“Kepentingan Adab dan Etika sebagai pensyarah universiti mendukung Falsafah Pendidikan Kebangsaan..”
Kepentingan Adab dan Etika sebagai pensyarah universiti mendukung Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu cergas dan cerdas dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Adab dan etika seseorang pensyarah adalah sangat penting kerana para pensyarah la yang bertanggungjawab menyediakan dan membentuk para pelajar untuk menjadikan mereka berdaya saing, berketerampilan, komited, dan mempunyai nilai etika yang tinggi sebelum mereka melangkah ke dunia kerjaya. Prinsip asas Adab dan Etika pensyarah terkait dengan lapan (8) perkara, iaitu profesionalisme, integriti akademik, pengajaran dan penyeliaan, hubungan profesional, rahsia dan privasi, keadilan dan ketelusan, komunikasi berkesan, dan kebajikan pelajar. Semua pensyarah perlu menguasai semua 8 perkara ini untuk melahirkan seorang pensyarah yang mempunyai nilai hidup yang tinggi.
“Seharusnya pensyarah itu beradab dan beretika dahulu untuk melahirkan pelajar yang juga beradab dan beretika”
Seperti peribahasa “guru kencing berdiri, murid kencing berlari”. Sememangnya Adab dan Etika seseorang pensyarah itu memberikan impak yang besar kepada ekosistem akademik. Seharusnya pensyarah itu beradab dan beretika dahulu untuk melahirkan pelajar yang juga beradab dan beretika. Sebagai contoh, seorang pensyarah yang tidak menghormati para pelajarnya akan juga tidak dihormati oleh mereka (pelajar). Sekiranya pelajar yang hanya cemerlang pada intelektual tetapi tidak ada adab dan etika, ini akan menjadikan mereka tiada empati dan tiada integriti pada masa akan datang yang boleh merosakkan generasi dan negara
Setiap pelajar mempunyai latar belakang kehidupan yang berbeza-beza. Berkemungkinan para pelajar tidak tahu sesetengah ‘perkara’ tersebut adalah tidak beradab dan beretika. Jadi, itu adalah tugas para pensyarah untuk mendidik dengan kasih sayang, memaklumkan dan menetapkan peraturan. Di samping itu, seiring dengan dunia digital dan kecerdasan buatan yang amat pantas berkembang, pensyarah perlu terus menimba ilmu dan menaikkan taraf diri seperti menggunakan teknologi dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan.