Istighfar
Ujian
Perubahan
Positif
SEJARAH AWAL SEKOLAH AGAMA JOHOR
PENDAHULUAN
Negeri Johor Darul Takzim menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi negeri melalui pengisytiharan dan pewartaan Undang-undang Tubuh Negeri Johor pada tahun 1895. Buktinya, fasal 57 telah mencatatkan peruntukan agama Islam seperti berikut :
“Adalah yang dikatakan ‘agama negeri’ bagi jajahan dan kerajaan Johor ini iaitu agama Islam itu berpanjangan dan berkekalan selama-lamanya menjadi diaku dan ada disebut ‘agama negeri’ yakni tiadalah sekali-kali boleh sebarang agama lain ada dibenarkan dan sentiasa termaklum patut dibenarkan dengan aman dan sempurna boleh diperagamakan dalam segala dan segenap daerah takluk kerajaan Johor oleh orang yang beragama ia”.[1]
Justeru, pengisytiharan ini telah memperlihatkan bahawa pentadbir dan masyarakat negeri berpegang teguh kepada ajaran agama Islam yang mengangkat agama Islam sebagai panduan dan cara hidup. Malah, perkembangan agama Islam yang pesat di negeri ini dapat dilihat melalui perkembangan pendidikan agama Islam. Hakikatnya, pendidikan agama di negeri Johor ini secara formal telah bermula sejak di Teluk Belangah, iaitu pusat pemerintahan Kesultanan Johor sebelum tahun 1866. Gambaran yang dberi oleh Mohd. Salleh Perang yang menghadiri kelas tersebut di Teluk Belangah yang menyatakan ianya begitu hampir dengan pendidikan tradisi yang wujud di Muar.[2]
Perkembangan sistem pendidikan di negeri Johor yang bermula dengan Sekolah Quran, Sekolah Kitab, Sekolah Agama Petang dan Sekolah Agama Rakyat iaitu Sekolah Arab telah mencetuskan minat para penuntut negeri Johor untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama ke peringkat yang lebih tinggi di Asia Barat. Negara-negara yang menerima kemasukan pelajar negeri Johor untuk melanjutkan pengajian peringkat tinggi ialah negara Mesir, Mekah dan Yaman.[3] Justeru, buku ini ingin membincangkan berkenaan pentadbiran yang dilaksanakan kerajaan negeri Johor secara amnya dan JAJ secara khususnya dalam mengurus dan mentadbir para penuntut negeri ini yang begitu bersemangat menuntut ilmu agama dan akhirnya memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan syiar Islam di negeri Johor malah kepada Tanah Melayu dan alam Melayu ini.
Sejarah perkembangan pendidikan agama Islam di negeri ini dicatatkan bermula dengan inisiatif guru-guru agama yang berwibawa telah menubuhkan Sekolah Kitab yang menggunakan pengantar bahasa Melayu. Menurut kajian Arbaiah Soehod memperlihatkan bahawa sekolah Quran pertama ialah Sekolah Agama Kukup di daerah Pontian.[4] Sekolah Quran telah mendapat pengakuan sebagai sekolah agama pertama di Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malaya melalui Penguasa Pelajaran Johor pada tahun 1900-1941 iaitu H.R Cheesman.[5] Rekod telah membuktikan bahawa para pelajar di Maktab Inggeris di Johor Bahru telah diwajibkan belajar di Sekolah Quran pada sesi petang iaitu setelah menamatkan sesi pembelajaran persekolahan di maktab pada sebelah pagi.
