WABM

UTM ANJURKAN WEBINAR ANTARABANGSA BAHASA MELAYU

Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menganjurkan Webinar Antarabangsa Bahasa Melayu 2021 pada 14 hingga 15 November 2021 dengan tema ‘Memartabatkan citra dan kedaulatan Bahasa Melayu di persada dunia.’ Webinar ini diadakan sempena Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri Tahun 2021 yang dihoskan oleh UTM. 

Webinar ini merupakan usaha sinergi antara UTM, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), PABM, Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Objektif pertama webinar ini adalah ‘Mengangkat dan menyebarluaskan kepentingan Pengajian Melayu sebagai suatu bidang ilmu.’ Manakala objektif keduanya, ‘Perkongsian dan penambahbaikan ilmu berkaitan Pengajian Melayu.’

Pengucaptama webinar ini terdiri dari tokoh-tokoh bahasa. Mereka adalah Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim (Universiti Malaya), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong (Institut Kajian Etnik (KITA), UKM), Tuan Haji Md. Johari bin Hasan (Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia) dan Bapak Maman S. Mahayana, S.S., M.Hum. (Universitas Indonesia)

Pembentangan sempena persidangan akan dilaksanakan secara dalam talian. Sesiapa yang ingin mengambil bahagian dalam webinar ini bolehlah ke https://utm.webex.com/join/fss2.webex . Webinar itu terbuka untuk tontonan umum. Orang awam boleh menontonnya secara langsung di https://www.facebook.com/humanities.utm dan https://www.facebook.com/languageacademyutm .

Webinar akan dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar UTM) Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin dan penutupnya akan disempurnakan oleh Prof Ts Dr Mohd Hamdan Ahmad Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM.

Maklumat lanjut persidangan boleh menghubungi Urus Setia Persidangan di talian 013-740 3995 (Dr Zaliza Mohamad Nasir) atau melalui emel m-zaliza@utm.my.

Penulis: Ghazali Bin Bunari, FSSH

Speak Your Mind

*