Pengalaman saya selama tiga bulan menjalani program sangkutan penyelidikan (research attachment) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Sekolah Pengajian Kejuruteraan, Universiti Tohoku, Jepun, sangat memberi makna kepada saya yang baru pertama kali menjejakkan kaki di negara matahari terbit ini. Bermula secara rasmi dari 1 Oktober hingga 29 Disember 2019, saya berpeluang merasai pengalaman manis dan menghadapi sedikit cabaran yang tidak mungkin dapat dilupakan seumur hidup saya yang tidak pernah berpeluang melanjutkan pelajaran secara formal di negara asing kecuali pernah menyertai persidangan dan seminar di Beijing, China; Daejeon, Korea Selatan; Surabaya, Indonesia; dan program Global Outreach Program di University of Queensland, Brisbane, Australia.
Musim panas, luruh dan sejuk serta risiko bencana alam semulajadi.
Oleh kerana saya mengikuti suami yang mendapat tawaran menjalani program sabatikal – sangkutan penyelidikan selama 6 bulan yang ditaja oleh pihak Hitachi, Jepun, maka kami bersama anak-anak perlu datang dahulu ke Tokyo, Jepun dan menginap di hotel di sana selama 2 hari untuk urusan rasmi dengan pihak penaja. Di Tokyo kami berpeluang merasai cuaca di hujung musim panas iaitu hujung bulan September 2019 yang mana suhunya mencecah 30° Celsius. Setelah kami berada di bandar Sendai dan tinggal di Tohoku University International House Sanjo, musim luruh pula muncul yang mana suhu kadangkala mencecah 3° Celsius. Pada 12 Oktober 2019 pula, taufan Hagibis telah melanda Jepun. Walaupun pada mulanya Agensi Kaji Cuaca Jepun (JMA) meramalkan taufan Hagibis akan tiba di tengah atau timur Jepun yang membawa kelajuan angin maksimum 219 kilometer sejam, dan boleh mengganggu sistem pengangkutan dan bekalan elektrik, tetapi Alhamdulillah, syukur pada Allah dan Rasul, kawasan tempat saya tinggal hanya mengalami sedikit angin kencang dan hujan sepanjang hari sahaja. Tiada banjir besar dan kerosakan harta benda berlaku walaupun sesetengah kawasan berhampiran pantai dilanda banjir. Tidak dapat dinafikan, kemajuan sistem amaran dan pengurusan bencana di sini sangat efektif dari segi pengurusan sumber manusia, kelengkapan aset bantuan, sistem aplikasi pengguna, dan sebagainya, yang menyebabkan pemulihan dapat dilaksanakan segera sebaik sahaja sesuatu bencana alam berlaku. Sendai adalah bandar terbesar di Wilayah Tohoku, salah satu daripada 15 bandar terbesar di Jepun dan bandar utama yang paling dekat dengan pusat gempa bumi pada 11 Mac 2011. Tsunami yang melanda pada waktu itu telah menghancurkan pinggir pantai bandar tetapi tidak menyebabkan kerosakan besar di pusat bandar. Saya sempat mengunjungi bandar Matsushima (sejam perjalanan dari pusat bandar Sendai), iaitu antara kawasan paling terjejas dilanda tsunami, walau bagaimanapun kebanyakan kawasan pelancongan dibuka semula dalam masa beberapa bulan sahaja selepas kejadian gempa bumi. Terpegun saya dengan kecantikan semulajadi teluk dan pantai berpasir, yang merupakan salah satu dari tiga pemandangan indah semulajadi di Jepun. Walaupun sesekali saya merasai sedikit gegaran selama beberapa saat sewaktu di kampus Aobayama, Tohoku University, perasaan terkejut dan gementar pada awalnya lama kelamaan menjadi kebiasaan. Pada hujung minggu, saya sekeluarga tidak melepaskan peluang untuk berjalan kaki di sekitar bandar Sendai, menaiki bas, keretapi bawah tanah dan keretapi ke tempat-tempat menarik sepanjang musim luruh yang mana antara tempat menarik ialah di Rairaikyo Gorge dan Naruko Gorge. Pada hujung bulan Disember 2019, saya dan anak-anak berpeluang menikmati suasana musim sejuk, dan merasai kelembutan salji yang turun pada awal Januari 2020 sebelum pulang ke Malaysia pada 12 Januari 2020.