Jabatan Pendidikan Inggeris telah menulis surat bertarikh 21 Februari 1917 kepada Penasihat Inggeris Johor memohon agar menyusun kembali susunan jadual agar kelas bagi Sekolah Quran pelajar tidak diadakan pada waktu tengahari. Oleh itu, Penasihat Inggeris Johor melalui balasan surat bertarikh 27 Februari 1917 menerusi perbincangan bersama Timbalan Menteri Besar Johor telah mengesahkan permohonan guru Sekolah Quran untuk tidak mengadakan kelas pada waktu tengahari dan kelas Quran di selang selikan semasa waktu pembelajaran pada waktu pagi.[6] Kenyataan ini membuktikan bahawa Sekolah Quran ini pada peringkat awal sebagai asas kerajaan Johor ingin menerapkan pendidikan Islam dalam kalangan masyarakat Melayu beragama Islam yang menghadapi cabaran dengan campurtangan Inggeris dalam sistem pendidikan di negeri ini. Seterusnya, Sekolah Kitab ini merupakan nama baru bagi menggantikan Sekolah Quran setelah berlaku pertambahan mata pelajaran ilmu Fekah dan Tauhid dalam sukatan pelajaran.[7]
PERANAN MAJLIS AGAMA DAN JAWATANKUASA PELAJARAN AGAMA JOHOR DALAM MEMBUAT DASAR PENDIDIKAN AGAMA DI NEGERI JOHOR
JAJ melalui Majlis Agama serta Jawatankuasa Pelajaran Agama Johor bertanggungjawab membuat dan menentukan dasar-dasar penting dalam pentadbiran dan pelaksanaan sekolah berteraskan pendidikan agama Islam di negeri ini. Kenyataan ini dapat dibuktikan melalui minit mesyuarat dan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama dan Jawatankuasa ini berhubung dengan kelangsungan sekolah berteraskan agama Islam. Sebagai contoh, minit mesyuarat Jawatankuasa Pelajaran Agama bertarikh 6 Februari 1934 membincangkan perkara-perkara penting dalam pelaksanaan Sekolah Agama Petang seperti latihan untuk para guru, pelantikan guru yang telah lulus Darjah V dan pembelian kitab-kitab untuk pengajaran di sekolah.[8]
Kerajaan negeri Johor telah mengiktiraf pendidikan agama ini sebagai wadah yang sangat penting dalam pendidikan anak bangsa maka institusi pendidikan ini telah dijadikan satu sistem pendidikan yang formal. Pengiktirafan ini selaras dengan perintah Sultan Ibrahim pada tahun 1918 yang mengiktiraf sistem ini yang dikenali sebagai Sekolah Agama Petang Kerajaan Johor. Hakikatnya, sistem persekolahan ini mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat Islam. Malah, terdapat kawasan yang tidak mempunyai Sekolah Agama Petang tetapi sekadar mampu menyediakan Sekolah Quran dan Sekolah Kitab sahaja. Pada tahun 1927, Sekolah Agama Petang telah diletakkan dibawah pengawasan Jabatan Pelajaran Negeri Johor iaitu Bahagian Pelajaran Agama Johor. Malah, antara tahun 1926 hingga 1933 Sekolah Agama Petang telah berkembang dengan pesat sehingga mewujudkan tingkat tertinggi dalam pencapaian akademik sekolah ini iaitu Darjah Khas Sekolah Agama Johor pada tahun 1932 yang menjadi asas bagi melahirkan guru-guru sekolah agama.[9] Perkembangan Sekolah Agama Petang negeri Johor terhenti semasa Jepun menguasai Tanah Melayu sekitar tahun 1941 hingga 1945.[10]
Perkembangan sistem pendidikan Tanah Melayu yang semakin kompleks menyebabkan sekolah agama menerima cabaran dalam usaha menguruskan sistem pembelajaran agar anak-anak negeri Johor berupaya untuk mendapatkan pendidikan agama. Sesi pembelajaran sidang pagi pada asalnya membolehkan para pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran pada sesi petang bagi sekolah agama, namun apabila terdapat sekolah Inggeris yang mengadakan sesi persekolahan pada waktu petang menyebabkan JAJ mengadakan sekolah agama sidang pagi untuk memberi peluang kepada para pelajar yang bersekolah pada sidang petang.[11]
