan datang hendaklah diubah diwajibkan tahu panduan kerja dan Ahkam Syariah.
[67]J/KAD2 (MG)1 68/49, Naskhah peraturan peperiksaan bagi pegawai-pegawai agama kakitangan Jabatan Agama dan guru-guru agama dalam negeri Johor menurut sukatan gaji baru.
[68]J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pemeriksa Sekolah Agama Johor Selatan) 44/49, Peraturan Peperiksaan sekatan gaji guru-guru agama Johor.
[69]J/KAD2 (MG)1 68/49, Naskhah peraturan peperiksaan bagi pegawai agama kakiktangan Jabatan Agama dan guru-guru agama dalam negeri Johor menurut sekatan yang baru.
[70]J/KAD2 (MG)1 10/46, Ketentuan Kerja-kerja Pegawai Jabatan Agama.
[71]J/KAD2 (MG)1 30/48, Menghalusi buku panduan kerja Jabatan Agama.
[72]J/UG7 (Pemeriksa Sekolah Agama) 115/47, Aturan kerja kerani-kerani di Pejabat Agama Johor Bahru 1947.
[73]J/KAD2 57/32, Minta Datuk Kadi perintahkan penolong Kadi periksa buku kedatangan Imam Masjid Abu Bakar.
[74]Jabatan Agama Johor 2228, Tatatertib dan menjaga maruah jabatan.
[75]J/UG& 946A, Naib Kadi Padang Sari Batu Pahat mengambil upah lebih daripada ditentukan jabatan.
[76]J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pemeriksa Sekolah Agama) 11/45, Cuti Guru-guru Agama Johor dan Daerahnya 1945.
[77]J/UG7 Jabatan Agama Johor (Pemeriksa Sekolah Agama) 138/49, Cuti hamil guru perempuan.
[78]J/KAD (MG)1 2/49 Cuti ke Mekah bagi tahun 1949, Pekeliling Kerajaan Johor bilangan (44) tahun 1948.
[79]J/KAD2 (MG)1 8/49 Tawaran berpencen dan aturannya.
[80]J/UG7 Pejabat Agama Johor (Pemeriksa Sekolah Agama Johor Selatan 61/49, Guru-guru yang masuk di dalam jawatan berpencen.
[81]J/UG7 Jabatan Agama Johor 1833, Umur persaraan pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan.
[82]J/UG7 2264, Elaun sewa rumah guru-guru agama.
[83]J/KAD2 67/52, Pertukaran Kadi Johor Bahru ke Batu Pahat.
[84]J/UG7 Jabatan Agama Johor 704A, Perintah pertukaran pegawai dan kakitangan Jabatan Agama Johor.
[85]J/UG7 Jabatan Agama Johor 2170, Elaun guru-guru agama yang bertukar dari satu daerah ke satu daerah yang lain.
[86]Menteri Besar 59/47, Merepotkan kekasaran Kadi Batu Pahat ke atasnya.
[87]J/KAD2 (MG)1 30/49, Derma kerana menolong orang Palestin.
[88]Jabatan Agama Johor 2014, Urusan di atas risalah-risalah dan kitab-kitab agama yang diharamkan di bawah undang-undang pentadbiran agama Islam.
[89]J/UG7 52/49, Larangan mensiarkan naskhah berkenaan dengan agama dengan tiada kebenaran Jabatan Agama.
[90]Jabatan Agama Johor 1548J.I, Mendakwah agama Islam di kawasan Orang Asli (Jabatan Penerangan Agama)