Sistem pertanian yang menggunakan kaedah yang mesra alam dan menggunakan sumber asli secara kitar semula dapat mengurangkan penggunaan bahan kimia termasuk baja, racun rumpai dan perosak. Sistem pertanian mapan ini juga menekankan kawalan perosak dan penyakit menggunakan kaedah kawalan biologi dan menggunakan konsep ekologi. Selain itu, ia menekankan kualiti kehidupan petani dan masyarakat keseluruhannya dengan menghasilkan bahan pertanian yang selamat digunakan.
Kaedah penghasilan produk atau pengeluaran yang mapan, dengan menggunakan sumber yang boleh dikitar semula, bersifat mesra alam dapat membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar. Dari aspek pertanian, teknologi hijau ialah sistem pengeluaran tanaman yang tidak menggunakan bahan kimia sintetik sebagai baja, racun herba serta racun perosak dan agen penyakit. Sebaliknya, teknologi hijau pertanian menggunakan bahan organik daripada sisa tanaman dan haiwan sebagai baja dan menggunakan kaedah kawalan biologi untuk mengelakkan perosak dan penyakit. Kaedah ini dapat mengelakkan pencemaran air dengan bahan kimia daripada baja dan racun. Selain itu, amalan sistem tanaman bercampur dan tanaman berpusingan digunakan untuk mengurangkan risiko serangan perosak dan penyakit berbanding dengan tanaman tunggal.