PENTADBIRAN SEKOLAH AGAMA JOHOR
Setelah perang tamat, Sekolah Agama Petang telah dibuka semula bermula pada 1 Julai 1947 pentadbiran Sekolah Agama Petang telah berpindah daripada Jabatan Pelajaran Negeri Johor kepada Jabatan Agama Johor. Yang Dipertua JAJ mengeluarkan pekeliling bilangan 8/47 yang menetapkan bahawa Sekolah Agama Petang baik lelaki dan perempuan telah diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Agama mulai 1 Julai 1947 kecuali hal gaji dan perbelanjaan yang masih ditadbir Pejabat Pelajaran hingga penghujung tahun 1947.[12]
Bukti rekod menunjukkan JAJ melaksanakan dasar dan pentadbiran sekolah agama melalui satu mesyuarat yang dikenali sebagai Perjumpaan Pegawai-pegawai Sekolah Agama Lelaki dan Perempuan Johor. Rekod yang ditemui ini merupakan mesyuarat kali kedua yang membincangkan pentadbiran sekolah agama. Anggota bagi mesyuarat ini ialah Yang Dipertua JAJ, Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama Johor, lima orang Penolong Pemeriksa Sekolah Agama Lelaki dan Perempuan Johor dan tujuh orang Guru Pasukan Sekolah-sekolah Agama Johor. Jawatankuasa ini berperanan menentukan dasar yang membabitkan sukatan pelajaran, peperiksaan dan segala pentadbiran am sekolah agama bagi melancarkan lagi perjalanan sekolah ini.[13]
Pengurusan gaji guru sekolah agama Johor tidak sepenuhnya ditanggung oleh JAJ. Hakikatnya, sehingga tahun 1960an masih terdapat guru-guru sekolah agama bukan bertaraf tetap dan berpencen tetapi menerima gaji daripada peruntukan zakat dan kutipan derma masyarakat kampung. Justeru, pada tahun 1961 terdapat permohonan daripada masyarakat kampung melalui Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat untuk mengambil guru-guru kampung ini sebagai guru agama tetap. Oleh itu, satu senarai nama guru dan sekolah yang memerlukan guru tetap ini telah diberikan kepada Yang Dipertua JAJ melalui surat bertarikh 17 Januari 1961. Begitu juga pada tahun 1962, terdapat usaha dan permohonan yang dilakukan oleh Penolong Pemeriksa Sekolah Agama Perempuan Johor Tengah yang menulis serta melampirkan senarai nama guru-guru yang gaji dibayar melalui zakat dan sumbangan masyarakat kampung untuk diserapkan sebagai guru bergaji tetap dan berpencen. JAJ sentiasa berusaha untuk memberi peluang kepada guru-guru agama kampung yang dibayar gaji oleh orang kampung terutamanya untuk diserap menjadi guru tetap kerajaan dari semasa ke semasa mengikut kemampuan kewangan kerajaan. Malah, peruntukan zakat sentiasa membantu kerajaan untuk membangunkan sekolah agama di negeri ini.[14]
PENTADBIRAN GURU AGAMA KAMPUNG
Permintaan yang tinggi terhadap pendidikan agama untuk generasi muda di negeri ini telah menyebabkan banyak sekolah-sekolah agama yang dibuka. Keadaan ini menimbulkan permasalahan kewangan untuk membayar gaji guru yang bilangannya semakin bertambah. Justeru wujud sekolah-sekolah agama yang ditadbir oleh institusi zakat dan majoriti sekolah ini berada di kampung-kampung. Masyarakat menggelarkan Sekolah Agama Kampung, maka guru-guru yang semakin ramai yang tidak mampu ditampung gaji oleh kerajaan negeri telah dibayar gajinya oleh pihak pentadbiran zakat negeri.