Sistem akademik dan penyelidikan seimbang di Tohoku University.
Walaupun Tohoku University sentiasa berada di tangga ketiga teratas universiti awam di Jepun, universiti ini mengamalkan sistem akademik yang sentiasa mengutamakan budaya dan hasil penyelidikan dan hubungan baik dengan industri, tidak terlalu mementingkan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk menduduki tangga terbaik dunia tetapi sangat mementingkan outcome pelajar sebaik sahaja tamat pengajian di sini, serta kerjasama rapat dengan komuniti setempat. Oleh kerana saya berpeluang menyertai pelbagai seminar, kolokium, dan persidangan anjuran jabatan tempat saya menjalani program sangkutan, fakulti dan Unit lain contohnya Sekolah Pengajian Alam Sekitar, Fakulti Pendidikan dan Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa, saya berpeluang mengenali rakan-rakan baru dan menambahkan rangkaian kerjasama dengan penyelidik dari agensi dan universiti Jepun dalam bidang kejuruteraan, pengurusan alam sekitar terutama berkaitan perubahan cuaca (Climate Change) dan pengurangan risiko bencana (Disaster Risk Reduction, DRR) iaitu satu pendekatan sistematik untuk mengenal pasti, menilai dan mengurangkan risiko bencana, yang bertujuan untuk mengurangkan impak sosioekonomi dan alam sekitar terhadap bencana. Walaupun Tohoku University bukan pilihan popular di kalangan penyelidik dan staf akademik dari Malaysia untuk pengajian jangkasama panjang (Sarjana dan Doktor Falsafah) dan jangkamasa pendek (sebatikal dan program sangkutan), saya dan suami tetap meneruskan hasrat dan terus mengambil peluang keemasan ini sebaik sahaja mendapat tawaran dan persetujuan dari pihak penganjur program sangkutan penyelidikan, memandangkan Tohoku University adalah universiti yang mempunyai fasiliti program akademik kejuruteraan terbesar di Jepun terutama yang berkaitan sains bencana (Disaster Science).
Sistem pengurusan sisa yang sistematik, budaya dan amalan pelestarian alam sekitar.
Saya sebenarnya sangat bertuah merasai sendiri pengalaman belajar dan tinggal di kawasan bandar yang mana majoriti penduduk setempat sangat berdisiplin dalam penjagaan alam sekitar dan pengurusan sisa pepejal (domestik, guna semula dan kitar semula). Setiap hari, kami diajar untuk berdisiplin mengasingkan sisa domestik (sisa dari rumah atau dapur dan makanan) dan sisa yang boleh diguna dan dikitar semula (plastik, kertas, tin aluminium) kerana garis panduan yang sangat jelas dan teratur, sistem pengurusan dan fasiliti yang efisien. Begitu juga di kampus universiti, oleh kerana tong sampah tidak mudah dijumpai, keadaan ini telah ‘memaksa’ kami berdisiplin untuk tidak menghasilkan banyak sampah. Makan sehingga habis (untuk mengurangkan sisa dapur), sentiasa bawa bekalan makanan dari rumah, dan menggunakan plastik sampah jika perlu sahaja.
Aktiviti oleh kelab sukarelawan universiti untuk pelajar dan keluarga.
Sepanjang program sangkutan di sini, saya juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh kelab sukarelawan di Tohoku University yang mana kebanyakan aktiviti tidak mengenakan caj atau yuran kepada peserta. Aktiviti yang saya sertai ialah kelas membuat Sushi roll, kelas membuat kek Matcha Green Tea, kelas membuat hiasan bunga Jepun, kelas kaligrafi (tulisan Bahasa Jepun), kelas origami dan kelas Bahasa Jepun (komunikasi asas). Walaupun, kebanyakan pengajar tidak fasih berbahasa English, kebanyakan peserta yang berasal dari England, Iran, Bangladesh, China dan Malaysia, tetap merasai keseronokan dan menghargai kesungguhan tunjuk ajar dari para sukarelawan Jepun kerana mereka juga sanggup membantu menjaga dan melayani karenah anak-anak kecil kami sepanjang masa kelas diadakan. Selain itu, setiap kali di akhir waktu kelas, akan sentiasa ada sesi minum teh dan sembang santai di antara peserta dan pengajar.
Komunikasi dengan penduduk setempat.
Oleh kerana saya sekeluarga tinggal di rumah yang agak jauh lokasinya dari kampus Aobayama iaitu di Sanjomachi (kira-kira 1 jam perjalanan sekiranya berjalan kaki), kami perlu juga berkomunikasi dengan penduduk setempat terutama ketika membeli barang keperluan rumah di pasar awam, urusan pembayaran bil contohnya bil sewa rumah dan air di pejabat pos, bil elektrik dan gas di kedai serbaneka (convenience stores, dikenali sebagai konbini dalam bahasa Jepun) seperti FamilyMart, Lawson dan 7Eleven. Pada waktu ini, kesukaran untuk berkomunikasi adalah salah satu cabaran terbesar terutama juga sewaktu berada di stesen pengangkutan awam (keretapi dan bas) di pinggir bandar yang menggunakan sepenuhnya Bahasa Jepun. Walau bagaimanapun, terima kasih kepada aplikasi Google Translate di telefon mudah alih kerana membantu di saat ‘kesukaran’ ini. Pengalaman ini juga sedikit sebanyak mengasah kemahiran komunikasi asas Bahasa Jepun saya terutama semasa berkomunikasi dengan penyelia saya, Komori sensei atau Dr Daisuke Komori, dan staf pentadbiran, Ms Otta.
Sistem pengangkutan awam dan keselamatan yang sangat efisien.
Jepun adalah salah satu negara maju yang mempunyai sistem pengangkutan awam sangat sistematik dan berteknologi. Jadual perjalanan yang sangat tepat, mudah Berbaloi rasanya rakyat membayar cukai yang tinggi kerana kerajaan memulangkan semula faedah cukai dengan menyediakan kemudahan pengangkutan awam dan sistem jalan raya yang sangat efisien. Oleh itu, kami tidak pelik dengan keadaan yang mana kebanyakan penduduk suka berjalan di jalan raya yang mesti ada rezab atau ruang selesa untuk pejalan kaki terutama untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas, dan menggunakan keretapi dan bas sebagai pengangkutan utama. Selain itu, tidak seperti kebanyakan negara lain, kedai serbaneka di Jepun sebenarnya memang sangat mudah, menjadikannya lebih kompetitif di pasaran. Oleh kerana kadar jenayah yang rendah di Jepun, kedai serbaneka adalah selamat dibuka selama 24 jam dan pelanggan boleh membeli-belah dengan selamat pada waktu malam. Jika keadaan ini saya gambarkan di luar kampus universiti, apatah lagi keadaan di dalam kampus yang mana suasana selamat ini sangat menyenangkan bagi pelajar terutama yang berkeluarga dan mempunyai anak-anak kecil.
Sesungguhnya pengalaman berharga ini tidak cukup rasanya dikongsi rasa ‘kemanisan’ melalui posting di sini sahaja. Oleh itu, bagi sesiapa yang ingin melihat gambar-gambar semasa saya di Jepun, Facebook fadzlinsairan ada semuanya.
Hi, this is a comment.
To get started with moderating, editing, and deleting comments, please visit the Comments screen in the dashboard.
Commenter avatars come from Gravatar.