Oleh itu, bagi melancarkan pentadbiran gaji bagi guru agama kampung ini, JAJ telah mengeluarkan peringatan kepada guru-guru agama kampung yang dibayar elaun oleh amanah zakat untuk menghantar dua salinan penyata pelajaran kepada pihak Naqibulzakat daerah tidak lebih 15 haribulan untuk urusan pembayaran gaji. Seterusnya, pihak Naqibulzakat daerah akan menghantar satu salinan penyata tersebut kepada Naqibulzakat Johor pada 22 haribulan bersama-sama dengan bil elaun bagi bulan tersebut. Pemantauan terhadap guru-guru agama kampung dilaksanakan oleh Pemeriksa Zakat daerah yang akan melihat keperluan guru agama yang diperlukan masyarakat kampung. Sekiranya bilangan murid kurang daripada 25 orang maka Naqibulzakat akan melaporkan kepada Yang Dipertua Jabatan Agama harus atau tidak diteruskan operasi sekolah berkenaan. Pemeriksa Zakat bertanggungajawab memeriksa pengajaran guru agama dan mesti menghantar laporan kepada Naqibulzakat bagi setiap daerah sekurang-kurangnya pada tiap-tiap empat bulan sekali dan Naqibulzakat daerah menghantarkan laporan tersebut kepada Naqibulzakat Johor. Perkara ini dinyatakan dalam dokumen Peringatan Kepada Guru-guru Agama Kampung dalam Pekeliling Bilangan 3/50 yang dikeluarkan pada 11 November 1950.[15]
Malah, semangat kesepakatan masyarakat kampung dalam menguruskan sekolah agama di negeri ini begitu terserlah apabila Guru Sekolah Agama Segamat telah menulis surat kepada Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama negeri Johor untuk memohon membina surau bagi kegunaan murid-murid belajar solat. Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama Johor telah menulis surat kepada Pegawai Pendidikan Johor melalui surat bertarikh 26 Februari 1946 yang menyampaikan hasrat masyarakat kampung dan pihak sekolah untuk membina surau yang lebarnya 14 kaki dan panjangnya 16 kaki. Bahan binaannya tiang kayu bulat, lantai batang pinang, atap daun rumbia, dinding sekerat daripada kulit kayu. Perbelanjaan untuk membina surau ini ditampung sepenuhnya oleh masyarakat kampung.[16]
PENTADBIRAN PENGAMBILAN PELAJAR
Pengambilan pelajar bagi mengikuti sesi pembelajaran di Sekolah Agama Johor merupakan perkara yang penting bagi memastikan kelangsungan pengajaran dan pembelajaran di sekolah ini. Rekod JAJ telah membuktikan bahawa Pejabat Pelajaran Agama Johor begitu mengambil berat isu ini bagi memastikan rakyat negeri Johor mendapat pendidikan agama yang sewajarnya. Sebagai contoh, berdasarkan rekod pada tahun 1958 Penolong Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama Johor Utara telah menulis surat kepada Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama Johor untuk memaklumkan bahawa Guru Sekolah Agama Seri Menanti Muar telah membuat permohonan untuk menerima pelajar baru seramai 31 orang. Perkara ini mendapat perhatian Pejabat Pelajaran Agama Johor untuk memastikan para pelajar tidak terlalu padat belajar dalam sesebuah sekolah. Oleh itu, Guru Pasukan Sekolah-sekolah Agama Parit Jawa Muar telah membuat laporan kepada Pemeriksa Sekolah Agama Johor agar menerima pelajar terbabit kerana keadaan sekolah mencukupi dan peralihan darjah murid berlaku dengan lancar.[17]
KEWAJIPAN ANAK NEGERI JOHOR BELAJAR SEKOLAH AGAMA JOHOR
Kerajaan negeri Johor begitu menitikberatkan pendidikan agama kepada anak negeri Johor sama ada yang bersekolah di bandar mahupun di kampung. Buktinya, pada tahun 1927 kerajaan telah mengarahkan ‘English College’ yang kini dikenali Maktab Sultan Abu Bakar iaitu sebuah kolej bertaraf elit berpendidikan Inggeris yang menetapkan bahawa para penuntut di sekolah elit ini juga wajib belajar aliran agama iaitu perlu diadakan Sekolah Agama Petang. Oleh itu, seorang guru agama bernama Syed Abu Bakar diarahkan untuk mengajar di sekolah ini.[18]
Malah, Majlis Agama telah bermesyuarat pada 19 April 1933 bagi membincangkan permasalahan terdapat lagi kanak-kanak dalam negeri Johor yang belajar di Sekolah Melayu tetapi tidak belajar di Sekolah Agama Petang. JAJ begitu prihatin tentang kewajipan anak-anak negeri Johor yang diberikan pendidikan agama Islam yang menyeluruh agar masyarakat Melayu beragama Islam tidak jahil dalam ilmu agama. Hal ini dapat dibuktikan dengan laporan yang disediakan Guru Pelawat Sekolah-sekolah Agama Johor pada masa ini membuat perbandingan bilangan murid lelaki di Sekolah Melayu Negeri Johor seramai 8549 orang tetapi yang menghadiri sekolah agama hanya 3636 orang. Manakala, bagi murid perempuan yang bersekolah di Sekolah Melayu seramai 899 orang dan dan menghadiri Sekolah Agama hanya 277 orang. Justeru, Jabatan Agama mengarahkan agar pihak ibubapa dan Sekolah Melayu disarankan menghantar anak dan anak murid masing-masing untuk menghadiri Sekolah Agama Johor.[19]
Manakala, pada tahun 1947 JAJ telah memikirkan kebajikan masyarakat beragama Islam yang bertaraf miskin di kampung yang sepatutnya diberi perhatian khusus dalam pendidikan agama yang dikhuatiri kerana kemiskinan menyebabkan golongan ini keciciran dari mendapat hak untuk memperolehi pendidikan agama yang sempurna. Pelawat Sekolah Agama Johor telah melakukan pemantauan dan penyiasatan bagi memastikan para pelajar yang miskin di kampung dalam negeri Johor tidak tercicir. Menurut laporan pegawai yang telah memantau sebuah sekolah yang menampung para pelajar yang miskin di Batu 3 Johor Bahru pada 1 Disember 1947 mendapati seramai 20 orang kanak-kanak miskin tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Malah, pegawai mendapati bahawa guru tersebut tidak mengajar dengan bersungguh-sungguh kerana tidak menurut kaedah yang betul seperti yang ditetapkan JAJ.
Justeru, pegawai tersebut telah menetapkan kepada guru berkenaan untuk mengajar selama 2 setengah jam serta pengajarannya wajib mengandungi pengajaran kitab, mengajar mengaji muqaddam, mengajar menulis jawi dan menghafal surah-surah al-Quran. Pegawai berkenaan mendapati bahawa murid-murid miskin ini tidak mempunyai kitab dan hanya gurunya sahaja yang mempunyai kitab iaitu Kitab Pertolongan Kanak-kanak dan Risalah Jawi. Oleh itu, pegawai ini memohon agar Jabatan Agama memberikan kanak-kanak miskin ini setiap seorang kitab-kitab dan papan tulis untuk kanak-kanak ini belajar dengan sempurna. Manakala guru yang terlibat dinasihati mengajar dengan mengikut kaedah yang betul serta diberi latihan agar dapat mengajar dengan baik dan berkesan. Pegawai ini berjanji akan memantau keadaan sekolah ini agar gurunya mengajar dengan bersungguh-sungguh.[20]
DARJAH KHAS SEKOLAH AGAMA JOHOR
Peringkat Darjah Khas merupakan peringkat lanjutan dan tertinggi bagi sukatan pelajaran Sekolah Agama Johor. Pelajar yang tamat sekolah agama dari Darjah 1 hingga darjah 6 layak untuk menyambung pengajian hingga ke Darjah Khas. Masyarakat negeri Johor yang mengambil berat berkenaan pendidikan agama Islam telah menyambut baik saranan Darjah Khas bagi memastikan rakyat negeri Johor mempunyai pengetahuan agama Islam yang mantap.[21]
PERANAN JAWATAN PEMERIKSA DAN PENOLONG PEMERIKSA SEKOLAH AGAMA JOHOR
Jawatan Pemeriksa Sekolah Agama Johor merupakan jawatan yang penting dalam pentadbiran sekolah agama Johor yang merupakan pegawai yang bertanggungjawab terhadap Yang Dipertuan JAJ dalam mentadbir perjalanan sekolah ini. Manakala, jawatan Penolong Pemeriksa Sekolah Agama Johor merupakan jawatan yang disandang oleh beberapa orang pegawai yang bertanggungjawab membantu Pemeriksa Sekolah Agama Johor. Sebagai contoh, pada tahun 1961 Jawatan Pemeriksa Sekolah Agama Johor telah disandang oleh Tuan Haji Md. Salleh bin Haji Ahmad yang menggantikan Encik Talib bin Kasim yang telah berpencen. Manakala seramai 2 orang Penolong Pemeriksa Sekolah Agama telah dilantik iaitu Haji Md. Don bin Haji Abdullah dan Md. Amin bin Othman.[22]
KESIMPULAN
Negeri Johor merupakan negeri yang terawal meletakkan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi malah telah meletakkan Islam pada mercu yang tertinggi melalui sistem pendidikan sekolah agama yang mantap. Hakikatnya, pengaruh Islam yang kuat di negeri ini telah menjadi pegangan pemerintah dan pegawai agama negeri bagi memastikan kelangusngan pendidikan agama Islam terus berkembang dan bertahan dalam mendepani pelbagai cabaran yang mendatang akibat arus pemodenan. Sekolah agama Johor terus megah sebagai entiti pendidikan rakyat yang unggul di negeri ini bagi memastikan bangsa Johor mendapat pendidikan agama Islam seawal usia dari peringkat kanak-kanak sehinggakan sekolah ini mampu melahirkan golongan cerdik pandai agama yang terus menyambung minat bidang pengajian Islam di Sekolah Arab, Maahad Johor, institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
Selaras dengan hasrat pemerintah negeri Johor yang mahukan Sekolah Bangsa Johor menjadi wadah mendidik anak bangsa Johor menjadi masyarakat yang berguna maka, sekolah ini sewajarnya diteruskan dan dimantapkan agar cita-cita dan harapan pemerintah dan rakyat bagi melahirkan masyarakat yang celik ilmu pengetahuan dan mengamalkan cara hidup Islam yang syumul menjadi realiti bagi mendapat keredhaan Allah s.w.t di dunia hingga ke akhirat. Sekolah Agama Johor telah berkembang pesat sejak penubuhannya sebagai Sekolah Quran dan Sekolah Kitab yang menjadi asas dan seterusnya berkembang di seluruh negeri malah menjadi panduan kepada negeri-negeri lain termasuk kerajaan Brunei Darussalam untuk mengikut contoh acuan negeri Johor dalam mengimarahkan sekolah agama di negeri masing-masing.
RUJUKAN
Abdul Latif Juffri dan Jainal Sakiban al-Jauhari. 2007. Sejarah Perkembangan Pentadbiran
Agama Islam Johor, Johor Bahru : MAIJ URUS Sdn. Bhd.
JAJ 2035, Dasar kerajaan berkenaan pelajaran agama sebelah petang.
JAJ 1872, Permohonan memasukkan murid-murid ke Darjah Khas Sekolah Agama Johor.
JAJ (Pelajaran) 40/52, Menerima murid baru dan syarat-syaratnya.
JAJ (Pelajaran) 2/61, Guru agama yang bergaji dari bahagian zakat dan orang kampong
dipohonkan jadi guru kerajaan.
JAJ 1579 (DUP), Jawatan Pemeriksa Sekolah Agama Johor.
J/KAD2 72/34, Rang keputusan pelajaran agama.
J/PBB1 112/17, Re-arrangement of the school hours the college affecting the English classes and the Koran class teaching.
J/UG7 JAJ (Pemeriksa Sekolah Agama) 65/47, Perpindahan kelolaan sekolah Agama Johor
ke Pejabat Agama.
J/UG7 JAJ (Pemeriksa Sekolah Agama) 167/49, Peraturan peperiksaan murid-murid sekolah Agama lelaki dan perempuan Johor.
J/UG7 (Naqibulzakat) 988/50, Mengadakan Skim bagi guru agama kampong.
J/UG7 Pemeriksa Sekolah Agama 10/46, Permohonan membangunkan surau kerana latihan murid-murid sembahyang.
J/UG7 68/27, Pelajaran agama di English College Johor.
J/UG7 JAJ (Pemeriksa Sekolah Agama) 148/47, Sekolah kanak-kanak miskin.
Majlis Agama 5/33, Pelajaran agama bagi anak-anak orang Islam.
Menteri Besar 93/47, Malay religious students abroad.
Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1312H (1895).
[1]Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1312H (1895), hlm. 20.
[2]Abdul Latif Juffri dan Jainal Sakiban al-Jauhari, Sejarah Perkembangan Pentadbiran Agama Islam Johor, MAIJ URUS Sdn. Bhd., Johor Bahru, 2007, hlm. 188.
[3]Menteri Besar 93/47, Malay religious students abroad.
[4]Abdul Latif Juffri dan Jainal Sakiban al-Jauhari, Sejarah Perkembangan Pentadbiran Agama Islam Johor, hlm. 188.
[5]Abdul Latif Juffri dan Jainal Sakiban al-Jauhari, Sejarah Perkembangan Pentadbiran Agama Islam Johor, hlm. 189.
[6]J/PBB1 112/17, Re-arrangement of the school hours the college affecting the English classes and the Koran class teaching.
[7]Abdul Latif Juffri dan Jainal Sakiban al-Jauhari, Sejarah Perkembangan Pentadbiran Agama Islam Johor, hlm. 189.
[8]J/KAD2 72/34, Rang keputusan pelajaran agama.
[9]Abdul Latif Juffri dan Jainal Sakiban al-Jauhari, Sejarah Perkembangan Pentadbiran Agama Islam Johor, hlm. 189. hlm. 190.
[10]Abdul Latif Juffri dan Jainal Sakiban al-Jauhari, Sejarah Perkembangan Pentadbiran Agama Islam Johor, hlm. 189. hlm. 191.
[11]JAJ 2035, Dasar kerajaan berkenaan pelajaran agama sebelah petang.
[12]J/UG7 JAJ (Pemeriksa Sekolah Agama) 65/47, Perpindahan kelolaan sekolah Agama Johor ke Pejabat Agama.
[13]Perjumpaan pegawai-pegawai Sekolah Agama lelaki dan perempuan Johor dalam fail J/UG7 JAJ (Pemeriksa Sekolah Agama) 167/49, Peraturan peperiksaan murid-murid sekolah Agama lelaki dan perempuan Johor.
[14]JAJ (Pelajaran) 2/61, Guru agama yang bergaji dari bahagian zakat dan orang kampong dipohonkan jadi guru kerajaan.
[15]J/UG7 (Naqibulzakat) 988/50, Mengadakan Skim bagi guru agama kampong.
[16]J/UG7 Pemeriksa Sekolah Agama 10/46, Permohonan membangunkan surau kerana latihan murid-murid sembahyang.
[17]JAJ (Pelajaran) 40/52, Menerima murid baru dan syarat-syaratnya.
[18]J/UG7 68/27, Pelajaran agama di English College Johor.
[19]Majlis Agama 5/33, Pelajaran agama bagi anak-anak orang Islam.
[20]J/UG7 JAJ (Pemeriksa Sekolah Agama) 148/47, Sekolah kanak-kanak miskin.
[21]JAJ 1872, Permohonan memasukkan murid-murid ke Darjah Khas Sekolah Agama Johor.
[22]JAJ 1579 (DUP), Jawatan Pemeriksa Sekolah Agama Johor.